Selasa, 2 April 2019 | 11:13pm
Pemain pasukan Kelantan Nik Akif Syahiran Nik Mat (dua, kiri) diasak pemain pasukan Selangor Sarkunan Krishnansamy (dua, kanan) pada pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto BERNAMA
Pemain pasukan Kelantan Nik Akif Syahiran Nik Mat (dua, kiri) diasak pemain pasukan Selangor Sarkunan Krishnansamy (dua, kanan) pada pusingan kedua Piala FA 2019 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam ini. - Foto BERNAMA

Selangor menang di Kota Bharu

KOTA BHARU: Selangor membuktikan reputasi sebagai pasukan dari Liga Super apabila menewaskan Kelantan 3-0 dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.

Pada perlawanan itu, skuad kendalian Marco Kraljevic terutama penjaga gol The Red Warriors (TRW), Damien Lim terpaksa bekerja keras menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.

   

Pada minit ke-25, skuad Red Giants hampir menjaringkan gol pendahuluan menerusi Syazwan Zainon namun ditepis keluar Damien Lim.

 

Bagi TRW, tiada percubaan berbahaya yang mampu dilakukan jentera serangan yang diketuai Mustafa Zazai dan Hakimi Abdullah untuk menguji penjaga gol Red Giants, Mohd Farizal Harun.

 

Sebaliknya, Selangor lebih banyak melakukan asakan dan hampir membuka jaringan selepas bola sepakan deras penyerang Brazil, Sandro Da Silva dari luar kotak penalti ditepis keluar Damien Lim pada minit ke-37 separuh masa pertama.

    

Bersambung babak kedua, pemain tengah, Syazwan Zainon menceriakan penyokong Red Giants pada minit ke-62 apabila larian solonya dari tengah padang memastikan gol buat pelawat sekaligus memberi tekanan kepada tuan rumah.

   

Selang tiga minit, Selangor menambah jaringan kedua menerusi bekas pemain Terengganu, Faiz Mohd Nasir hasil rembatan deras dalam kawasan penalti menewaskan Damien Lim.

 

TRW yang ketinggalan dua gol berusaha untuk mengurangkan defisit gol dan  beberapa percubaan dilakukan tetapi gagal membolosi gawang pelawat termasuk percubaan tepat daripada Mustafa Zazai pada minit ke-73.

 

Kraljevic kemudian melakukan tiga pertukaran menggantikan Khairul Rizam Che Soh, Nik Akif Syahiran dan Hakimi Abdullah dengan Fauzi Roslan, Mohd Badhri Radzi dan Juzaerul Jasmi untuk mengimbangi kekuatan pasukan pelawat.

Begitupun, ia tidak menghalang pelawat menambah jaringan pada minit ke-87, jyga menerusi Faiz hasil larian solonya mengelirukan pertahanan tuan rumah dengan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Berita Harian X