Isnin, 25 September 2017 | 12:49pm
JURULATIH Selangor, P Maniam akui percaturan pasukannya tidak menjadi apabila Kedah meraih gol awal menerusi sepakan penalti pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Osman Adnan
JURULATIH Selangor, P Maniam akui percaturan pasukannya tidak menjadi apabila Kedah meraih gol awal menerusi sepakan penalti pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman. - Foto Osman Adnan

Gagal bertahan 45 minit punca tumbang di Darul Aman

ALOR SETAR: P Maniam mendedahkan, Andik Vermansyah memang sengaja dimasukkan di babak kedua sebagai senjata sulit pasukan dalam aksi menentang Kedah malam tadi, namun percaturan mereka tidak menjadi apabila tuan rumah meraih gol awal menerusi sepakan penalti.

Pengendali The Red Giants itu berkata, mengikut perancangan awal, Selangor mahu menghalang Kedah mendapatkan gol pada babak pertama, tetapi malangnya Kedah dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-29.

Gol pendahuluan itu menjadi punca utama perancangan Selangor gagal mara ke peringkat separuh akhir apabila tewas 0-1 kepada Kedah dalam perlawanan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Darul Aman.

Katanya, keputusan memasukkan Andik pada separuh masa kedua adalah strategi yang telah dirancang kerana mahu kekal bertahan tanpa bolos di babak pertama.

Jika Selangor berjaya bertahan tanpa bolos pada babak pertama, beliau yakin selepas kemasukan Andik pada separuh masa kedua, tahap keyakinan pasukan akan meningkat dan mereka mampu mencipta jaringan pendahuluan.

Namun, perancangan untuk memburu gol pendahuluan menemui jalan buntu, sebaliknya Kedah pula lebih menguasai perlawanan selepas mendapat gol awal.

PEMAIN Kedah, Mohd Syazwan Zainon (tiga dari kiri) diasak pemain Selangor ketika cuba menanduk bola pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darulaman. - Foto Amran Hamid
PEMAIN Kedah, Mohd Syazwan Zainon (tiga dari kiri) diasak pemain Selangor ketika cuba menanduk bola pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darulaman. - Foto Amran Hamid

"Gol pendahuluan Kedah menaikkan semangat mereka dan ia menyukarkan perancangan kami selepas bolos di babak pertama.

"Rentak permainan Selangor secara keseluruhan tidak 'menjadi' seperti yang kami harapkan dan kami juga tidak mencipta banyak peluang pada awalnya.

"Selepas Andik Vermansyah masuk, kita boleh lihat pergerakan serangan meningkat, tetapi pemain masih tidak mendapat peluang menjaringkan gol.

"Untuk menghadapi perlawanan seterusnya dalam Liga Super, agak sedikit sukar bagi pemain untuk menumpukan perhatian berhadapan Melaka United tetapi sebagai pemain profesional, mereka harus kekal positif," katanya.

Berita Harian X