Selasa, 22 Februari 2022 | 2:56pm

Hujan kenangan yang melimpah

Setiap kali hujan turun, aku akan berdiri di dalam hujan – mendongak ke atas, melihat hujan yang berhujaman memanah muka dan tubuhku. Hujan mengingatkan aku pada dirinya – pada ketakutan, keresahan dan pengharapan yang membawa kepada kesedihan. Hujan juga menghanyutkan aku pada kesedihan dan penyesalan yang tidak berpenghujung persis aliran sungai dari hulu ke muara hingga mengalir ke laut – di manakah penghujung aliran itu yang akan bersatu dengan gulungan ombak? Ombak itulah yang membadai dalam jiwaku hingga kini.

Ada yang prihatin bertanya kepadaku – mengapa aku berdiri di dalam hujan? Aku tidak menggunakan payung atau berbaju hujan. Aku boleh demam dan selesema disebabkan hujan. Kesejukan daripada air hujan akan menyebabkan tubuh mengeluarkan tenaga secara berlebihan untuk menyeimbangkan perubahan suhu yang turun secara drastik. Lantas, daya tahan tubuh akan menurun.

Cuma aku mempunyai pandangan yang berbeza. Jikalau aku diserang selesema, itu bukannya disebabkan oleh hujan. Bukan. Semua itu disebabkan aku sentiasa mengingatinya di dalam hujan. Semua itu disebabkan kerinduanku, juga rasa bersalah yang sentiasa menyeruak dan menjadi anjing gila yang menggigitku. Yah, sintinglah aku dalam hujan ! Hujan pula turun menggila lebatnya.

Berada di dalam hujan mampu menyembunyikan kesedihanku. Tiada siapa dapat menebak antara air hujan dan air mata. Kedua-duanya bersatu – tidak terpisah dan tidak terbezakan. Kata-kataku menjadi klise kerana sentiasa mengaitkan hujan dengan kesedihan. Aku tidak akan dapat menghubungkannya dengan kegembiraan di sebalik tragedi tragis yang dialami.

" Hujan sentiasa mengingatkan aku pada kabut dan mendungnya kehidupan."

Ayuni mengatakan bahawa mataku sering memancarkan sinar murung meskipun aku cuba untuk mengangkat urat-urat di sekitar mulut dan pipi untuk menyunggingkan senyum. Mata yang sendu hingga mencipta fiksyen pada wajah untuk disusun kerut dan kedut menjadi konflik cerita.

" Mengapa perlu mengingati hujan jikalau itu mendekatkan kau dengan kesedihan?"

" Tepatnya, hujan mengingatkan aku dengan kesilapan persis orang berdosa yang perlu mengingati dosa-dosanya sebagai tanda penyesalan."

" Tapi kesedihan yang berpanjangan menyebabkan kau sentiasa pesimis."

Ayuni tidak akan mampu menyelami kesedihanku. Dia bukannya Adira yang nafasnya terasa terus berhembusan di telingaku hingga aku seolah-olah menemui kelibatnya di dalam hujan. Kami berbicara sewaktu hujan. Mata kami menyusun kata. Hujan menyatukan aku dan Adira dalam bahasanya. Kedinginan yang bertemu dan bersatu. Kerinduanku akan terus basah di dalam hujan.

" Hujan lebat diramalkan turun berpanjangan minggu ini."

" Bumi mana yang tidak ditimpa hujan. Hujan itu sudah menjadi rutin alam."

" Kita jangan meremehkan ramalan cuaca."

" Bagaimana pula dengan ramalan cinta? Perlukah diambil serius ramalan berdasarkan horoskop?"

Rinai gerimis persis cinta – sejuk dan mengasyikkan. Renyai hujan yang turun tiba-tiba ibarat perasaan di dalam jiwa. Aku suka bercanda dengan Adira. Kadangkala sesuatu yang berlaku tidak dirancang. Perasaan halus yang tanpa dipaksa telah menyelinap.

" Mendung tak semestinya hujan."

" Hujan yang turun juga pasti akan berhenti."

Yah, itu bukan kata-kata Adira ! Itu pujukan Ayuni yang sering menasihatiku di pejabat. Dia sering melemparkan senyum seperti pelangi selepas hujan. Aku tidak mahu mentafsir warna-warna di sebalik pelangi itu. Aku masih mahu berdiri di dalam hujan. Aku mahu hujan membasuh segala rasa bersalahku.

