Jumaat, 22 Disember 2017 | 7:33pm
JURULATIH Skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada (tengah) ketika bersama sebahagian pemain menjalani latihan di Pusat Latihan tertutup Dato Suleiman Mohd Noor, padang Seri Gelam. - Foto Mohd Azren Jamaludin
JURULATIH Skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada (tengah) ketika bersama sebahagian pemain menjalani latihan di Pusat Latihan tertutup Dato Suleiman Mohd Noor, padang Seri Gelam. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Harimau Malaya tutup kalender 2017 dengan nota kegagalan

KUALA LUMPUR: Ketika negara kecil seperti Fiji dan Nepal menutup kalender bola sepak antarabangsa mereka bagi musim 2017 dengan catatan sempurna, skuad Harimau Malaya pula dihidangkan skrip berbeza menjelang beberapa hari sebelum melangkah ke tahun baharu minggu depan.

Kedudukan ranking terbaharu bagi bulan Disember yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia kekal berada di tangga ke-174 dengan 99 mata berbanding di tempat ke-161 pada Januari lalu.

Trend penurunan itu pastinya mengecewakan tatkala Fiji sebuah negara yang tidak memiliki liga profesional mampu meningkat daripada kedudukan di tangga 180 (Januari 2017) dunia naik ke-168 pada bulan ini.

Malah, lebih mengejutkan apabila Nepal juga berjaya menempatkan diri di posisi lebih baik berbanding awal tahun ini (175 Januari 2017) dengan berada di kedudukan 171 ketika ini.

Mengulas mengenai situasi itu, pengkritik bola sepak tanah air, Serbegeth Singh mengakui tahun 2017 antara tempoh yang sukar bagi pasukan kebangsaan dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meskipun diterajui Presiden baharu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Mac lalu.

"Tahun 2017 menjadi mimpi ngeri bagi bola sepak Malaysia. Ini tidak dapat dinafikan. Kita harus menganggap bahawa ini adalah 'rock bottom' dan kita akan bangkit seterusnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya lagi, kesilapan FAM melantik bekas pengendali dari Portugal, Nelo Vingada adalah kesalahan terbesar yang harus dijadikan iktibar oleh badan induk bola sepak tempatan itu.

Sebelum ini, Vingada dilantik sebagai ketua jurulatih bagi mengambil alih tugas Datuk Ong Kim Swee yang mengendalikan skuad bawah 23 tahun negara.

Beliau diberi kepercayaan oleh Tunku Ismail untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Malaysia namun bekas jurulatih Jordan dan Arab Saudi itu melepaskan jawatannya pada awal bulan ini susulan prestasi buruk skuad kendaliannya.

Sepanjang tujuh bulan beliau membimbing pasukan, Malaysia hanya mencatat dua keputusan seri dan lima kekalahan dalam tujuh aksi termasuk saingan Kelayakan Piala Asia 2019 dan perlawanan persahabatan, antara rekod terburuk buat seorang jurulatih bola sepak kebangsaan.

Bagaimanapun, kekosongan yang ditinggalkan Vingada itu sudah diisi bekas penolongnya yang juga anak tempatan, Tan Cheng Hoe pada 7 Disember lalu.

"Bagi 2018, kita harus ketepikan emosi serta sentimen dan bertindak praktikal. Pihak FAM harus mempertingkatkan mutu kejurulatihan di semua peringkat pasukan kebangsaan.

"Perjalanan liga harus lebih kemas tanpa henti-henti macam liga sosial. Adakah kita mempunyai strategi bolasepak antarabangsa jangkamasa panjang?

"Apa yang saya nampak, FAM pada masa ini hanya ghairah memberi tumpuan kepada Piala AFF penghujung tahun depan saja. Saya harap mereka lebih serius untuk meningkatkan persembahan dan ranking pasukan negara," kata Shebby yang juga bekas pemain kebangsaan.

Berita Harian X