Sabtu, 3 Ogos 2019 | 11:18pm
PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh (kiri) cuba mengawal bola sambil diasak oleh pemain Pulau Pinang, Yoges A Muniandy pada aksi perlawanan bolasepak Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur. - Foto BERNAMA
PEMAIN Pahang, Mohamadou Sumareh (kiri) cuba mengawal bola sambil diasak oleh pemain Pulau Pinang, Yoges A Muniandy pada aksi perlawanan bolasepak Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur. - Foto BERNAMA

Tok Gajah benam Pulau Pinang

 

KUANTAN: Pahang bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.  

Ketinggalan 0-1 hasil sentuhan penyerang import lawan, Julian Bottaro pada minit ke-50 tidak memadam misi skuad Tok Gajah yang menjaringkan tiga gol untuk mengutip tiga mata pada aksi pembuka tirai Kumpulan C Piala Malaysia.  

Namun, pada perlawanan itu, tiada yang mampu diperkatakan sepanjang aksi separuh masa pertama selepas kedua-dua pasukan gagal menghasilkan jaringan.  

Sebaliknya, Pulau Pinang lebih banyak menguji kubu tuan rumah dan peluang terbaik dimiliki lawan menerusi percubaan Sergio Aguero tetapi bola tendangan penyerang import itu berjaya ditepis penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-31.  

Selepas itu, tiada asakan dan percubaan berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan yang terpaksa berpuas hati dengan keputusan tanpa jaringan sebaik berakhir separuh masa pertama.  

Sebaik lima minit perlawanan bersambung, penyerang import Harimau Kumbang, Bottaro mengejutkan tuan rumah apabila menjaringkan gol pendahuluan.  

Namun, penyerang berbisa Yok Gajah, Dickson Nwakaeme menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50.  

Pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria memberikan sepakan penalti selepas Mohamadou Sumareh dijatuhkan di dalam kawasan penalti oleh pemain pertahanan Pulau Pinang, Wan Mohd Syukri Wan Ahmad.  

Pada minit ke-63, Sumareh yang juga pemain naturalisasi negara menjaringkan gol kedua buat skuad Tok Gajah hasil lorongan Nwakaeme.  

Tujuh minit sebelum berakhir, tandukan pemain pertahanan, Muslim Ahmad menerjah jaring lawan untuk memastikan kemenangan 3-1 Pahang ke atas Pulau Pinang.

 

 

Berita Harian X