Isnin, 4 Oktober 2021 | 8:31am

Seekor kucing yang baharu muncul dan mencintaiku

"Jika ilmu pengetahuan menjadikan aku buta. Maknanya jalan ilmu pengetahuan itu sudah bergerak ke arah yang salah" Hal itu yang mengganggu pemikiranku dalam beberapa hari. Aku tidak tahu.

Kadang-kadang aku berfikir untuk memaafkannya dan lupakan segala kisah yang berlaku, tetapi siapa aku untuk tidak memaafkannya. Jika difikirkan secara berterusan timbul juga ketakutan aku tidak dapat mengimbangi diriku dalam keadaan yang penuh penyesalan. Sebab itu aku cuba sedaya upaya mengelak agar keadaan itu tidak berlaku.

Hari itu penghujung minggu ketiga bulan April yang membingungkan, ketika aku bermalas-malas di halaman rumahku di atas bukit kecil itu, sambil menikmati angin petang dan memikirkan hal yang sama ketika seekor kucing tiba-tiba muncul dengan penuh kemanjaan dan menggesel kaki kananku. Kucing itu, pada mulanya muncul di celah pohon bunga keladi Caladium White Queen yang berwarna putih dan dihiasi urat halus warna hijau dan tulang daun warna merah pekat, sebelum bergerak perlahan, melenggang lenggok dan berhati-hati di bawah meja kayu, lalu menghampiriku. Suaranya menggiau amat manja sehingga membuatkanku rasa tenteram dan tenang beberapa detik, walaupun di sekeliling suasana redup dalam keadaan rusuh dan cahaya seolah-olah bertumpu di tempat lain.

"Miauuuu..." suara kucing warna kuning muda berbelang putih itu monotonus sambil bergolek beberapa kali, dan terus menggesel kaki kananku. Aku terharu. Jauh di lubuk hatiku merumuskan, itulah detik yang sungguh bermakna pernah muncul dalam hidupku. Betul! Kucing itu membuatkan aku seolah-olah merasa disayangi dan dihadiahkan seorang bidadari yang cantik, keluar dari salah satu pintu syurga untuk orang yang berpuasa penuh pada bulan Ramadan sepanjang hayat.

Aku tunduk memerhatikannya dan tidak dapat menggambarkan perasaanku ketika kucing itu merenung ke dalam mataku. Matanya redup dipenuhi kemaafan dan kasih sayang. Setiap kali aku mengingati renungan itu, aku seolah-olah sudah memaafkan seseorang yang menyeksaku dalam tempoh yang lama.

Namun, dari manakah kucing itu datang? Aku tidak tahu. Tetapi ia masih menggesel-geselkan tubuhnya di kaki kananku. Firasatku merumuskan kucing itu mungkin datang dari kampung seberang. Tidak mustahil kucing luar boleh menyusup masuk ke kawasan kampung kami dengan menyeberangi tembok pemisah wilayah dan kemudian melalui jalan tikus yang tidak diisytiharkan. Sebab itu kucing itu tampak asing di kampung kami. Malah, seingatku, aku tidak pernah melihat seekor kucing pun di kampung kami selama ini. Tidak pernah! Apa lagi terdapat kertas nota yang dilekatkan di mana-mana, yang melarang dengan tegas sesiapa sahaja memelihara kucing di wilayah kampung kami. Tidak dibenarkan. Sesiapa yang didapati melanggar perintah larangan itu akan didenda dan mendapat hukuman yang setimpal. Namun, dengan perasaan suka yang amat sangat aku tetap tunduk melengkungkan badan dan menyentuh tubuh kucing itu sepuas hatiku.

"Kau datang dari mana sebenarnya, wahai kucing yang telah mempengaruhi hatiku?" Soalku dengan suara yang perlahan di antara kedengaran atau tidak. Tetapi aku yakin kucing itu memahami setiap patah perkataan yang aku ungkapkan itu.

Kucing itu terus menggesel-gesel kaki kananku, seolah-olah lapar dan meminta makanan. Aku teringat Cuties Cats, makanan kucing perisa 'seafood' yang aku beli di sebuah pasar raya beberapa hari lalu, yang aku letakkan di atas meja di dalam rumahku.

Bagaimanapun, apakah yang aku harapkan daripada seekor kucing yang tiba-tiba muncul dan mencintaiku itu? Aku tidak tahu. Tetapi hanya seekor kucing yang menggeliat manja, sambil bergolek-golek dan menggeselkan tubuhnya di kaki kananku, yang maha mengetahui siapa yang harus dicintai dan diabaikan di dalam kehidupan. Siapa yang harus mendapat padi berbuah emas atau sebaliknya. Pelajaran itu tidak pernah aku peroleh daripada mana-mana timbunan buku dan ilmu pengetahuan yang aku pelajari di sekolah dan universiti sepanjang hayatku. Ketika itu, aku seolah-olah hendak mengatakan, cinta sudah diajar kepada seekor kucing yang berwarna kuning muda berbelang putih itu sebaik sahaja ia lahir ke dunia, tetapi tidak kepada makhluk yang bernama manusia.

