Isnin, 3 Disember 2018 | 11:02am
SESI undian Euro 2020 di Dublin. - Foto AFP
SESI undian Euro 2020 di Dublin. - Foto AFP

Jerman, Belanda rentap lagi, England lega

DUBLIN: Dua bekas juara, Jerman dan Belanda sekali lagi diundi dalam satu kumpulan bagi aksi kelayakan Euro 2020 selepas selesai sesi undian, di sini, semalam tetapi finalis Piala Dunia 2018, England boleh tersenyum.

Jerman menjadi pasukan paling berbahaya dalam balang kedua selepas penyingkiran mereka daripada kumpulan tertinggi Liga Negara-Negara Eropah berikutan kekalahan 0-3 kepada Belanda, Oktober lalu.

Juara dunia 2014 itu akan memulakan kempen kelayakan dengan berkunjung ke Belanda pada 24 Mac sebelum menanti kunjungan negara jirannya itu pada 6 September bagi aksi Kumpulan C yang turut diisi Ireland Utara, Estonia dan Belarus.

Begitupun, dengan dua pasukan daripada setiap kumpulan dalam 10 kumpulan layak secara automatik bagi kejohanan yang pertama kalinya membabitkan 24 pasukan, prospek untuk melihat negara-negara kuasa besar tersisih tampak sedikit.

Empat lagi kuota akan diberikan menerusi playoff Liga Negara-Negara Eropah.

“Kumpulan seperti ini kebiasaannya sukar,” kata ketua jurulatih Jerman, Joachim Loew yang ketika ini berdepan tekanan hebat susulan prestasi longlai skuad kendaliannya di Piala Dunia dan Liga Negara-Negara. “Belanda dan Jerman adalah pilihan, tetapi adakah ia mencukupi untuk kedua-duanya (untuk mara).”

Belanda yang diisi pemain muda di bawah kendalian Ronald Koeman tampil dengan peningkatan selepas gagal beraksi di Piala Dunia 2018 dan Euro 2016.

Dengan Amsterdam menjadi salah satu daripada 12 bandar penganjur, pengendali itu menegaskan melayakkan diri ke pusingan akhir sebagai tugasan utama berbanding mencatat satu lagi kemenangan ke atas Jerman.

Tatkala aksi separuh akhir dan final dijadual berlangsung di Wembley, England memperoleh insentif besar untuk menjuarai Euro kali ini selepas melangkah ke peringkat empat terbaik di Piala Dunia Russia.

Begitupun, tugas untuk melayakkan diri ke pusingan akhir tampak tidak begitu sukar buat skuad kendalian Gareth Southgate selepas mereka diundi bersama Republik Czech, Bulgaria, Montenegro dan Kosovo dalam Kumpulan A dengan pengendali itu berkata skuad kendaliannya sudah biasa dengan jangkaan yang tinggi.

“Sebaik saja kamu diletakkan sebagai pilihan, undian seperti ini tidak dapat dielakkan dan kamu perlu mengharunginya,” kata Southgate. “Ia bergantung kepada kami. Kami adalah pilihan dan ia adalah sesuatu yang kami sudah biasa.

Sementara itu, juara dunia, Perancis diundi bersama Iceland dan Albania selain Turki, Moldova serta Andorra dalam Kumpulan H manakala Belgium dan Russia dilihat sebagai pilihan dalam Kumpulan I yang turut diisi Scotland , Cyprus, Kazakhstan dan San Marino.

Portugal pula diundi bersama Ukraine, Serbia, Lithuania dan Luxembourg dengan juara tiga kali, Sepanyol diundi bersama Sweden, Norway, Romania, Faroe Islands serta Malta.

Wales yang diketuai Gareth Bale akan bertemu rakan sepasukannya dari Real Madrid, Luka Modric selepas mereka diundi satu kumpulan dengan naib juara dunia, Croatia dalam Kumpulan E bersama Slovakia, Hungary dan Azerbaijan.

Perlawanan kelayakan Euro 2020 bermula pada Mac tahun depan dengan pusingan terakhir dijadual pada November. - AFP

 

 

Berita Harian X