Khamis, 18 Julai 2019 | 5:49pm
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media di Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada sidang media di Kuala Lumpur. - Foto Eizairi Shamsudin

Harimau Malaya kena manfaatkan peluang - Hamidin

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mahu skuad Harimau Malaya memanfaatkan 'peluang terhidang' untuk layak ke Piala Asia 2023 secara merit dengan menempatkan diri dalam kelompok 12 terbaik daripada 40 pasukan pada kempen kelayakan kali ini.

Dalam undian kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di sini, semalam, pasukan kebangsaan bimbingan Tan Cheng Hoe dianggap berpeluang baik layak selepas berada dalam Kumpulan G bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kena ada komitmen tinggi, begitu juga peminat yang akan berikan sokongan kepada pasukan. Tidak boleh katanya ianya mudah tetapi inilah peluang kita. Kita kena manfaatkan keputusan undian ini.

"Tampil pada tahap maksimum. Mereka (negara Asia Tenggara) takut kepada kita dan kita juga perlu berhati-hati dengan mereka.

"Jika gagal untuk tempatkan di kedudukan 12 terbaik di sini, kita akan diundi sekali lagi dan mungkin undian itu lebih teruk daripada sekarang," katanya pada sidang media di sini, hari ini bagi mengulas keputusan undian kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam.

Sekali pun rekod membuktikan skuad Harimau Malaya pernah menewaskan semua lawan serantau itu iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia, Hamidin tidak mahu pemain mengambil mudah dengan tuah undian kali ini.

"Kena lihat kepada beberapa persepsi, pertamanya saya nyatakan kepada jurulatih supaya tidak boleh terlalu ghairah walaupun diundi bersama negara Asia Tenggara lain bersama UAE. Tetapi itu bukan tanda yang Malaysia boleh menang dengan senang.

"Keduanya, saya ingatkan supaya detik hitam kekalahan 10-0 kepada UAE dijadikan tauladan. Dalam bola sepak perkara ini boleh berlaku dan kita perlu lebih serius," katanya.

Berita Harian X