Jumaat, 10 September 2021 | 10:49am

Biarkan masa hilang punca

2 Januari 2020.

Baru 48 jam meraikan tahun baharu. Tahun 2020 yang dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Adakah sudah cukup kemajuan yang diharapkan? Adakah cukup kemanusiaan lahir? Adakah benar keindahan teknologi berlaku seperti dikarang dalam karya fiksyen dan lukisan avant garde?

Yang pasti, apabila tiba Januari, semua berazam kononnya untuk suatu kehidupan baharu, yang lebih maju, kaya, bahagia bagi semua penduduk dunia, namun bagi Jozree, serangan jantung yang dihadapi telah membawa seluruh dunia ini berkumpul sekelip mata di hadapannya.

Dia diperlihatkan garis-garis rekah tanah, alur-alur arus air, alun beralun deru bayu memenuhi setiap saat sedaya fahamnya. Wajah ibu, ayah, adik beradik yang terlalu lama dia jauhkan diri kini sepertinya berdiri amat hampir tanpa mampu membantu apa apa. Sakitnya bagaikan dada dihempap batu yang amat besar sehingga dia tidak mampu menggerakkan anggota tubuh yang lain. Jozree berserah. Jozree cuba syahadah. Tidak teringat adakah benar susun dua ayat yang mengakui bersaksinya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Setelah syahadah dilafaz, matanya terpejam, ingatan kosong, jam terhenti.

"Selamat pagi, tuan Jozree. Selamat kembali."

"Saya di mana ni? Apa.. apa yang dah jadi?"

"Saya Dr Suzanne. Sudah lima hari tuan berada di Unit Rawatan Rapi, Hospital Besar Kuala Lumpur kerana serangan jantung. Tuan baru sedar 2 jam tadi tapi keadaan tuan masih lemah. Sekarang saya dah periksa semuanya, keadaan tuan sudah stabil. Tuan rehat dulu, sekejap lagi saya datang semula ya."

Jozree masih mamai, terpinga pinga. Dr Suzanne yang sudah ke katil pesakit sebelahnya, berpatah balik. Dia mengatakan yang pihak hospital telah menghubungi keluarganya dan mereka terkejut mendengar berita ini. Keluarga Jozree akan segera datang ke mari.

Keluarga? 12 tahun dia lari daripada istilah berkeluarga. Hari ini pihak hospital yang hubungi mereka dan dia akan bertemu mereka bila-bila masa saja lagi? Jozree cuba untuk bangun namun kepalanya melayang. Dia rebahkan semula kepala ke atas bantal. Dia cari jalan bagaimanakah caranya untuk mengelak daripada bertemu ibu, ayah dan adik-adik? Jari Jozree tersentuh alat 'nursing call bell'. Jozree lihat untuk pastikan apa yang disentuhnya. Dia tekan butang merah dan beberapa saat saja, seorang jururawat wanita berusia lingkungan 40-an tiba. Lembut saja suaranya bertanya apakah yang dia perlukan.

"Panggilkan Dr Suzanne atau sesiapa yang hubungi keluarga saya sebelum ini. Tolong ya."

Jururawat faham dan beberapa minit selepas itu, Dr Suzanne tiba pula.

"Maaf Dr. Saya nak minta tolong, buat sementara, jangan beri sesiapa datang lawat saya. Saya perlu rehat. Kepala saya pun tak tenteram lagi."

"Baik. Saya faham. Jika ahli keluarga tuan datang nanti, saya akan maklumkan kepada mereka."

Jozree lega dan ucap terima kasih. Lapan hari Jozree berada di hospital. Setelah doktor pakar jantung sendiri sudah pasti keadaan jantungnya sembuh, barulah dia dibenarkan pulang tetapi perlu hadirkan diri untuk pemeriksaan susulan. Jozree akur apa saja yang diminta asalkan dia dapat pulang ke rumah.

Setiba saja di rumah bujangnya, ke meja kerja yang dituju. Dia buka laman sesawang Berita Global yang dikendalikan. Masih beroperasi seperti biasa. Seperti masa tidak pernah berhenti. Ya, sebenarnya masa memang terus bergerak. Jam digital pada sisi ruangan Berita Global pun bergerak seperti biasa. Yang luar biasanya hanya dia. Dia lupa. Apa yang dia patut buat? Jozree teliti satu persatu berita terkini. Ada satu berita dari Wuhan, China yang menarik perhatiannya. Dia baca tajuknya, 'WHO reported that there was a cluster of pneumonia cases – with no deaths – in Wuhan, Hubei Province.' bertarikh 4 Januari 2020.

Jozree mencapai laporan WHO bertarikh 10 Januari 2020 yang disediakan oleh sahabatnya Iris mengenai China mendedahkan garis panduan teknikal bagaimana mahu mengenalpasti, menguji dan menguruskan kes yang berpotensi berdasarkan kepada virus yang diketahui.

