Isnin, 8 April 2019 | 8:53am
GAMBAR fail, lagenda bola sepak Brazil, Pele berada di Paris pada 2 April lalu. - Foto REUTERS
GAMBAR fail, lagenda bola sepak Brazil, Pele berada di Paris pada 2 April lalu. - Foto REUTERS

Pele 'ditahan' sehari lagi di Paris

PARIS: Lagenda bola sepak Brazil, Pele terpaksa ditahan sehari lagi di hospital di sini sebagai ‘langkah berjaga-jaga’ kata penasihatnya, pagi tadi.

Menurut penasihat itu, pegawai perubatan belum memberikan tarikh sebenar Pele boleh keluar dari hospital berkenaan.

"Dia akan berehat lagi satu malam, kami tidak mahu mengambil sebarang risiko dan kami juga tidak mengejar masa,” kata penasihatnya selepas legenda itu dilaporkan akan pulang ke Sao Paulo, hari ini.

"Doktor membuat keputusan berdasarkan keadaan harian dan kami akan mengambil langkah maksimum sehingga dibenar meninggalkan hospital,”

Legenda yang menjulang Brazil sebagai juara Piala Dunia sebanyak tiga kali itu dimasukkan ke hospital di sini susulan jangkitan pada saluran kencing Rabu lalu, sehari selepas muncul bersama penyerang Perancis, Kylian Mbappe.

Laman web G1 Brazil sebelum ini melaporkan bahawa Pele bercadang meninggalkan Paris pada Sabtu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat berkenaan susulan perlu menjalani ujian perubatan sehingga 100 peratus.

Begitupun pegawai Pele mengesahkan laporan pasukan perubatan di Paris bahawa jangkitan berkenaan tidak serius dan terkawal.

"Terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan! Antibiotik berkesan,” tulis Pele dalam laman tweeternya kelmarin. "Saya semakin sihat dan saya fikir boleh bermain semula!”

Pertemuan di Paris itu sepatutnya berlangsung November lalu namun terpaksa ditunda ketika itu susulan masalah kesihatan dihadapi Pele waktu itu.

Pele, 79, sejak kebelakangan ini kerap berdepan masalah kesihatan dan pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi pada 2014 atas masalah serupa.

Pada temasya Olimpik Rio 2016, Pele, yang sudah beraksi dalam 1,363 perlawanan dengan 1,281 jaringan gol tidak dapat mengetuai majlis menyalakan obor Olimpik angkara masalah kesakitan di bahagian pinggangnya.

"Saya secara fizikalnya tidak boleh mengambil bahagian dalam majlis perasmian sukan itu,” katanya ketika itu.

Pada Januari  2018, Pele juga terpaksa membatalkan kunjungan ke London akibat kembimbangan berdepan masalah ‘keletihan’ susulan waktu penerbangan yang lama. – AFP

Berita Harian X