Jumaat, 24 Ogos 2018 | 5:55pm
CHONG Yee Fatt - Foto Owee Ah Chun
CHONG Yee Fatt - Foto Owee Ah Chun

KL perlu atasi isu mental

KUALA LUMPUR: Kekuatan mental perlu menjadi kunci utama Kuala Lumpur jika berhajat menamatkan badi kekalahan kepada Perak sambil mencari keputusan positif apabila bertemu lawannya itu pada aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Negeri, Batu Kawan, malam esok.

Jurulatih, Chong Yee Fatt mengakui, tiga kekalahan kepada skuad bimbingan Mehmet Durakovic itu sepanjang musim ini memberi kesan psikologi kepada anak buahnya.

Beliau sedar ia adalah sesuatu yang perlu ditangani segera bagi memastikan anak buahnya lebih berkeyakinan untuk berdepan pasukan itu sekali lagi, esok.

“Selepas tiga kali bertemu dan kalah ketiga-tiganya, tidak dinafikan ia meninggalkan impak negatif kepada psikologi pemain yang pasti menjadi musuh utama jika tidak ditangani.

“Perkara inilah yang saya tekankan kepada pemain kerana daripada segi keupayaan, mereka adalah setara dengan pasukan lain termasuk Perak.

“Saya mahu mereka lupakan semua kekalahan kepada Perak sebelum ini sebaliknya turun dengan keyakinan bahawa mereka mampu mengalahkan pasukan itu.

“Percaya kepada diri sendiri adalah penting untuk berjaya. Jika mahu dapatkan keputusan positif, pemain perlu mempunyai mental yang kuat untuk melawan perasaan negatif mereka,” kata Yee Fatt.

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini menyaksikan The Bos Gaurus mendominasi saingan dengan mengalahkan The Hawks 3-0 dan 5-1  dalam aksi Liga Super serta menang 2-0 pada perlawanan Piala Malaysia, minggu lalu.

Bagi Yee Fatt, pasukannya tidak mempunyai pilihan kecuali mencapai keputusan positif untuk mengubah kedudukan mereka yang kini menghuni tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata.

“Suka atau tidak, kami kena dapatkan keputusan positif malam esok, paling tidak seri. Kami tidak boleh keciciran mata lagi jika berhajat ke suku akhir. 

“Saya yakin kami mampu lakukan tapi segala-galanya terpulang kepada pemain,” ujar jurulatih yang mengambil alih tugas daripada Fabio Maciel selepas diaibkan 1-5 oleh Terengganu.

Berita Harian X