Jumaat, 17 Ogos 2018 | 12:33pm
PEMAIN Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio (kiri) bersaing dengan pemain FELCRA FC, Che Mohamad Arif Che Kamarudin pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PEMAIN Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio (kiri) bersaing dengan pemain FELCRA FC, Che Mohamad Arif Che Kamarudin pada aksi Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Ahad lalu. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Tebus semula kekalahan kepada Perak

KUALA LUMPUR: Barisan pemain Kuala Lumpur dituntut menebus kembali kekalahan memalukan 1-5 kepada Perak apabila kedua-dua pasukan itu akan bertembung dalam aksi Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Ahad ini.

Kekalahan di tangan Perak dalam saingan Liga Super pada 18 Julai lalu itu juga dilihat menjadi antara faktor jurulatih City Boys, Fabio Maciel direhatkan selepas mereka tewas dengan jumlah jaringan yang sama kepada Terengganu pada aksi pembukaan Piala Malaysia, awal bulan ini.

Justeru, pengurus pasukan Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Hassan menegaskan persembahan berbeza bakal ditampilkan skuadnya dengan taktikal baharu yang dibentuk penolong kepada Maciel, Chong Yee Fatt.

“Kami sekali lagi akan terima kunjungan Perak, jadi saya minta pemain tebus semula kekalahan kami kepada mereka sebelum ini.

“Apa yang saya nampak, semangat pemain berada pada tahap terbaik ketika ini untuk berdepan Perak. Cuma saya harap tiada lagi persembahan ‘yo-yo’ seperti yang berlaku dalam Liga Super,” katanya.

Kuala Lumpur berjaya mendapatkan rentak kemenangan selepas menundukkan FELCRA FC 4-1 pada aksi kedua saingan Piala Malaysia pada Ahad lalu, sekali gus naik ke tangga kedua Kumpulan A.

Kamaruddin menjelaskan, segala masalah yang dihadapi skuad ibu kota itu sudah diselesaikan selepas Yee Fatt mengadakan perjumpaan bersama beberapa pemain utama.

“Bila jurulatih adakan perbincangan bersama beberapa tonggak termasuk Indera Putra Mahayuddin, Paulo Josue, Saifulnizam Miswan dan Zaquan Adha Abd Radzak, kami mengetahui apa kehendak pemain,” katanya.

“Jadi sekarang ini, kami anggap segala masalah antara pemain sudah selesai dan hasilnya kami berjaya meraih kemenangan ke atas FELCRA.”

Berita Harian X