Isnin, 14 March 2022 | 3:15pm

Mek dan Awang

Tol memang tidak dapat dipisahkan bagi pengguna jalan raya di Lembah Klang. Hari-hari akan jumpa dengan tol. Pendek kata, pagi-pagi pergi kerja tol, petang balik kerja pun tol, hujung minggu hendak berjalan-jalan pun kena lalu tol.

Kalau tiada tol takkan ada kemudahan seperti R&R, Pusat Pemantauan Trafik dan yang disediakan. Tetapi dalam banyak-banyak cerita pasal tol, cerita bab ragam dan kerenah ketika hendak bayar tol paling melucukan.

Nampaknya kenderaan bersesak di lebuh raya Karak. Ramai pemandu bermuka ketat, berang dan marah-marah kerana terperangkap sudah hampir tiga jam dalam kesesakan trafik. Semua ini susulan pertambahan kenderaan hampir 200% ke Pantai Timur.

Ada ciapan tentang kesesakan trafik yang dimuat naik telah mendapat lebih 2,900 ciapan balas dan 3,000 tanda suka daripada netizen di Twitter.

Di laman Instagram pula ramai menyuarakan kebimbangan dengan kesesakan yang terjadi di lebuh raya yang menghubungkan pusat bandar. Semua tidak berpuas hati.

Hing Chai sempat membaca di telefon bimbitnya sambil memandu perlahan-lahan dengan sentiasa menekan brek. Kebanyakan pengguna mengambil peluang untuk memulakan perjalanan lewat petang dan mengakibatkan kesesakan luar biasa.

"Fuhh. Berduyun-duyun manusia di lebuh raya. Ramai pulang dari kampung halaman masing-masing atau tengah ada sekatan jalan raya ke, bergerak perlahan-lahan," tulis Hing Chai di laman Instagram.

Rata-rata netizen di Facebook, Twitter dan Instagram yang berada menggunakan Lebuh Raya Karak ketika itu menyuarakan rasa tidak puas hati kerana bersesakan. Memaki-maki dengan sumpah seranah.

Sudah tiada larangan untuk rentas negeri bagi sambutan Tahun Baharu Cina kali ini. Tetapi kasihan pula dengan petugas barisan hadapan dan mereka yang benar-benar patuh SOP.

"Pengguna lebuh raya tidak berhak untuk mengadu mengenai 'lockdown', kelas dalam talian dan sekatan PKP yang sudah tiada, sekarang 'jem' gila," tulis netizen di Twitter.

Terus keributan netizen di TikTok, Instagram, Twitter dan Facebook. Saling mengemas kini maklumat mengenai kesesakan jalan raya yang teruk.

"Bayar tol mahal-mahal tiada guna." Jerit hati Hing Chai yang memandu seorang diri.

Matanya sesekali menatap media sosial dan dia mengira-gira sendiri 40 kilometer jalan yang perlu dilalui bermula dari Plaza Tol Gombak hingga ke Bentong. Masih hanya empat kilometer.

Hing Chai teringat kampungnya, Kampung Batu Enam di Terengganu. Sudah dua tahun Hing Chai tidak pulang kerana PKP disebabkan virus COVID-19 memuncak. Gong Xi Fa Cai tahun lalu dia tidak boleh meraikannya di kampung kerana penguatkuasaan sekatan rentas negeri.

Ada panggilan daripada Pei Lin, kekasihnya yang turut berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Pei Lin juga sepertinya, mahu pulang ke Terengganu. Hing Chai mengakses WhatsApp video.

"Sudah hampir empat jam trafik jem. Masih bergerak perlahan-lahan."

Hing Chai menahan nafas dengan senyuman.

"Apa nak buat." Dia terus berbicara untuk menenangkan fikiran sebelum kemudiannya meletakkan telefon bimbit. Tidak boleh buat apa-apa.

Hing Chai masih teringat Kampung Batu Enam dan legasi sejarah dan budaya yang diamalkan masyarakat Cina Peranakan Terengganu.

Komuniti di situ mewarisi pelbagai keunikan hasil asimilasi sejak kedatangan nenek moyang mereka ke kawasan itu pada abad ke-14 hingga ke-17.

Keturunannya yang berasal dari daerah Fujian, China, merupakan hasil adaptasi dengan budaya gaya pakaian, makanan dan percakapan komuniti Melayu Terengganu.

"Ramai bertapak di Kampung Tiruk, Kampung Banggol Kemang, Wakaf Tapai serta di kawasan Sungai Nerus, berdekatan dengan Kampung Batu Enam."

Pernah Hing Chai bercerita pada Prof Dr Hisham Abdullah, pensyarah yang berminat tentang Cina Peranakan Terengganu.

"Sejak dulu kami menerima, menghayati dan mengamalkan budaya seperti masyarakat Melayu, contohnya seperti pemakanan. Keturunan kami makan ikan singgang, budu, petai dan sambal belacan. Makan nasi pun boleh dengan tangan.

