Selasa, 12 April 2022 | 2:48pm
Kulleh Comrades yang dianggotai seniman Iban dan Bidayuh menampilkan muzik eksperimental berakar umbi daripada tradisi peribumi Sarawak. Gambar Ehsan Andy Phe Photography.
Kulleh Comrades yang dianggotai seniman Iban dan Bidayuh menampilkan muzik eksperimental berakar umbi daripada tradisi peribumi Sarawak. Gambar Ehsan Andy Phe Photography.

Gabungan penyair, seniman Sarawak ke Venice Biennale

KUALA LUMPUR: Kulleh Comrades, kumpulan penghibur peribumi dari Sarawak yang menampilkan muzik eksperimental gabungan lagu rakyat, puisi dan balada Nusantara, akan mengadakan persembahan di Venice Biennale bermula 21 April hingga 26 April ini.

Kumpulan dianggotai enam penghibur Iban dan Bidayuh itu akan mengadakan persembahan pada malam pembukaan aabaakwad (hilang selepas ribut) di Conservatorio di Musica Benedetto Marcello di Venezia pada 22 April.

Kulleh Comrades turut dijemput menjadi sebahagian daripada aabaakwad, iaitu perhimpunan antarabangsa yang mengumpulkan seniman, kurator serta pemikir penduduk pribumi di Venice Biennale 2022 bagi meraikan warisan orang Asal.

Kulleh Comrades adalah projek muzik diketuai Kulleh Grasi iaitu seorang penyair, penyanyi dan penulis lagu dan menampilkan muzik eksperimental berakar umbi daripada tradisi peribumi Sarawak.

Selain Kulleh, kumpulan yang diasaskan khusus untuk Venice Biennale 2022 itu turut dianggotai pemuzik Iban, Gabriel Fairuz Louis; pemuzik berpengalaman dari Yayasan Kebudayaan Dayak, Stanny Benedict dan Boy Nelson; penyanyi, Jen Rossem dan guru muzik, Matt Dalin.

Kulleh berkata, pembabitan mereka dalam acara berprestij seperti Venice Biennale 2022 adalah satu penghormatan dan peluang penting bagi ekosistem kesenian peribumi Asia Tenggara.

"Selain mempersembahkan muzik asal, kesenian visual dan kesusasteraan Sarawak dan Malaysia di pentas dunia, ia juga satu peluang untuk memperluaskan rangkaian serta memahami seni dan kebudayaan pribumi dari seluruh dunia.

"Kami harap rakyat rakyat Malaysia akan tampil dan menyokong perjalanan kami di Venice Biennale," katanya dalam kenyataan media, baru-baru ini.

Selain membuat persembahan, Kulleh Comrades juga akan mengambil bahagian dalam perbincangan panel dan bacaan puisi sepanjang sepanjang perhimpunan berlangsung.

Penganjur akan menanggung kos perjalanan dan penginapan sepanjang Kulleh Comrades di acara itu dan kini mereka mencari penaja serta sumbangan bagi membantu kos perbelanjaan harian sepanjang berada di Venice Biennale.

Kulleh Grasi sudah meninggalkan jejaknya di peringkat antarabangsa apabila naskhah puisinya, Tell Me, Kenyalang terbitan syarikat penerbitan di New York, yang diterjemah Pauline Fan, memasuki senarai pendek Anugerah Terjemahan Kebangsaan 2020 (NTA) anjuran Persatuan Penterjemah Sastera Amerika (ALTA).

Naskhah itu turut berada dalam senarai panjang Anugerah Buku Terjemahan Terbaik 2020 di Amerika Syarikat.

Berita Harian X