"Apa yang dah jadi ni?", dia pantas membuka pula berita bertarikh 12 Januari 2020. China secara terbuka mengumumkan sekuen genetik bernama COVID-19 dan sehari selepas itu, besar terpampang berita bertajuk 'Officials confirm a case of COVID-19 in Thailand, the first recorded case outside of China.'.

Dan berita hari ini, 14 Januari 2020 WHO melaporkan virus corona ini berlaku limitasi transmisi manusia kepada manusia yang lain mengikut 41 kes yang berlaku. Ia melibatkan di kalangan ahli keluarga tetapi berkemungkinan besar ia berisiko untuk merebak ke masyarakat luar. Jangkitan yang berlaku tidak seperti pengalaman mereka berhadapan dengan SARS, MERS dan pantogen respiratori yang lain.

Jozree dapat rasakan ini bukan kes penyakit biasa. Bukan juga wabak untuk sebuah negara tetapi mungkin mampu sampai ke tanah airnya juga. Pantas dia mencapai telefon bimbit yang ada dalam begnya. Iris dihubunginya dan setengah jam kemudian, Iris sudah tiba di hadapan rumahnya.

"Kau dah sihat? Jantung kau tu. Risau aku, tu sebab aku diamkan semua berita ni. Maaf tak sempat nak lawat kau."

"Tapi kau yang hantar aku ke hospital?"

"Ya, lepas tu aku dah sibuk ke sana sini, cari info, temuramah pakar perubatan, tunggu berita terkini terus dari WHO. Aku tak sempat singgah lawat kau, tapi aku kerap juga telefon Dr Suzanne tanyakan keadaan kau. Cuma 2 hari lepas sampai hari ni aku tak telefon dia. Syukurlah kau dah keluar hospital, tapi kau dah sihat betul ke? Aku tak nak kau buat kerja dalam keadaan jantung kau masih lemah!"

"Panjangnya hujah. Aku dah sihat, 8 hari dalam wad dipantau diperiksa, bila dah sah sihat, baru boleh keluar. Lupakan hal aku, apa cerita COVID-19? Apa tu?"

Iris mula menerangkan panjang lebar dan segala statistik serta kematian yang berturut turut di Wuhan. Bagi Iris, negara ini perlu mula takut. Perlu mula turunkan arahan supaya mengikut semua garis panduan yang WHO berikan. Jozree faham dan dia pasti kerajaan baharu yang mengambil alih pentadbiran negara ini akan bertindak pantas. Kementerian Kesihatan Malaysia pasti menerajui dengan bijaksana. Itu harapan Jozree yang mulanya tidak berapa dipersetujui oleh Iris. Iris bimbang keselesaan Malaysia yang jauh dari segala bencana alam dunia, yang jauh juga dari pencemaran melampau, atau penyakit yang pelik dan berbahaya, maka kita akan rasakan sentiasa selamat dan tidak perlu risaukan apa –apa pun.

Jozree tidak mampu menyangkal kebimbangan Iris yang sebelum ini sudah beberapa negara luar yang dia ikuti misi kemanusiaan dan bersama Doctors Without Borders membantu penduduk yang hadapi penyakit atau bencana alam. Maka, Iris nampak apa akan berlaku kepada penduduk di sebuah negara yang tidak pernah hadapi masalah atau bencana yang membunuh ribuan manusia serentak.

Sejak hari pertama Jozree keluar hospital sehingga tiba tarikh 13 Mac 2020, iaitu hampir 2 bulan selepas serangan jantung yang disangka akan menamatkan riwayatnya, kini dia yang menjadi barisan hadapan awal di negara ini melaporkan berita terkini, dan hari ini berita yang menggemparkan satu dunia apabila WHO memberi amaran kepada dunia bawa COVID-19 ialah sebuah pandemik.

"Pandemik, Iris. Kau tahu tak South China Morning Post melaporkan pesakit pertama yang hidapi virus corona ni pada 17 November tahun lepas. Negara China sendiri akui seramai 266 orang yang hidapi ketika itu. Ramai tu, 266 boleh membawa penyakit itu ke dalam masyarakat dengan berganda-ganda lagi jumlahnya dan sekarang itu yang berlaku."

"Kau takut?"

" Dua bulan lepas jantung aku hampir berhenti, Iris. Takut? Masa tu maksimum takut yang aku dah lalu. Sekarang aku faham kenapa Tuhan beri aku bernafas semula. Aku kena kuat dan bantu ramai yang akan perlukan bantuan," Iris gembira mendengarnya. Mereka sendiri mengikut arahan kerajaan yang dibantu maklum oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan langkah berjaga-jaga dan penjarakan sosial.