"Kalau dari segi percakapan pula, kita mahir guna loghat atau dialek Terengganu seperti guane gamok, dokrok cetong."

Ketika itu, Prof Dr Hisham Abdullah jadi tertarik menyelidik latar belakangnya setelah mendengar Hing Chai bercakap loghat Terengganu.

Hing Chai generasi kelima dengan budaya pemakaian juga menerima pengaruh Terengganu. Kalau orang perempuan mereka pakai kebaya potong kot ikonik dengan masyarakat Cina Peranakan Terengganu, manakala lelaki menyarung kain pelikat.

"Saya bimbang jika gagal mewarisi legasi identiti Cina Peranakan. Ia sekarang menghadapi perubahan disebabkan peredaran masa selain ramai yang berhijrah ke luar Terengganu, seperti saya berikutan tuntutan kerja.

"Namun begitu, salah satu usaha bagi mengekalkan khazanah bagi mengeratkan silaturahim antara golongan peranakan di dalam negeri, setiap tahun juga ada Festival Cina Peranakan yang diadakan di Kampung Cina, Kuala Terengganu.

"Dalam festival itu ada pameran dan persembahan budaya dianjurkan sebagai tanda meraikan warna-warni budaya ini." Begitu Hing Chai bercerita.

Sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun 2022 walaupun dalam keadaan pandemik dan pematuhan SOP, ia diraikan walaupun secara sederhana bagi meneruskan adat budaya dan bangsa.

Hing Chai tah, Prof Dr Hisham Abdullah yang berasal dari Perlis itu tidak tahu kewujudan Cina Peranakan Terengganu. Jadi perbualan itu ternyata sungguh menarik minatnya untuk menyelidiki lebih lanjut.

Prof Dr Hisham dulu mengajar peringkat sarjana ketika Hing Chai menuntut di universiti. Hing Chai sudah tamat ijazah pertama dan terus mengambil sarjana. Ketika itu sukar untuk memperoleh pekerjaan, kadar pengangguran juga tinggi dan ramai dibuang kerja. Lagipun Hing Chai berminat untuk menjadi pensyarah.

Panjang lagi perbualan mereka selanjutnya dan daripada situ Hing Chai maklum, Prof Dr Hisham tidak tahu masyarakat Cina Peranakan digelar Mek dan Awang membentuk satu golongan etnik unik dan istimewa.

Mereka berhijrah ketika pemerintahan Dinasti Qing, berbangsa Hokkien dan kebanyakannya adalah nelayan ketika di negara asal sebelum berhijrah ke Terengganu untuk mencari rezeki.

Istimewanya komuniti itu antara lainnya percakapan dan pertuturan mereka yang 70 peratus menggunakan bahasa Melayu loghat Terengganu.

Telefon bimbitnya berdering dan Hing Chai cepat menjawab dalam keadaan kereta yang bergerak perlahan. Prof Dr Hisham Abdullah dengan WhatsApp video segera bercakap.

"Jalan masih sesak ?" Soalnya.

"Ya, sudah masuk lima jam di lebuh raya Karak. Apa nak buat?"

"Alamak, boleh bercakap?"

"Boleh, daripada memandu tiada keruan dan hilang tumpuan, baik bercakap." Ketawa Prof Dr Hisham.

"Saya nak tahu apa pegangan Cina Peranakan Terengganu?"

Segera Hing Chai menjawab kerana seronok dengan pensyarah yang mahu tahu. Pertama kali ada seorang pensyarah amat berminat dengan latar belakangnya semenjak masuk universiti.

"Ada enam pegangan utama diamalkan iaitu cara hidup, adat, tradisi, kepercayaan, percakapan dan pakaian menyerupai masyarakat Melayu. Paling utama ialah kami menganggap Terengganu sebagai tanah tumpah darah.

"Jika masyarakat Melayu makan menggunakan tangan, kami juga menggunakan meja bersegi empat untuk makan, bukan meja bulat."

"Bagaimana pula tradisi, saya baru tengok Youtube. Menarik sekali."

Hing Chai tersenyum.

"Untuk tradisi kesyukuran menyambut kelahiran genap 40 hari, kami menghidangkan pulut kuning atau nasi kunyit untuk dihadiahkan kepada saudara dan sahabat. Satu lagi, ada juga amalan kami sama seperti kepercayaan masyarakat Melayu seperti melarang anak-anak bermain di luar rumah pada waktu senja.

"Alasannya mitos hantu bagi menakutkan anak-anak supaya mereka berada di rumah untuk makan malam bersama."

"Saya terdengar loghat Terengganu, sama seperti percakapan dan tutur kata Cina Peranakan." Prof Dr Hisham mencelah.

"Loghat Terengganu yang popular seperti guane gamok, acu guna, ketik-ketik, hangit, senget dan doh owh memang sudah sebati."

"Bagaimana pakaian?"