Pertama kali aku mengenali Adira sewaktu di perhentian bas. Waktu itu hujan turun dengan lebatnya. Tempias hujan membasahkan seluarku dan skirtnya. Kami berbual – membesarkan suara untuk melawan bunyi hujan yang membedal atap. Kereta yang lalu-lalang memercikkan takungan air. Tiada rasa marah di hatiku – terbujuk oleh kesabarannya.

" Kebelakangan ini hujan selalu turun."

" Sebab itu ramai ahli politik yang menjadi katak."

Kami sama-sama ketawa menenggelamkan suara hujan di dalam jiwa.

" Kau minat dengan politik?"

" Tidak … sebab aku tidak suka dengan katak. Lagipun, katak tidak kacak."

" Tapi katak jugalah yang bertukar menjadi anak raja setelah dicium oleh puteri."

" Aku ingin menjadi katak jika kau menjadi puteri itu."

Sekali lagi kami ketawa. Dia ketawa dengan memicingkan matanya. Hujan yang turun juga mengingatkan aku dengan ketawa dan senyumannya yang menyerlahkan bibirnya yang basah.

" Jangan lupa bahawa hujan boleh menyuburkan tanaman. Perkara sebaliknya berlaku pada musim kemarau. Banyak tanaman yang layu dan mati."

" Hujan yang berpanjangan juga boleh menyebabkan banjir hingga memusnahkan tanaman."

Entah mengapa, kami sentiasa berbicara tentang topik hujan. Mungkin disebabkan hujan yang sentiasa menemukan kami. Hujan yang mengakrabkan sebuah hubungan.

"Aku teringat dengan mimpi Raja Mesir tentang tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu kurus sewaktu zaman Nabi Yusuf. Tiada tafsiran yang mampu memuaskan hati raja kecuali tafsiran daripada Nabi Yusuf. Akhirnya, ramalannya benar tentang kemarau tujuh musim setelah tujuh musim subur."

"Aku pula mempunyai ramalan yang berbeza tentang hujan."

" Apa?"

Ya, hujan itu ibarat api! Apabila kecil menjadi kawan. Namun apabila hujan turun berterusan, kesannya tidak terjangka. Hujan akan menjadi lawan. Kesudahannya tidak pernah aku duga. Tidak seperti apa yang aku harapkan. Ramalan dan tafsiranku tersasar. Kini hujan mengheretku ke dunia yang sepi. Aku dibasahi dengan kesedihan dengan kenangan yang tidak pernah kering.

Aku jadi keliru – untuk mengingati kegembiraan atau kesedihan pada musim hujan. Antara kisah sendu, bicara yang kelu dan ada senyuman terukir daripada cinta yang bertemu dan bertamu.

Benar. Setiap kali hujan, aku mengingati cinta kami yang kian hangat – kontradiksi dengan suasana alam. Hangat dan dingin bersatu dalam ruang waktu yang sama.

" Kau mempunyai perasaan yang sama seperti perasaanku?"

Pada waktu itu kami berada di restoran – duduk di sudut paling hujung dengan dinding kaca yang merenik seperti peluh akibat tempias hujan. Rupa-rupanya liang-liang romaku yang terbuka hingga merembeskan peluh menanti jawapan daripadanya. Ada debar di dada dan ketar di jari. Aku hanya mampu mengemam bibir – membasahkan bibirku yang kering.

" Bolehkah aku katakan bahawa aku menyintaimu seperti hujan ?"

" Jikalau begitu, aku akan mengharapkan hujan sepanjang tahun."

" Hujan yang berpanjangan boleh menyebabkan banjir."

" Aku sanggup meredah banjir asalkan aku memiliki cintamu."

Persoalan tentang perasaan dan hujan tetap mempunyai magis yang tersendiri. Persoalan yang bertele-tele dan bertali-temali hingga berkait dengan persoalan lain hingga kekadang menjadi berselirat. Ya, selirat makna yang sukar untuk dirungkaikan !

" Kenapa kau menyamakan perasaan dan cinta dengan hujan?"

" Sebab cinta sering ditemani oleh air mata."

" Aku tidak mahu mengaitkan cinta dengan hujan jikalau semua itu hanya melibatkan kesedihan."

Seketika pada waktu itu, kami larut dalam kebisuan hingga kedengaran bunyi titisan hujan yang menguasai suasana. Aku menatap matanya yang jernih. Dia juga menatap mataku. Mata kami bertemu dan beradu. Ada kasih yang menyatu.

" Sebenarnya, aku mengibaratkan kehadiran cintamu seperti hujan."

Aku masih merenungnya – menanti penjelasan lanjut.

