Ahad, 4 Ogos 2019 | 2:40pm
Pengendali Pahang, Dollah Salleh. - NSTP/Rasul Azli Samad
Pengendali Pahang, Dollah Salleh. - NSTP/Rasul Azli Samad

Dollah puji disiplin pemain Tok Gajah

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Salleh memuji semangat juang skuadnya bangkit daripada ketinggalan dan mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang dalam saingan pertama KumpulanSend C Piala Malaysia malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu cukup bermakna dan menjadi penyuntik semangat untuk menghadapi perlawanan berikutnya.

"Bagi saya, pemain dan pasukan ini menunjukkan prestasi serta semangat yang menarik selepas dikejutjan gol pendahuluan lawan.

"Kita kuasai 70 peratus perlawanan dan hanya melakukan satu kesilapan yang membuka ruang kepada mereka (Pulau Pinang) memperoleh gol.

"Ini perlawanan pertama (saingan Piala Malaysia), saya puas hati dengan persembahan pemain dan saya mahu (corak permainan) kekal konsisten," katanya.

Pada perlawanan malam tadi, tiga gol Pahang, masing-masing satu dijaringkan oleh Dickson Nwakaeme pada minit ke-58, Mohamadou Sumareh (m-66) dan Muslim Ahmad (m-83) manakala gol tunggal Pulau Pinang dijaringkan Julian Bottaro (m-50).

Dollah juga optimis skuad Tok Gajah mampu melakar kejayaan dalam saingan Piala Malaysia, selepas kecewa dengan saingan Piala FA dan Liga Super.

Katanya, kemasukan Faisal Halim atau Mickey pada babak kedua banyak membantu menajamkan jentera serangan.  

"Kami berjaya menjaringkan gol penyamaan sebelum menambah dua lagi gol mengesahkan tiga mata menjadi milik Pahang," katanya.

Berita Harian X