Jumaat, 5 Januari 2018 | 3:06pm
PEMAIN tengah dari Argentina, Yamil Romero memilih meninggalkan skuad Tok Gajah kerana menerima tawaran daripada kelab luar negara. - Foto Nazirul Roselan
PEMAIN tengah dari Argentina, Yamil Romero memilih meninggalkan skuad Tok Gajah kerana menerima tawaran daripada kelab luar negara. - Foto Nazirul Roselan

Romero tak bersama Pahang musim ini

KUANTAN: Pahang mengesahkan pemain tengah dari Argentina, Yamil Romero tidak lagi bersama skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurut sumber Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Romero memilih meninggalkan skuad Tok Gajah kerana menerima tawaran daripada kelab luar negara.

Justeru, katanya, khidmat pemain berumur 23 tahun itu tidak lagi dapat disaksikan musim 2018 selepas bersama Pahang pada pertengahan musim lalu.

"Kami boleh sahkan bahawa Romero tidak lagi bersama Pahang musim ini dan kekosongan yang ditinggalkan pemain kelahiran Argentina itu akan diganti dengan pemain import baharu.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh mengumumkan pemain import baharu itu kerana masih menilai sebelum tarikh tutup pendaftaran pada pertengahan bulan ini," katanya.

Musim ini, Romero yang pernah beraksi bersama Boca Juniors menyertai Pahang pada pertengahan musim dalam usaha memperkasakan jentera tengah skuad itu.

Namun, kehadiran Romero tidak mampu untuk membantu skuad Tok Gajah menjulang piala musim lalu.

Ditanya kedudukan penjaring terbanyak Pahang musim lalu, Matheus Alves, beliau berkata, segalanya masih lagi belum disahkan sama ada masih bersama skuad itu atau sebaliknya.

Katanya, pada dasarnya, penyerang berasal dari Brazil itu ingin bersama Pahang tetapi di sebabkan beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan, ia belum dimuktamadkan.

"Apa yang pasti sama ada Alves masih lagi bersama Pahang akan diketahui minggu ini kerana dia sememangnya pemain yang hebat," katanya.

Musim lalu, Alves yang berumur 24 tahun itu muncul penjaring kedua terbanyak Liga Super apabila menjaringkan 18 gol berbanding penjaring terbanyak, Mohammed Ghaddar dengan 23 gol.

Berita Harian X