Ahad, 8 Oktober 2017 | 7:46am
KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan) menewaskan penjaga gol Andorra untuk jaringan pertama Portugal pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto EPA
KAPTEN Portugal, Cristiano Ronaldo (kanan) menewaskan penjaga gol Andorra untuk jaringan pertama Portugal pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto EPA

Ronaldo selamatkan Portugal

ANDORRA LA VELLA: Cristiano Ronaldo keluar daripada bangku simpanan dan meledak gol yang memberikan Portugal kemenangan 2-0 ke atas Andorra, awal pagi tadi sekali gus mengekalkan peluang layak secara automatik ke Piala Dunia tahun depan.

Gol pembukaan pada minit ke-63 oleh Ronaldo yang juga jaringan ke-15 olehnya dalam kempen kelayakan menyelamatkan Portugal yang tampak bergelut untuk memecah gawang Andorra.

Ia kemudian diikuti jaringan kedua daripada Andre Silva empat minit kemudian menuju perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B menentang pendahulu, Switzerland di Lisbon pada Rabu.

AKSI Cristiano Ronaldo mengawal bola pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2018 antara Portugal dan Andorra. - Foto EPA
AKSI Cristiano Ronaldo mengawal bola pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2018 antara Portugal dan Andorra. - Foto EPA

Perlawanan terakhir itu akan menentukan siapa akan menjadi juara kumpulan sekali gus meraih tiket secara terus ke Russia atau berdepan aksi playoff.

Switzerland yang meraih kemenangan 5-2 ke atas Hungary mengekalkan kelebihan di puncak dengan mengumpul 27 mata maksimum daripada sembilan perlawanan.

Mereka hanya memerlukan seri pada aksi terakhir manakala Portugal yang mengumpul 24 mata wajib menang dan mengharapkan perbezaan gol yang lebih tinggi mampu meletakkan mereka selaku juara.

PEMAIN Portugal, Andre Silva menjaringkan gol kedua ketika menewaskan Andorra pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto EPA
PEMAIN Portugal, Andre Silva menjaringkan gol kedua ketika menewaskan Andorra pada aksi Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2018. - Foto EPA

Juara daripada sembilan kumpulan di peringkat Eropah layak secara automatik ke Russia manakala lapan pasukan kedua terbaik akan mengharungi perlawanan playoff bagi memburu empat lagi tempat.

Tiba dengan reputasi selaku juara Eropah, Portugal tampak bergelut lebih sejam perlawanan berlangsung untuk memecah kebuntuan menentang pasukan yang bertahan dengan baik di atas padang sintetik.

Jurulatih Fernando Santos memutuskan untuk meninggalkan Ronaldo di bangku simpanan selepas kapten pasukannya itu sudah mengutip satu perlawanan yang boleh menyebabkannya berisiko terlepas aksi menentang Switzerland. - Reuters

Berita Harian X