Rabu, 15 Ogos 2018 | 2:14pm
PEMAIN Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio meraikan jaringan gol bersama ketua jurulatih, Yee Fatt Chong pada perlawan Piala Malaysia bertemu FELCRA FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PEMAIN Kuala Lumpur, Guilherme De Paula Lucrecio meraikan jaringan gol bersama ketua jurulatih, Yee Fatt Chong pada perlawan Piala Malaysia bertemu FELCRA FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KL perlu kekal konsisten

KUALA LUMPUR: Konsisten adalah kata kunci yang perlu disemat dalam hati setiap pemain Kuala Lumpur jika mereka mahu terus melangkah jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

Selepas menang selesa 4-1 ke atas FELCRA FC dalam aksi Kumpulan A, Ahad lalu, jurulatih, Chong Yee Fatt ternyata belum lega kerana bimbang penyakit lama pasukan bimbingannya berulang dalam pertemuan dengan Perak, Ahad ini.

Yee Fatt mempunyai alasan kukuh untuk berasa was-was dengan prestasi semasa skuad warga kota itu kerana perwatakan tidak konsisten sudah acap kali mereka pamerkan sepanjang Liga Super musim ini.

“Saya berasa lega, selepas dibelasah 5-1 oleh Terengganu, kami bangkit dalam perlawanan kedua. Namun, pada masa sama saya sangat bimbang kerana Kuala Lumpur memang terkenal sebagai pasukan yang mempunyai prestasi ‘yo-yo’.

“Kami kerap gagal mengekalkan prestasi yang konsisten, minggu ini kami bermain cukup baik dan mengalahkan pasukan hebat tapi minggu berikutnya kalah teruk walaupun berlawan dengan pasukan kurang tenama.

“Perkara inilah yang sering saya tekankan kepada pemain dan tanamkan dalam kepala mereka selepas kami kalahkan FELCRA, Ahad lalu. Jika tidak, memang susah untuk kami bersaing,” kata Yee Fatt yang mengambil alih tugas jurulatih selepas Fabio Maciel direhatkan.

Kemenangan ke atas FELCRA itu melonjakkan Kuala Lumpur ke tangga kedua Kumpulan A dengan tiga mata sambil Terengganu terus unggul di tangga teratas dengan mata maksimum daripada dua perlawanan.

Yee Fatt membayangkan akan mengekalkan kesebelasan utama serta formasi yang digunakan ketika mengalahkan FELCRA apabila melayan kunjungan Perak di Stadium PBKL, Cheras, hujung minggu ini.

“Walaupun belum sempurna, namun saya berpuas hati dengan semangat serta sikap pemain. Mereka nampak lebih fokus dan tersusun sebagai satu pasukan.

“Saya harap mereka dapat mengekalkan semua aspek itu kerana bukan mudah berdepan Perak, apatah lagi mereka juga mahu mencari kemenangan selepas kalah (3-4) kepada Terengganu, minggu lalu,” katanya. 

Berita Harian X