Pengalaman dicintai seekor kucing di hujung minggu ketiga bulan April itu sungguh membahagiakan. Kalau aku menulis sebuah cerita tentang kucing, aku akan menulisnya lebih kurang begini. Suatu hari kucing itu muncul dengan penuh kejutan, ketika aku melihat ke dalam jiwaku.

Sebagaimana yang akan diketahui dunia selepas itu kucing itu yang mengubah pandangan dan pendirianku terhadap kehidupan, sejauh yang berkaitan dengan kemaafan. Ya, aku akan memaafkannya, walau betapa besar sekali pun dosa yang dilakukannya. Hanya dengan kemaafan, aku dapat meletakkannya di suatu tempat yang istimewa meskipun dalam kesedaran yang sungguh menyakitkan di benakku beberapa tahun. Ya, aku akan memaafkannya, sama seperti kucing pemaaf yang merenung ke dalam mataku dengan penuh kasih sayang sambil menggesel-geselkan tubuh gebunya di kakiku sebelah kanan itu.

Ketika aku berdiri dari bangku dan berfikir hendak meninggalkan halaman rumah sebelum masuk semula ke dalam dunia aneh dalam rumahku, kucing itu turut berdiri. Ia berdiri dengan cara yang aneh. Kedua belah kaki di bahagian hadapan direndahkan dalam keadaan lurus, sehingga menjadi condong seperti Menara Pisa, manakala dua kaki di bahagian belakang pula ditolak ke belakang, sehingga menyebabkan ekornya berdiri ke atas dalam keadaan ranggi. Aku tersenyum melihat telatah kucing itu yang membuatku terhibur dengan caranya. Kucing itu, pada fikiranku, sesungguhnya seekor makhluk penghibur yang muncul pada waktu yang tepat sehingga membuatkan aku berfikir bahawa di suatu tempat di dunia ini, ada saja makhluk yang menghibur dan mencintaiku tanpa sebarang alasan yang munasabah, melainkan kerana ia benar-benar mencintaiku.

"Miauuuu…"

Kucing itu terus menyondol-nyondolkan pipinya di kaki sebelah kananku beberapa kali sehingga membuatkan aku serba salah untuk melangkah. Aku berhenti seketika dan membiarkan kucing itu memiliki kedua belah kakiku. Buat seketika aku hanya berdiri dan membiarkan keadaan itu berlalu beberapa lama sambil melihat sekeliling. Angin yang datang dari selekoh jalan dan menuruni bukit kecil itu kurasakan menerpa di wajahku dalam bentuk sapaan yang kurang mesra dan tidak jinak. Entah mengapa. Aku teringat apa yang dilakukan seseorang terhadapku beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan aku tinggal seorang diri di dalam rumah di atas bukit ini seperti seekor kucing yang diabaikan.

Bagaimanakah aku dapat menggambarkan kehidupanku sebaik-baiknya? Kadang-kadang aku sudah lupa apa yang telah berlaku, kerana dia tidak ada lagi di situ, dan jauh di bawah sana, ada sebuah kafe berwajah suram, yang selalu tidak bercahaya. Namun, aku masih selalu ingat, dia memang berada di sana ketika itu dan memberitahuku apa yang sepatutnya dilakukan dan tidak dilakukan dalam kehidupan.

Dia selalu meminta aku datang ketika tidak ada pengunjung di kafe dan memaksaku duduk di suatu tempat yang asing dan tidak diketahui orang. Setiap kali diperlakukan begitu, aku hanya memendam perasaan yang pilu. Tetapi aku tidak menangis, kerana aku seorang lelaki dan mesti menjaga maruahku sebagai lelaki. Aku dihidangkan makanan beefsteak seperti seekor kucing yang kelaparan beberapa hari, tanpa sesiapa pun melihat kewujudanku. Dalam erti kata lain aku seolah-olah didaftarkan sebagai seorang halimunan di bawah perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan serta merta di kampung kami dan itu tidak pernah dipertikaikan untuk beberapa tahun.

Hari demi hari, dan masa terus berlalu. Aku terus menjadi seekor kucing asing yang diabaikan untuk beberapa bulan atau beberapa tahun. Aku hanya sekadar keluar di halaman rumah pada waktu malam dan duduk di sebuah bangku di bawah renungan cahaya bulan. Kadang-kadang aku melihat bulan itu tidak bersimpati dan hanya menerimaku seadanya sebagai suatu kewajaran sahaja. Bagaimanapun. jauh di lubuk hatiku, aku belajar menghargai segala apa yang didatangkan kepadaku selama ini, walaupun dalam bentuk ujian yang amat dahsyat dan mencabar.

