Rabu, 9 March 2022 | 7:26pm
Pelukis lukisan naif dan ilustrator terkenal, Mohd Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Yusof Gajah, meninggal dunia jam 7.45 pagi tadi. - Facebook Yusof Gajah
Pelukis lukisan naif dan ilustrator terkenal, Mohd Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Yusof Gajah, meninggal dunia jam 7.45 pagi tadi. - Facebook Yusof Gajah

Pelukis, penulis Yusof Gajah meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelukis lukisan naif dan ilustrator terkenal, Mohd Yusof Ismail atau lebih dikenali sebagai Yusof Gajah, meninggal dunia jam 7.45 pagi tadi.

Menurut anak keduanya, Abdul Aziz Yusof, 37, Allahyarham yang berusia 68 tahun meninggal dunia di kediaman keluarga di Greenwood, Gombak pada hari ke-10 dikuarantin selepas disahkan dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata, disebabkan meninggal dunia di rumah ketika dikuarantin, jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani ujian bagi menentukan sama ada Allahyarham meninggal dunia disebabkan COVID-19 atau tidak.

"Sepatutnya hari ini adalah hari terakhir ayah dikuarantin. Jenazahnya kini berada di HKL dan jika keputusan positif, Allahyarham akan dikebumikan di Sungai Pusu tetapi kalau negatif, kami ingin mengebumikannya di rumah.

"Bagaimanapun, keputusan ujian akan hanya diketahui dalam tempoh 24 hingga 48 jam," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Selain Abdul Aziz, Allahyarham turut meninggalkan isterinya, Zakiah Mohd Isa, 64, serta dua lagi anak iaitu Nuryusniza, 39, dan Muhammad Hasbullah, 27.

Sementara itu, Zakiah berkata Yusof disahkan mengalami kegagalan buah pinggang, Julai tahun lalu dan mula menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu sejak Ogos.

"Mungkin asbab COVID-19, badannya tidak kuat untuk 'melawan' tambahan lagi apabila Allahyarham mula lemah apabila tidak lalu makan.

"Saya reda dengan pemergiannya. Saya ada kekuatan kerana sedar kehadirannya hanya pinjaman Allah SWT. Terima kasih kepada semua kenalan Allahyarham serta pelajarnya yang datang berziarah serta bertanya khabar," katanya.

Yusof Gajah menerima pendidikan di Sekolah Seni Rupa Indonesia dan Akademi Seni Rupa Indonesia di Jogjakarta, Indonesia

Nama Gajah 'melekat' padanya berikutan haiwan bersaiz besar itu sering menjadi inspirasi dalam karyanya bukan sahaja melalui kanvas malah buku cerita serta hasil seni kreatif lain.

Allahyarham yang dilahirkan di Johol, Negeri Sembilan, juga seorang penulis serta penggerak sastera kanak-kanak.

Beliau sudah menghasilkan ratusan buku bergambar dan buku cerita kanak-kanak yang diterbitkan pelbagai penerbitan di dalam dan luar negara selain menjadi juri bagi pertandingan ilustrasi kanak-kanak di peringkat antarabangsa.

Selain mengadakan pelbagai pameran di dalam negara, karyanya juga sering di bawa ke luar negara sama ada secara solo atau berkumpulan termasuk di Jepun, Korea, Indonesia, Australia, Solvak, Thailand, New Zealand dan Norway.

Antara pengumpul koleksi karyanya termasuk Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Berita Harian X