X
Khamis, 27 Jun 2019 | 11:06am
PEMAIN Benfica, Joao Felix.
PEMAIN Benfica, Joao Felix.

Atletico tawar RM594 juta dapatkan Felix

LISBON: Atletico Madrid mengemukakan tawaran lumayan 126 juta euro (RM594 juta) bagi mendapatkan Joao Felix, umum kelab pemain sensasi Portugal itu, Benfica semalam.

Jika perjanjian itu dimeterai, ia akan menjadikan penyerang berusia 19 tahun itu pembelian kelima termahal dunia selepas Neymar, Kylian Mbappe, Philippe Coutinho dan Ousmane Dembele.

“Atletico Madrid sudah mengemukakan cadangan untuk memperoleh hak... pemain Joao Felix Sequeira dengan nilai 126 juta euro (RM594 juta) yang ketika ini sedang dianalisa.”

Felix ketika ini turut dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah termasuk juara Inggeris, Manchester City, Manchester United dan juara Itali Juventus.

Pembelian Felix amat dialu-alukan Atletico yang dijangka akan kehilangan penyerang berbisa Antoine Griezmann musim panas ini selepas pemain Perancis itu mendedahkan dia ingin mencari cabaran baharu.

Felix yang boleh bermain di kedua-dua posisi sayap dan tengah mengharungi musim mengagumkan di Benfica selepas meledak 20 gol dalam 43 perlawanan kompetitif dan membantu kelabnya menjuarai liga Portugal.

Dia turut membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Portugal awal bulan ini di samping Cristiano Ronaldo di peringkat separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah menentang Switzerland.  - AFP

Berita Harian X