Ahad, 27 Oktober 2019 | 6:50pm
Pemain pasukan Kedah menenangkan pemain Pahang, Mohamadou Sumareh (kanan) selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Pemain pasukan Kedah menenangkan pemain Pahang, Mohamadou Sumareh (kanan) selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Kejayaan Kedah singkir Pahang sah

KUALA LUMPUR: Aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia penuh dramatik antara Pahang dan Kedah kelmarin mencetuskan 'drama' selepas masing masing meledak dua gol pada masa tambahan sekali gus menjadikan keputusan perlawanan 5-5.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat agregat 8-8 namun Kedah melangkah ke final berdasarkan peraturan gol di tempat lawan selepas berjaya memadam kelebihan tiga gol di tempat lawan yang dimiliki skuad Tok Gajah dalam tempoh 90 minit.

Reaksi penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme selepas meledak gol mengikat kedudukan 5-5 pada masa tambahan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Reaksi penyerang Pahang, Dickson Nwakaeme selepas meledak gol mengikat kedudukan 5-5 pada masa tambahan. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Bagaimanapun, jaringan penyamaan Dickson Nwakaeme yang mengikat kedudukan kepada 5-5 pada masa tambahan yang diraikan dengan penuh bersemangat pemain itu dan penyokong menimbulkan tanda tanya mengenai perlawanan itu sama ada ia akan diheret ke sepakan penalti penentuan ataupun peraturan gol di tempat lawan diguna pakai bagi menentukan pemenang.

Mengikut undang-undang Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), pemenang perlu ditentukan menerusi penentuan penalti tetapi peraturan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), peraturan gol di tempat lawan akan dikira.

Tampil menjelaskan perkara itu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan berdasarkan Peraturan Pertandingan Liga Malaysia di bawah artikel 6.4, Dalam Pertandingan Kalah Mati (2) pusingan atau Perlawanan Akhir yang diadakan secara timbal balik, maka penentuan Pasukan Pemenang atau Pasukan Teratas selepas keputusan penuh masa Perlawanan Pusingan Kedua hendaklah mengikut susunan hierarki yang sudah ditetapkan.

Pertama, pasukan yang mendapat jumlah mata terbanyak dan kedua, pasukan yang mempunyai perbezaan gol terbanyak dan seterusnya, pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol terbanyak.

Hierarki keempat memperuntukkan jaringan gol di tempat lawan dikira berganda dan jika sama, keputusan perlawanan masa tambahan perlu dilakukan namun jika seri, jaringan gol di venue pihak lawan selepas masa penuh tambahan dikira berganda.

Terakhir adalah pemenang ditentukan menerusi sepakan daripada tanda penalti mengikut Undang Undang FIFA.

“MFL selaku badan penganjur pertandingan bertanggungjawab dalam menetapkan sesuatu peraturan berdasarkan Undang Undang Permainan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Undang Undang Peraturan FIFA.

“Ini bukan peraturan baharu yang dikuatkuasakan kerana ia sudah diguna pakai sejak 2010 termasuk membabitkan perlawanan Piala FA dan Piala Cabaran.

“Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada setiap pasukan yang bertanding ketika Mesyuarat Koordinasi Perlawanan pada pagi hari perlawanan yang turut dihadiri pegawai dan jurulatih kedua-dua pasukan,” kata MFL menerusi satu kenyataan, hari ini.

Berdasarkan peruntukan ini, jelas Kedah sememangnya layak untuk mara ke final selepas mereka memiliki kelebihan gol di tempat lawan.

Info

Undang Undang FIFA

Jika pemenang perlu ditentukan apabila aksi berakhir dengan keputusan seri selepas aksi timbal balik, tiga prosedur dibenarkan untuk menentukan pemenang

1. Keputusan jaringan di tempat lawan

2. Dua aksi masa tambahan tidak melebihi 15 minit untuk setiap babak

3. Sepakan penalti-Kombinasi daripada tiga prosedur ini mungkin boleh digunakan

-Berdasarkan peruntukan Undang Undang FIFA, peraturan gol di tempat lawan memperuntukkan jaringan di tempat lawan dikira berganda sekiranya kedua-dua pasukan terikat dengan jumlah jaringan yang sama

Undang Undang AFC

1. Peraturan gol di tempat lawan hanya diguna pakai pada aksi sebenar 90 minit pada perlawanan kedua timbal balik dan ia tidak diguna pakai pada aksi masa tambahan

2. Jika pemenang tidak dapat ditentukan selepas masa sebenar tamat, perlawanan bersambung ke masa tambahan iaitu 15 minit bagi setiap babak

3. Jika tiada pemenang dapat ditentukan selepas masa tambahan, sepakan penentuan penalti akan digunakan

Berita Harian X