Rabu, 23 Mei 2018 | 10:44am

UEFA dakwa Liverpool, Roma

LAUSANNE, Switzerland: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mendakwa Liverpool dan Roma berikutan kekacauan penonton ketika perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara di Anfield, April lalu.

Perkara berkenaan disahkan oleh jawatankuasa disiplin badan induk itu, hari ini.

Liverpool yang menang aksi pertama timbal balik itu dengan keputusan 5-2 dalam suasana penuh tegang didakwa oleh UEFA atas dua kesalahan selepas peminat menyalakan suar dan membaling objek.

Seorang peminat Liverpool, Sean Cox, 53, turut diserang oleh peminat fanatik Roma di luar stadium sebelum perlawanan yang menyaksikan dia kini berada di hospital dalam keadaan koma.

Keadaan Cox ketika ini masih kekal kritikal.

Dua peminat Roma ditahan dengan dakwaan cubaan membunuh dengan legenda kelab itu, Francesco Totti memohon 'permainan adil, tenang dan menghormati pihak lawan' bagi aksi kedua yang berjalan dengan lancar.

Roma menang aksi kedua dengan keputusan 4-2 tetapi Liverpool layak ke final menerusi agregat 7-6 dan dijadual bertemu Real Madrid bagi aksi final di Kiev, Ukraine awal pagi Ahad ini.  - Reuters

Berita Harian X