Sabtu, 13 Oktober 2018 | 10:11am
PEMAIN Austria, Marko Arnautovic (tengah) berjaya memperdaya dua pemain Ireland Utara, Jamal Lewis (kanan) dan Craig Cathcart pada aksi kempen Liga Negara-Negara Eropah. - Foto EPA
PEMAIN Austria, Marko Arnautovic (tengah) berjaya memperdaya dua pemain Ireland Utara, Jamal Lewis (kanan) dan Craig Cathcart pada aksi kempen Liga Negara-Negara Eropah. - Foto EPA

Arnautovic sambung 'talian hayat' Austria

VIENNA: Marko Arnautovic meledak gol tunggal ketika membantu Austria menang 1-0, ke atas Ireland Utara yang menyaksikan pelawat dipalit kekalahan kedua berturut-turut, dalam kempen Liga Negara-Negara Eropah.

Penyerang West Ham, Arnautovic menjaringkan gol berkenaan pada babak kedua yang memberikan Austria kemenangan pertama dalam saingan berkenaan.

Kejayaan dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah mampu mengesahkan tempat ke Euro 2020, dengan situasi Ireland Utara tampak sukar apabila menghuni tangga tercorot dalam saingan yang turut diisi Bosnia.

Justeru, skuad kendalian Michael O'Neill itu memerlukan kemenangan menentang Bosnia di Sarajevo pada Isnin ini, untuk menghidupkan peluang mereka.

Tanpa penyerang Rangers, Kyle Lafferty, yang terpaksa diketepikan susulan kecederaan, Ireland Utara seperti ‘kehilangan taring’ tetapi O’Neill turut tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan.

"Marko Arnautovic mempunyai kualiti itu dan ia adalah penyudah yang hebat. Kami perlu bermain lebih baik tetapi saya juga fikir pengadil tidak memihak kami,” kata O'Neill.

“Mungkin saya sedikit berat sebelah tetapi pada babak pertama kami langsung tidak mendapat apa-apa. Setiap cabaran cenderung memihak pasukan tuan rumah. Saya merasa sedikit terganggu dengan perkara itu.” - AFP

Berita Harian X