"Satu masa dulu kami menggunakan baju kebaya atau dipanggil 'Baju Kebaya Potong Kot' dan kain batik jawa bagi perempuan. Bagi lelaki memakai kain pelekat dan baju pagoda selain kemeja apabila keluar rumah."

"Macam mana pulak nama untuk panggilan?"

"Kami menggunakan nama timangan seperti Mek dan Awang sama seperti masyarakat Melayu selain gelaran lain bagi rakan-rakan antaranya Salleh, Pok Mat dan Pok Yok."

"Makanan pun sama?"

"Saya rasa Terengganu memang sinonim dengan nasi dagang dan keropok lekor. Bagi kami bukan asing kerana kami mampu memasak makanan tersebut."

"Sudah berapa lama Cina Peranakan wujud ?"

"Mengikut fakta sejarah sudah memasuki 11 generasi di mana yang dilahirkan sekitar tahun 1950-an, generasi itu masih kuat mengamalkan semua amalan dalam cara hidup seharian terutama cara makan, berpakaian dan loghat."

"Apa beza dengan Baba dan Nyonya."

"Untuk masyarakat Baba dan Nyonya mereka melakukan perkahwinan campur namun kami tidak berbuat demikian malah hanya mengikut adat resam masyarakat setempat. Waktu pemerintahan Dinasti Ming masyarakat Cina dari tanah besar yang berhijrah dilarang membawa isteri dan anak.

"Apabila tiba di nusantara mereka berkahwin dengan masyarakat setempat dan ini berlainan dengan kami yang berhijrah ketika pemerintahan Dinasti Qing yang membenarkan lelaki membawa isteri serta anak.

"Peninggalan sejarah kami masih boleh dilihat di Kampung Tiruk dan Bukit Datu selain beberapa lagi lokasi di sepanjang Sungai Terengganu dan Sungai Nerus."

"Selepas Raya Cina saya ingin melawat Cina Peranakan Terengganu, sangat-sangat menarik. Awak bolah aturkan?"

Hing Chai terus tersenyum.

"Boleh sahaja, Prof Dr Hisham sentiasa di alu-alukan."

Perbualan tamat. Hing Chai terus memandu perlahan-lahan dalam kesesakan yang berlarutan sampai ke malam. Tidak boleh dijangkakan jam berapa akan selesai kesesakan aliran trafik disebabkan jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya semakin meningkat.

Hing Chai meninggalkan pesan di media sosial untuk orang ramai yang masih belum memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung halaman dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan mereka. Ini bagi bagi mengelakkan lebih ramai terperangkap dalam kesesakan di lebuh raya berkenaan.

"Jika masih belum keluar ke rumah sila tangguh perjalanan ke esok hari. Jika keluar waktu ini pasti akan berlaku kesesakan. Jika kenderaan tidak diselenggara dengan baik, dikhuatiri akan rosak di pertengahan perjalanan menyebabkan lagi banyak kesesakan. Khuatir banyak kenderaan terlalu panas."

Terdengar di radio dijangkakan 1.6 juta pengguna akan menggunakan lebuh raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.

Sekali lagi telefon bimbit berdering. Dengan segera dijawab Hing Chai, kelihatan di hujung sana wajah Pei Lin yang berserabut. Nampaknya Pei Lin sudah mengantuk.

"Di mana sekarang."

"Dalam lima kilometer ke Bentong."

"Oh, saya di depanlah, dalam tujuh kilometer."

Pei Lin mahu balik Kampung Tiruk berhampiran Kampung Banggul Kemang yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Kuala Terengganu.

Penduduk Kampung Banggul Kemang dan Kampung Tiruk mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan menganggap sebuah komuniti yang sama. Secara kolektif dikenali sebagai orang Cina Tiruk yang digunakan untuk mewakili kedua-dua perkampungan itu. Jumlah penduduk tetap seramai 73 orang. Penduduk di situ menceburi aktiviti penanaman getah yang mula ditanam pada tahun 1919.

Rumah Pei Lin dikelilingi kebun kecil getah berkeluasan dalam satu hektar. Ibu bapa Pei Lin menanam pokok buah-buahan, seperti durian, duku, langsat, rambutan dan salak sebagai sumber pendapatan tambahan.

"Rindukah dengan Tiruk?" Hing Chai mengusik. Pei Lin terdiam memandang kesesakan yang terus mencengkam.

Pei Lin tahu semua generasi muda tidak lagi berminat untuk mengambil alih aktiviti pertanian daripada generasi tua yang berumur 60-an dan 70-an. Semua bekerja di luar dan tidak pulang.

Pei Lin bimbang jika gagal mewarisi pertanian yang diamalkan nenek moyang, identiti Cina Peranakan Terengganu akan hilang berikutan peredaran zaman dan kemodenan. Sesuatu yang tidak boleh digambarkan.

Pei Lin dan Hing Chai sebagai Mek dan Awang, hanya tiba ke destinasi 17 jam dari Lebuh Raya Karak ke Terengganu.

- Mohd Fudzail Mohd Nor adalah penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

Berita Harian X