Khamis, 9 November 2017 | 11:49pm
PENYERANG B-19, Muhammad Hadi Fayyadh (berdiri kanan) tekad untuk meneruskan aksi sama apabila menyertai skuad B-23 di Kejuaraan AFC B-23 di China, Januari ini.
PENYERANG B-19, Muhammad Hadi Fayyadh (berdiri kanan) tekad untuk meneruskan aksi sama apabila menyertai skuad B-23 di Kejuaraan AFC B-23 di China, Januari ini.

Hadi mahu 'takluk' China

SEPANG: Selepas cemerlang membantu skuad bawah 19 tahun negara (B-19) layak ke pusingan akhir Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-19 tahun depan, penyerang utama, Muhammad Hadi Fayyadh berazam untuk meneruskan aksi sama apabila menyertai skuad B-23 negara di Kejuaraan AFC B-23 di China, Januari ini.

Fayyadh, 17, yang memperaga aksi membanggakan apabila meledak tiga gol sepanjang kempen kelayakan AFC B-19 di Paju, Korea Selatan nyata berjaya memikat hati pengendali skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee yang berhasrat untuk menyenaraikan penyerang muda berbakat itu.

Jelas pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu, dia mengaku cukup teruja dan enggan melepaskan peluang membuktikan keupayaan diri.

"Sudah tentu saya gembira dan teruja. Saya juga mahu memberikan aksi terbaik seperti mana dalam pasukan ini (skuad B-19).

"Ini juga peluang buat saya membuktikan sesuatu dan paling mustahak saya mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman bersama skuad B-23 sebelum beraksi dengan pasukan ini di Indonesia nanti," katanya ketika ditemui sejurus tiba dari Incheon, Korea Selatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejayaan pasukan melangkah ke pusingan akhir tahun depan, Fayyadh menyifatkan ia hasil semangat berpasukan tinggi daripada semua pemain.

"Semangat juang rakan sepasukan adalah kunci kejayaan kami.

"Saya sangat gembira dan berbangga dengan pencapaian ini dan yakin kami akan tampil lebih baik apabila beraksi tahun depan," katanya.

Skuad negara layak secara merit ke pusingan akhir selepas muncul selaku lima pasukan naib juara terbaik dalam kelayakan kali ini.

Sebelum itu, Malaysia menutup kempen Kumpulan F di Paju, Korea Selatan dengan kekalahan 0-3 kepada tuan rumah selepas menang ke atas Indonesia (4-1), Brunei (1-0) dan Timor Leste (3-1) untuk berada di tangga kedua kumpulan.

Berita Harian X