Selasa, 8 March 2022 | 12:37pm
Rundingan Baling 1955 menjadi antara detik bersejarah buat negara apabila ia berjaya membina keyakinan bahawa rakyat Tanah Melayu tidak akan terpengaruh dengan fahaman komunis, sekali gus membuktikan kemampuan Tunku mentadbir negara. GAMBAR ARKIB NSTP
Rundingan Baling 1955 menjadi antara detik bersejarah buat negara apabila ia berjaya membina keyakinan bahawa rakyat Tanah Melayu tidak akan terpengaruh dengan fahaman komunis, sekali gus membuktikan kemampuan Tunku mentadbir negara. GAMBAR ARKIB NSTP

Di sebalik Rundingan Baling 1955

BALING: Terma 'Rundingan Baling 1955' yang menjadi detik penting kepada kemerdekaan Tanah Melayu perlu disemak selepas kajian mendapati tiada rundingan berlaku antara kerajaan dan wakil Parti Komunis Malaya (PKM).

Peristiwa pada 28 dan 29 Disember 1955 itu membabitkan pertemuan antara wakil kerajaan antaranya Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura, David Marshall dan Presiden MCA, Tun Tan Cheng Lock bersama wakil PKM antaranya Chin Peng dan Rashid Maidin.

Bagaimanapun sepanjang perjumpaan itu, Tunku lebih banyak bercakap mengenai tawaran pengampunan kepada pengganas komunis dan mengelak sebarang rundingan sehingga mencetuskan kemarahan Chin Peng apabila menyedari PKM tidak diberi sebarang pilihan.

Penulis buku 'Liku-Liku Pertemuan Baling', Mejar (B) Dr Nor Ibrahim Sulaiman, menjelaskan sebelum pertemuan di Baling, telah berlangsung Pilihan Raya Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu yang menyaksikan Parti Perikatan menang besar dan Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri.

Katanya, antara manifesto Tunku ketika pilihan raya itu adalah memberi pengampunan kepada pengganas komunis dengan syarat mereka menyerah diri, dibicara dan kemudian diberi pilihan sama ada pulang ke negara asal atau kekal di Tanah Melayu dengan memberi sepenuh ketaatan.

"British bagaimanapun tidak bersetuju dengan rancangan Tunku ini kerana mereka menetapkan syarat bahawa Tanah Melayu hanya akan dibenarkan memerintah atau berkerajaan sendiri selepas keadaan dalam negara aman sepenuhnya dan tiada darurat.

"Selaku Ketua Menteri yang diberi kuasa, Tunku mendesak mahu pengampunan diberi kepada pengganas komunis kerana sedar ia akan menjadi pintu ke arah mempercepatkan kemerdekaan Tanah Melayu selain mahu pertemuan diadakan bersama wakil PKM.

"Akhirnya buat julung kali, Baling dipilih menjadi lokasi pertemuan yang menarik perhatian antarabangsa kerana belum pernah berlaku perjumpaan rasmi antara komunis dan kerajaan di dunia ketika itu," katanya ketika Wacana 'Liku-Liku Pertemuan Baling 1955' yang berlangsung di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, baru-baru ini.

Rundingan Baling 1955 menjadi antara detik bersejarah buat negara apabila ia berjaya membina keyakinan bahawa rakyat Tanah Melayu tidak akan terpengaruh dengan fahaman komunis, sekali gus membuktikan kemampuan Tunku mentadbir negara.

Mengulas lanjut, Nor Ibrahim berkata, hasil rujukannya ke atas dokumen berkaitan perjumpaan itu termasuk yang disimpan di Arkib Nasional United Kingdom mendapati pertemuan itu dirujuk sebagai 'Baling Talks'.

"Terjemahan langsung rundingan ke dalam bahasa Inggeris sepatutnya adalah 'negotiation' tetapi dalam kesemua dokumen rasmi berkaitan tidak menyatakan berlakunya rundingan antara Tunku dan Chin Peng.

"Malah, Tunku dalam autobiografinya sendiri merujuk perjumpaan itu sebagai 'Baling Talks' maka adalah wajar terma 'rundingan' itu dilihat semula atau lebih tepat lagi sekiranya digunakan Pertemuan Baling 1955.

"Ini kerana dalam proses rundingan sepatutnya wujud eleman seperti tawaran, tawaran balas atau perbincangan, namun semua itu tidak berlaku malah ia sendiri diakui Rashid Maidin dalam bukunya bahawa pertemuan itu lebih kepada untuk menekan PKM," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Kasri Saidon, berkata persoalan mengenai terma sama ada rundingan atau pertemuan perlu dilihat pada intipati sebenar perjumpaan berkenaan.

"Terma 'Baling Talks' digunakan kerana perjumpaan itu hanya membabitkan perbualan sahaja, tetapi untuk dikatakan rundingan apa sebenarnya yang dirunding antara Tunku dan Chin Peng perlu dilihat.

"Sama ada sesuai atau tidak terma rundingan atau pertemuan kita perlu mengkaji lebih lanjut perkara ini dan merujuk kepada pakar sejarah lain bagi menentukannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Rundingan Baling 1955 adalah peristiwa penting yang perlu diangkat sebagai antara pembuka jalan kepada proses kemerdekaan Tanah Melayu yang akhirnya dicapai pada 31 Ogos 1957.

"Sebelum itu, kita perlu melihat ancaman diberikan pihak komunis melalui siri keganasan, penghasutan dan sabotaj justeru rundingan ini sebenarnya membawa kepada hasrat kerajaan bagi mencapai penyatuan bangsa dalam menolak fahaman komunis.

"Penyatuan itu akhirnya berjaya menunjukkan kepada British bahawa ketiga-tiga bangsa utama sudah bersatu dan tidak ada sebab mengapa kemerdekaan tidak boleh diberikan kerana semua bangsa ini sudah menentang anasir yang sama.

"Bermula 1948 kita melihat komunis menyusup masuk ke dalam masyarakat melalui pelbagai cara sehingga British terpaksa membuka skim kampung baharu, sekatan, catuan dan perintah berkurung...namun tiga bangsa ini dengan tegas menolak fahaman itu," katanya.

Mengulas lanjut, Kasri berkata, Tunku berjaya memainkan peranan sebagai serampang dua mata iaitu memperkuatkan organisasi masyarakat melalui perpaduan dan menolak bagi memberi sebarang pengiktirafan kepada PKM.

"Dalam sejarah, Rundingan Baling 1955 akan sentiasa dikenang sebagai titik penyatuan kepada rakyat menolak komunis dan titik pemisah bahawa komunis tidak dapat hidup bersama di Tanah Melayu.

"Apabila darurat tamat pada 1960, komunis berundur tetapi mereka masih cuba mengambil beberapa kesempatan antaranya ketika era konfranstasi Malaysia-Indonesia dan perselisihan faham antara kaum 1969 sebelum diikuti era insurgensi sehingga 1989.

"Bagaimanapun ketika era 80-an, berlaku banyak perubahan apabila geo politik dunia berubah, generasi muda mahu pembangunan maka komunisme menjadi gerakan usang maka akhirnya PKM meletak senjata sepenuhnya melalui Perjanjian Hatyai 1989," katanya.

Bagaimanapun, Kasri menegaskan walaupun PKM sudah lama meletak senjata, namun fahaman komunisme masih belum dapat dilenyapkan di negara ini dan kemungkinan fahaman itu datang dalam bentuk baharu boleh berlaku.

Berita Harian X