Selasa, 12 Oktober 2021 | 10:11am
Felo Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir. GAMBAR/ATMA, UKM
Felo Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir. GAMBAR/ATMA, UKM
Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Zariat Abdul Rani. GAMBAR/FMBK, UPM
Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Zariat Abdul Rani. GAMBAR/FMBK, UPM

Adakah menulis fiksyen itu haram?

KUALA LUMPUR: Benarkah fiksyen Melayu di Malaysia adalah tinggalan Barat yang penuh dosa? Selain itu, apakah layak penulisan fiksyen diteruskan?

Dua hal itu sangat menarik untuk diperkatakan selepas dikupas oleh Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Zariat Abdul Rani dan Felo Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir dalam Siri Wacana ATMA Kesusasteraan: Antara Tawassur Islami dengan Paradigma Barat yang disiarkan secara langsung dalam Facebook ATMA, UKM.

Ungku Maimunah ketika membentangkan 'Bikin Cerita Sebagai Prinsip Utama Mengorganisasi Naratif Prosa Melayu', berkata cerita adalah zon selesa orang Melayu malah sejak dahulu sudah punya tradisi bercerita yang boleh dikategorikan sebagai bermanfaat atau menghiburkan.

Tegasnya, kedua-dua kategori itu tidak sama kerana cerita yang berfaedah kedudukan lebih tinggi, menyampaikan nasihat, ilmu dan kebijaksanaan berhubung kait dengan ilmu Islam serta bersumber al-Quran juga hadis. Ia membawa muatan intelek dan bukan emosi.

"Cerita yang menghiburkan statusnya lebih rendah kerana tugasnya menghiburkan atau melipur lara disampaikan oleh dalang

tidak banyak nasihat, faedah dan kebijaksanaan.

"Tulisannya buruk dan menawarkan pengalaman emosi," katanya.

Tegas Ungku Maimunah, tradisi sastera Melayu bukan tradisi rendah atau picisan dan bertahan ratusan tahun malah sekitar 1920-an hingga 1940-an penulis dan editor majalah menggunakan perkataan al-adib bagi merujuk kepada pengarang.

Bagaimanapun pada 1950-an, perkataan sasterawan digunakan. Malah, ketika itu tokoh ASAS 50 seperti Asraf, menggalakkan penulis lebih banyak membaca karya Barat dengan itu tradisi persuratan dan tradisi kepengarangan terpinggir.

"Apa yang dibawa adalah karya realisme. Sasterawan Melayu banyak menulis naskhah sebegini. Ia adalah fahaman estetika yang berkembang pada pertengahan abad ke-19 dan menguasai dunia sejak itu.

"Realisme ini bersifat sekular yang menolak pengajaran ala khutbah dan unsur didaktik. Ia menyenangi pemahaman, pengajaran mesej, kebijaksanaan realiti sebagai bentuk pengajaran.

"Keutamaannya kepada isian tertentu realiti kontemporari yang buruk. Malah beberapa Sasterawan Negara seperti Shahnon Ahmad (Datuk Dr), A Samad Said (Datuk Seri) dan S Othman Kelantan menerima realisme dengan baik malah pada mereka novel adalah cerita dan tidak perlu ilmu dan jika berbuat sebegitu, tulislah buku ilmu," katanya.

Malah tegasnya, Shahnon menyifatkan pengarang adalah 'story teller' dan tidak perlu membawa pengisian ilmu.

Hal itu katanya menjadikan tradisi kepengarangan Melayu hari ini adalah warisan Barat yang berbentuk hiburan dan disebarkan oleh dalang serta penuh dosa.

Sementara itu bagi Mohd Zariat ketika membentangkan kertas kerja "Fiksyen Sebagai Sumber Ilmu: Beberapa Pengamatan Terhadap Kesusasteraan Moden", berkata fiksyen adalah cerita rekaan yang diinspirasikan daripada pengalaman empirikal dan imaginasi penulis.

Fiksyen juga katanya adalah konsep yang berkait rapat dengan tradisi intelektual Barat.

"Ia adalah hasil modernisme iaitu aliran yang muncul di Barat ketika mereka cuba memisahkan dirinya daripada sebarang bentuk tradisi, terutama keagamaan.

"Hal ini disebabkan tradisi keintelektualan di Barat dipengaruhi pandangan hidup Yunani yang berasaskan mitos dewa-dewa juga tradisi gereja Roman-Katolik yang menjadikan injil sebagai sumbernya," katanya.

Modernisme katanya diperkenalkan di Tanah Melayu disebabkan penjajahan yang memperlihatkan pengarang mula menghasilkan genre cerpen, novel, drama dan sajak dalam bahasa Melayu.

Hal ini katanya menjadikan sastera moden Melayu dipenuhi dengan idea sebegitu hingga mencetuskan polemik misalnya dalam kes novel Salina oleh A Samad dan Tivi oleh Shahnon.

Kedua-dua naskhah itu kata Mohd Zariat walaupun diangkat oleh sesetengah kelompok dalam ranah sastera kebangsaan tetapi terdapat juga sarjana yang menolaknya kerana ia dianggap mengangkat hal-hal yang buruk malah Affandi Hassan menyifatkan kedua-duanya mengangkat kejahatan sebagai tema utama.

"Kedudukan fiksyen sebagai sumber ilmu juga masih boleh dipertikaikan apatah lagi jika kita melihatnya daripada sumber kerangka berasaskan Islam," katanya.

Berita Harian X