Selasa, 4 Jun 2019 | 4:50pm
MOHAMMED Suffian Awang.
MOHAMMED Suffian Awang.

Tok Gajah dituntut lebih hebat selepas Aidilfitri

KUANTAN: Skuad Pahang dituntut mempamer aksi lebih padu sebaik kembali menjalani latihan Jumaat ini selepas menyambut Aidilfitri.  

Pengurus Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, ini kerana fokus skuad itu bukan saja saingan Liga Super malah aksi separuh akhir Piala FA.  

"Saya harap apabila mereka kembali pada hari raya ketiga nanti, komitmen dan persefahaman meningkat dalam usaha memperkasakan pasukan.  

"Pada masa sama, Pahang akan berdepan Perak pada aksi separuh akhir Piala FA, 23 dan 29 Jun ini.  Lebih-lebih lagi kami mahu  mempertahankan piala yang dimenangi musim lalu," katanya.  

Mengulas kehadiran ahli baharu dalam skuad Tok Gajah, Mohammed Suffian mengharapkan penyerang import dari Namibia, Lazarus Kaimbi akan memberi impak di bahagian serangan.  

Katanya, kepercayaan diberikan pengurusan diharap dapat dibalas dengan prestasi cemerlang, sekali gus mengatasi masalah ketumpulan jentera hadapan skuad itu.  

"Sudah pasti sebagai ahli baharu dalam pasukan, kami mengharapkan Kaimbi akan cepat menyesuaikan diri dan bersedia membantu memperkuatkan jentera serangan.  

"Sebagai pemain berpengalaman, Kaimbi perlu membuktikan pilihan Pahang adalah tepat untuk memperkasakan pasukan," katanya.

Berita Harian X