Selasa, 30 Julai 2019 | 7:53am
Cristiano Ronaldo menyampaikan ucapan selepas menerima anugerah berprestij Marca Leyenda, semalam. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo menyampaikan ucapan selepas menerima anugerah berprestij Marca Leyenda, semalam. - Foto AFP
Cristiano Ronaldo menerima anugerah berprestij Marca Leyenda, semalam. - Foto EPA
Cristiano Ronaldo menerima anugerah berprestij Marca Leyenda, semalam. - Foto EPA

Ronaldo 'rindu' Madrid

MADRID: Penyerang Juventus, Cristiano Ronaldo berkata dia berharap untuk ‘pulang ke Madrid tidak lama lagi’ ketika menerima anugerah berprestij Marca Leyenda, semalam.

Bintang sensasi Portugal itu menghabiskan sedekad kariernya bersama Real Madrid dan memenangi empat daripada lima anugerah Ballons d’Or dan menjulang empat trofi Liga Juara-Juara, dua gelaran La Liga dan Piala Raja Sepanyol bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Bersama Real, Ronaldo turut meledak 450 gol sepanjang 438 penampilan sebelum berpindah ke Juventus, musim panas lalu bagi memburu cabaran baharu.

Begitupun ketika menerima anugerah berkenaan, bekas pemain Manchester United itu mengakui dia merindui ibu negara Sepanyol itu dan merasa sedih meninggalkan Los Blancos.

“Saya rasa bersalah apabila saya meninggalkan Real Madrid,” kata Ronaldo ketika upacara berkenaan. “Saya merindui kedua-duanya (Manchester dan Madrid) tetapi disebabkan saya tinggal lebih lama di Madrid, anak saya dan teman wanita saya lahir di sini, jadi saya lebih merindui Madrid.

“Trofi ini akan diletakkan di tempat yang amat istimewa di muzium. Madrid adalah istimewa. Saya banyak menjelajah tetapi tidak banyak bandaraya seperti Madrid. 

“Anugerah ini juga saya peroleh dengan apa yang saya lakukan di Madrid. Ia adalah trofi Sepanyol dan saya berasa amat dihormati. Terima kasih kepada semua orang yang membantu saya mencapainya. Ia satu kebanggaan kepada saya. Saya berharap untuk pulang ke Madrid tidak lama lagi.”

Ronaldo dalam pada itu turut berkongsi impiannya sejak kecil selain menyuarakan harapannya untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Juventus.

“Saya tidak pernah berfikir mengenainya (mencapai tahap ini). Impian saya adalah untuk menjadi pemain profesional. Semua gelaran penting tetapi mungkin (Euro 2016) paling hebat kerana ia istimewa. 

“Ia tidak sama, apabila kamu memenangi sesuatu untuk negara kamu dan tahu ia lebih sukar, ia adalah perkara paling penting dalam karier kamu. Saya tidak tahu (memenangi Liga Juara-Juara bersama Juve musim ini). Kami akan mencuba, seperti selalu. Harapnya Juventus akan menang.” - Agensi

Berita Harian X