" Sebelum mengenalimu, aku tidak mengenali cinta seperti musim kemarau. Kau hujan yang hadir menyuburkan rasa cinta itu sewaktu musim kemarau. Kau pernah membaca sajak Hujan Bulan Juni karya Sapardi Joko Damono? Gambarannya hampir sama tatkala hujan memicu kerinduan dan perasaan. Titisannya membawa kebahagiaan yang turun membasahi daun – yah, menghasilkan irama gemercik yang khas! "

Kemudian dia membaca rangkap terakhir sajak Hujan Bulan Juni dengan suaranya yang lembut seperti angin yang menggoyangkan ranting dan daun di luar restoran itu :

  Tak ada yang lebih arif dari hujan bulan Juni dibiarkannya yang tak terucapkan

diserap akar pohon bunga itu.

Argh, semua kenangan itu masih basah dan terus melimpah dari gelas fikiranku!

Apalah yang lebih indah dalam hubungan cinta selain menjadikan cinta itu satu ikatan yang menjanjikan. Deraian hujan di luar rumahnya ingin kusambungkan menjadi tali yang akan mengikat cinta dengan ikatan perkahwinan. Langit pada waktu itu begitu gelap. Sudah tujuh hari hujan turun tanpa henti. Aku lebih pedulikan ramalan cinta daripada ramalan cuaca. Aku tidak meletakkan dua perkara itu dan membandingkannya pada garisan yang sama. Dua perkara yang dilihat secara terpisah hingga memisahkan rasa gembira.

" Keluargaku sudah bersetuju dengan hubungan kita."

" Aku pula sudah tidak mempunyai keluarga sekian lama."

" Kita akan bertunang pada minggu hadapan. Keluargaku akan datang melamarmu."

" Suaramu tidak jelas kedengaran."

Bukan hanya hujan lebat tetapi turut disertai oleh guruh yang berdentum.

" Aku cuma mengharapkan suaraku didengari oleh yang Maha Esa."

" Kau tidak mahu masuk ke dalam?"

Aku menggeleng. Aku hanya berdiri di beranda – berdepan dengan muka pintu.

" Tentu tidak manis berada di rumah seorang gadis bukan muhrim lebih-lebih sewaktu hujan. Hari ini aku mahu balik ke kampung."

Adira hanya mengangguk. Keresahan hatiku menggelepar. Ada kerisauan berarak mendung dalam dada.

" Aku janji akan datang semula."

Selepas itu aku bergegas balik – memandu dalam hujan meninggalkan rumah teres setingkat yang disewa oleh Adira. Wiper bekerja keras menangkis hujan. Kereta-kereta berasak dan bersesak – berengsot perlahan seperti siput. Perjalanan masih jauh. Banyak laluan rupa-rupanya yang sudah dinaiki air. Tiada ruang untuk bergerak ke depan, ke kiri, ke kanan atau membuat pusingan U. Ada laluan yang mampu diredah. Beberapa kereta yang meredahnya mati di tengah jalan. Akhirnya keretaku mengalami nasib yang sama. Aku terperangkap di atas jalan raya. Air naik mendadak. Aku teringatkan Adira. Rumahnya sudah dimasuki air pada aras pinggang. Aku tergigil mendengarnya. Bekalan elektrik sudah diputuskan. Telefonnya hampir kehabisan bateri. Dia hanya memberikan mesej melalui WhatsApp.

Air begitu deras dan naik begitu lekas. Aku sudah berada di atas bumbung … di dalam hujan. Aku menantimu …

Aku hanya mampu menangis di dalam hujan kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Aku tidak mempunyai cara untuk bergegas semula ke rumah Adira. Semuanya berlaku dengan begitu pantas dan tidak diduga biarpun ada ramalannya.

Hidup mempunyai pilihan. Kau boleh melihat hujan dengan indah jikalau mengingati pertemuan pertama kita.

Itulah pesanan terakhir Adira sebelum kami terputus hubungan. Beberapa hari selepas itu dia disahkan mati lemas.

Yah, aku akan terus berdiri di dalam hujan jikalau itulah caranya untuk aku terus mengingati Adira! Aku akan menangis di dalam hujan jikalau itu mampu menghilangkan kesedihan. Cinta yang berputik di dalam hujan namun akhirnya dibawa pergi oleh hujan berpanjangan yang menyebabkan banjir yang tidak terduga.

Sewaktu aku berjalan di dalam hujan, aku dihampiri seseorang.

" Aku akan menemanimu di dalam hujan jikalau kau mahu."

Yah, sekali lagi aku yakini bahawa itu bukan kata-kata Adira !

- Pengarang prolifik ini sudah memenangi pelbagai anugerah sastera peringkat kebangsaan dan kini bertugas sebagai guru di SMK Marudi, Baram

Berita Harian X