Khamis, 12 September 2019 | 10:09pm
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh. - Foto Owee Ah Chun
PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh. - Foto Owee Ah Chun

Pahang tagih aura Harimau Malaya

KUANTAN: Pengendali Pahang Dollah Salleh belum dapat mengesahkan sama ada empat pemain skuad itu yang menyarung jersi Harimau Malaya akan bermain pada perlawanan berdepan Perak, Sabtu ini.

Dollah yang juga bekas pemain kebangsaan itu berkata, setakat ini dia hanya boleh mengesahkannya sebaik bertemu empat pemain itu di Ipoh nanti.

"Skuad Pahang hanya akan bertemu empat pemain ini di Ipoh dan saya akan menilai prestasi mereka sama ada boleh disenaraikan dalam kesebelasan utama atau tidak,” kata Dollah.

"Keputusan itu bergantung kepada prestasi selepas mereka mengharungi dua perlawanan bertemu Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Walaupun Pahang sudah mengisi slot ke suku akhir Piala Malaysia, saya tetap mahukan keputusan positif apabila bertemu Perak."

Empat pemain berkenaan ialah kapten pasukan, Matthew Davies, Norshahrul Idlan Talaha, Mohamadou Sumareh dan Nor Azam Azih.

Ditanya status pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani yang turut menyarung jersi negaranya, Dollah berkata, pemain berumur 20 tahun itu sudah berada di Kuantan malam tadi.

Katanya, Saddil akan bersama rakan sepasukan ke Ipoh tetapi dia akan menilai tahap kecergasan untuk disenaraikan pada perlawanan itu.

"Misi di Ipoh adalah mengekalkan momentum kemenangan dan diharapkan segalanya menjadi," katanya.

Dalam Kumpulan C, Pahang sudah mengesahkan tempat ke suku akhir selepas mengutip 12 mata daripada empat perlawanan.

Perebutan satu lagi slot antara Perak, Pulau Pinang dan Sabah.

Berita Harian X