Sabtu, 26 Januari 2019 | 8:39am
MARKO Arnautovic. - AFP
MARKO Arnautovic. - AFP

Arnautovic tolak tawaran lumayan demi penyokong West Ham

LONDON: Marko Arnautovic akhirnya menamatkan spekulasi membabitkan masa depannya dengan menegaskan dia akan terus kekal di West Ham.

Penyerang Austria itu, yang dikaitkan dengan perpindahan lumayan ke China, semalam mengesahkan menerusi Instagram dia mahu membantu West Ham memenangi saingan Piala FA musim ini.

Arnautovic, 29, mengakui dia tertarik dengan tawaran kelab China yang dilaporkan sedia mengeluarkan yuran perpindahan sebanyak £35 juta (RM190 juta) untuk mendapatkannya.

Dipercayai kelab itu adalah Shanghai SIPG, namun kini dia meletakkan ‘titik noktah’ terhadap spekulasi itu dan akan terus kekal di Liga Perdana Inggeris.

“Kepada peminat West Ham, saya rasa ia bukannya rahsia lagi saya menerima tawaran dan saya terpaksa mengakui tawaran itu amat lumayan untuk saya dan keluarga,” kata Arnautovic.

“Saya sudah memberikan 100 peratus kepada kelab ini dan saya juga memerlukan masa untuk berbincang dengan kelab, isteri dan seluruh ahli keluarga saya.

“Kini saya sudah memutuskan untuk meletakkan titik noktah bagi menghentikan spekulasi ini. Saya seorang pemain bola sepak profesional dan satu-satunya perkara yang saya tahu dalam hidup saya adalah bola sepak.

“Jelas sekali London dan West Ham seperti rumah saya dan saya harap penyokong West Ham sentiasa melihatnya.

“Kelab ini sudah membantu meletakkan karier saya pada landasan yang betul sejak menyertainya dan atas sebab itu saya menolak tawaran itu dan mahu membantu pasukan memanjat kedudukan liga selain cuba memenangi piala.”

Hammers yang kini menghuni kedudukan tangga ke-10 Liga Perdana, berdepan AFC Wimbledon pada pusingan keempat Piala FA, malam ini. – AFP

Berita Harian X