"Bagaimanapun, jangan sesekali mengalah dan berputus asa, meskipun kau hanya seekor kucing di hadapannya. Seekor kucing yang malang."

Suara itu bergema entah di mana. Tetapi aku dapat mengamati setiap patah perkataan yang diungkapkan dengan jelas, dan membuatkan aku bersemangat beberapa saat sebelum kembali lemas seolah-olah seseorang yang berada di suatu tempat dan dalam keadaan kekurangan oksigen. Jika aku dapat memujuk hatiku. Aku akan melupakanya buat selama-lama. Tetapi bagaimana aku melakukannya? Aku tidak dapat melihat satu jalan penyelesaian yang munasabah. Di hadapanku ada seribu satu jalan, tetapi setakat ini, tidak ada satu jalan pun yang berpotensi boleh membawaku ke syurga.

"Miauuuu..."

Tiba-tiba aku terkejut dari lamunan yang panjang sewaktu mendengar suara kucing warna kuning muda berbelang putih yang masih menggesel-gesel kaki kananku itu. Tidak lama kemudian tiba-tiba muncul seorang asing di hadapan rumahku. Benar-benar asing kerana aku tidak pernah melihatnya di kawasan kejiranan kampung kami selama ini. Sebenarnya dia seorang perempuan yang muda. Sederhana cantik, dan rambutnya ikal mayang paras bahu. Rambut itu bergoyang ditiup angin dalam keadaan yang menyebabkannya seolah-olah tidak selesa. Namun secara jujur, dia memang seorang perempuan yang kelihatan baik, walaupun untuk mengetahui seseorang itu baik atau tidak, tidak cukup hanya dengan pertemuan yang pertama. Seluruh karektor seseorang tidak muncul dalam pertemuan yang pertama, sebaliknya, pertanyaan yang keluar dari mulut seseorang itu dalam pertemuan yang pertama itulah yang akan membuatkan seseorang itu berfikir untuk memahaminya dalam kehidupan yang selanjutnya atau tidak.

"Apakah Tuan telah mencuri kucing saya?" Soalnya tiba-tiba, dengan pandangan mata yang menggerunkan. Mata bulatnya mengecil, dan seperti hendak terkeluar daripada acuan wajahnya yang kusam dan dahi yang dilengkapi kerut.

Aku terkejut. Aku telah dituduh mencuri seekor kucing yang baharu saja muncul dan mencintaiku? Bagaimana senario itu boleh berlaku? Aku bingung. Aku telah mencuri kucing yang baharu muncul dan mencintaiku. Kupandang perempuan itu tanpa suara, kerana aku tiba-tiba kehilangan kata-kata. Banyak perkara yang boleh membuatkan seseorang itu kehilangan kata-kata dan salah satu daripadanya ialah ketika dia dituduh melakukan sesuatu yang tidak dilakukannya di dunia ini dan aku percaya, itu merupakan suatu petanda buruk yang mempengaruhi sesiapa sahaja untuk membuat tanggapan yang beralasan pada pertemuan yang pertama. Setelah diam seketika baharulah aku bersuara.

"Jika sekiranya kucing yang sedang menggesel-gesel kakiku ini milik puan, maka ambillah! Aku tidak pernah keluar dari kawasan halaman rumahku ini beberapa tahun untuk mengambil apatah lagi mencuri apa yang bukan hakku. Tidak pernah! Jadi, masuklah dan ambil kucing ini. Aku tidak akan mempertahankan, apa yang tidak wajar aku pertahankan sepanjang hayatku. Mari, dan ambillah!" gesaku.

Perempuan itu kemudian membuka pintu pagar dan melangkah masuk sambil berlenggang ke halaman rumahku seperti primadona. Dia tidak bersuara sepatah pun. Aku juga tidak mendengar suara kucing yang sedang menggesel kaki kananku. Sekeliling hanya diam, dan untuk beberapa saat aku memang tidak mengharapkan sebarang suara dalam keadaan aku tidak memerlukannya. Jika aku hendak mempelajari sesuatu daripada kisah seekor kucing yang muncul di halaman rumahku pada petang yang mulai gelap itu, ia memang tidak pernah diajarkan di mana-mana sekolah dan universiti, tetapi ketika menghayatinya dengan penuh perhatian, ia sesungguhnya tidak menjadikan aku buta atau tidak menyebabkan aku bergerak ke arah yang salah selama-lamanya.

Selama-lamanya!

- Pengarang kelahiran Beaufort, Sabah ini adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015.

Berita Harian X