Khamis, 4 Julai 2019 | 7:20am
JOAO Felix - Foto twitter Atlético de Madrid
JOAO Felix - Foto twitter Atlético de Madrid

Atletico ikat Felix RM588.45 juta

MADRID: Atletico Madrid sah menandatangani penyerang berusia 19 tahun Portugal, Joao Felix dari Benfica, hari ini dengan nilai 126 juta euro (RM588.45 juta), umum kelab Sepanyol itu.

Pembelian berkenaan memecah rekod kelab Portugal itu dan juga Atletico sekali gus menjadikan pemain muda sensasi itu pemain kelima termahal dunia.

Atletico memaparkan video pemain berkenaan sedang melihat hasil seni di galeri Prado di sini dalam laman Twitter sebelum Felix memalingkan wajahnya sambil tersenyum dengan kapsyen "Selamat datang Joao Felix, bakat tulen."

Felix dilaporkan menandatangani kontrak selama tujuh tahun. Dia berpotensi menggantikan penyerang Perancis, Antoine Griezmann yang meledak 133 gol sepanjang lima musim bersama kelab itu.

Atletico sebelum ini berkata Griezmann akan meninggalkan kelab untuk menyertai seteru, Barcelona apabila klausa perpindahannya yang jatuh kepada 120 juta euro (RM560.42 juta) pada Isnin depan, diaktifkan.

Selain Felix, Atletico turut mengesahkan pembelian pemain tengah Mexico, Hector Herrera dari Porto minggu ini manakala pemain tengahnya, Rodrigo Hernandez, meninggalkan Madrid untuk menyertai Manchester City dengan nilai 70 juta euro (RM326.91 juta).

Atletico sudah pun menguatkan jentera tengahnya dengan membeli pemain berusia 24 tahun, Marcos Llorente dari Real Madrid dengan nilai 45 juta euro (RM210.16 juta).

Felix yang boleh beraksi di posisi penyerang tengah atau sayap menikmati musim menakjubkan bersama Benfica apabila meledak 20 gol dalam 43 perlawanan pada musim lalu dan membantu kelab itu menjuarai Liga Portugal.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone pada bulan lalu mendedahkan Felix adalah antara sasarannya.

“Dia pemain yang muda,” kata Simeone. “Berdasarkan sejarah, Atletico Madrid adalah kelab yang membeli pemain muda dalam usaha untuk meningkatkan kualiti mereka... seperti Griezmann, ketika dia tiba dia bukan seperti dia hari ini.”

Felix juga menjadi pemain termahal Portugal dan sejarah dan memecahkan rekod 105 juta euro (RM490.37 juta) ketika Juventus mendapatkan Cristiano Ronaldo musim panas lalu. - AFP

Berita Harian X