Rabu, 11 Oktober 2017 | 9:35am
PEMAIN Belgium, Eden Hazard (kanan) meraikan gol ketiga pasukan bersama Thorgan Hazard ketika menewaskan Cyprus dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Heysel, Brussels. - Foto REUTERS
PEMAIN Belgium, Eden Hazard (kanan) meraikan gol ketiga pasukan bersama Thorgan Hazard ketika menewaskan Cyprus dalam aksi kelayakan Piala Dunia di Stadium Heysel, Brussels. - Foto REUTERS
PEMAIN Belgium, Thorgan Hazard (kiri) diasak pemain Cyprus, Laifis Konstantinos. - Foto REUTERS
PEMAIN Belgium, Thorgan Hazard (kiri) diasak pemain Cyprus, Laifis Konstantinos. - Foto REUTERS

Dua anak Hazard bantu Belgium menang bergaya

BRUSSELS: Eden Hazard menjaringkan dua gol untuk Belgium dan adiknya, Thorgan juga meletakkan nama dalam senarai penjaring ketika mereka meraih kemenangan 4-0 ke atas Cyprus dalam aksi kelayakan Piala Dunia, awal pagi tadi.

Belgium yang mengetuai Kumpulan H muncul pasukan pertama di Eropah layak ke Piala Dunia 2018 di Russia, tetapi tetap ghairah memburu jaringan dan menutup kempen kelayakan dengan bergaya.

Bagi Cyprus, mereka sudah pun tersingkir dan bertandang ke Brussels bagi mengharungi pertarungan maruah, namun gagal mengekang asakan pasukan di ranking kelima dunia itu yang mendominasi penuh perlawanan terakhir pagi tadi.

Belgium mempamerkan kesungguhan dalam pertarungan berat sebelah sebelum merakam kemenangan kesembilan dalam 10 perlawanan peringkat kumpulan.

EDEN Hazard menyempurnakan penalti untuk gol ketiga Belgium dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Cyprus. - Foto REUTERS
EDEN Hazard menyempurnakan penalti untuk gol ketiga Belgium dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Cyprus. - Foto REUTERS

Jurulatih, Roberto Martinez menukar lima senarai pemain berbanding skuad yang menang 4-3 ke atas Bosnia Herzegovina pada Sabtu lalu, dengan pemain tengah, Kevin De Bruyne diberikan rehat manakala Marouane Fellaini diketepikan akibat kecederaan.

Eden Hazard memulakan jaringan pada minit ke-12, menerusi percubaan jarak jauh manakala adiknya, Thorgan yang pertama kali beraksi bersama, menjaringkan gol kedua pada babak kedua (minit ke-52).

Thorgan bijak menolak masuk bola muntah apabila penjaga gawang, Constantinos Panagi gagal menangkap kemas percubaan Michy Batshuayi.

Eden Hazard kemudiannya menjaringkan menerusi sepakan penalti pada minit ke-63, apabila Belgium dihadiahkan sepakan selepas bola terkena tangan pemain pertahanan, Giorgos Merkis.

PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (kiri) menjaringkan gol keempat pasukan ketika bertemu Cyprus di Stadium King Baudouin, Brussels. - Foto AFP
PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku (kiri) menjaringkan gol keempat pasukan ketika bertemu Cyprus di Stadium King Baudouin, Brussels. - Foto AFP

Romelu Lukaku, yang kembali daripada kecederaan sekali lagi menggunakan kekuatan fizikalnya untuk melepasi halangan Giorgos Merkis untuk menjaringkan gol keempat Belgium pada minit ke-78.

Bintang Manchester United ini tidak bernasib baik apabila jaringan keduanya pada minit ke-88 dibatalkan kerana ofsaid, namun ulang tayang menunjukkan dia berada selari dengan pemain pertahanan akhir lawan. - Reuters

Berita Harian X