Hari ini saja sebanyak 39 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan. Sudah seramai 197 orang dijangkiti di Malaysia dengan 4 kes memerlukan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi dan diberi rawatan anti-viral. Sejak berlaku kes COVID-19 di sini, Jozree sering berhubung dengan Dr Suzanne juga. Selain mendapat info keadaan di ICU yang dijaganya, Jozree amat risaukan keselamatan Dr Suzanne.

Iris pernah mengusik Jozree dengan mengatakan sesuai sangat Dr Suzanne dengan Jozree yang tahun ini mencecah usia 38 tahun. Tidak jauh pun beza dan Dr Suzanne masih awal 30-an. Usikan Iris yang mulanya tidak dihiraukan oleh Jozree, tiba tiba semakin menjadi pula perasaannya terhadap doktor yang berkulit putih salju itu.

Beberapa hari kemudian, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama 14 hari bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020. Jozree dan Iris turun ke padang, ke daerah masyarakat marhaen. Terkejut dengan keputusan kerajaan kerana mereka salah sangka. Berita luar yang menunjukkan visual Wuhan seperti padang jarak pandang terkukur dan negara Barat juga kematian bertambah, mereka sangka inilah penghujung dunia. PKP membuatkan semua cemas. Jiran sebelah rumah Jozree sendiri dilihat membeli barang keperluan harian sehingga tidak muat kereta. Berpusu-pusu masyarakat ke pusat membeli belah, pasar raya, pasar mini, pasar basah juga, amat membimbangkan kerana hilang semua aturan penjarakan sosial itu. Ada juga yang bimbang mereka akan hilang mata pencarian apabila tidak boleh keluar rumah, tidak boleh ke pejabat atau berniaga.

Jozree dan Iris diminta membantu menerangkan, menyampaikan hebahan yang betul dan lebih positif supaya penduduk negara ini tidak terus cemas dan boleh menyebabkan COVID-19 semakin menular. Maka itulah yang mereka bersama sekalian wartawan media cetak, media elektronik dan media sosial memberikan maklumat setepat mungkin dan jauh dari spekulasi yang sememangnya bukan berita.

Kesibukan membuatkan Jozree terlupa menghubungi Dr Suzanne sebelum wanita itu menghubunginya. Berita yang disampaikan pendek, tetapi menekan

"Joz saya telefon ni nak beritahu, ibu awak dimasukkan ke ICU. Dia positif COVID-19."

"Ibu?"

Masa terhenti. Mata Jozree terus dijelmakan dengan wajah ibunya, Hajah Fatimah Ilyas. Terimbas 12 tahun lalu semasa hari dia mahu keluar dari rumah. Ibu menangis dan tidak mahu lepaskan pelukannya. Jozree bisik ke telinga ibu.

"Ibu terus doakan Joz selamat ya. Maafkan halalkan makan minum Joz , ibu. Demi kebahagiaan semua, Joz bawa diri . Joz takkan lupakan ibu. Percayalah Joz sayang sangat ibu, tapi Joz mohon ibu izinkan Joz pergi. Joz tak mahu ayah, adik adik lain terus bergaduh dengan Joz dan ibu sakit kerana usaha pertahankan Joz. Izinkan Joz pergi."

Ibu menangis. Basah baju di bahu Jozree. Jozree keras hati ketika itu. Tiada setitis pun air mata mengalir kerana dia sudah bertekad. Pergaduhan antara dia dengan ayah dan adik-adiknya soal harta, hal perniagaan yang semua mahukan keuntungan, merimaskan Jozree. Dia kecewa dengan keluarganya dan dia simpati dengan ibu yang kerap dimarahi ayah sebab membelanya.

Selama 12 tahun dia diamkan diri, berkelana dengan tugasnya meneroka berita dan cerita manusia lain sedangkan rindunya kepada manusia yang melahirkannya itu amat dalam ditelannya. Malam ini, wanita yang dia sukai bertemu dengan ibu tapi dalam keadaan yang amat menakutkannya.

"Saya nak jumpa ibu saya. 12 tahun saya tinggalkan dia .."

"Joz, hari awak sedar di wad dulu, ibu ada datang, tapi awak tak nak jumpa sesiapa kan? Itu sebab saya kenal ibu awak, tapi masa tu saya tak beritahu sebab akur dengan permintaan awak sebagai pesakit."

"Suzanne, saya nak jumpa ibu.."

"Maaf Joz.. Awak sendiri tahu hal itu tak mungkin berlaku dalam keadaan sekarang. Dia sudah ditidurkan. Oksigen dia semakin rendah. Joz, doakan untuk ibu, terus doakan untuk dia dan saya akan usaha selamatkan dia."

Mata Jozree berkaca. Laman maya Berita Global yang masih menyala di skrin besar komputer, seperti berhenti. Jam digital di sisi laman maya itu juga berhenti. Jozree lihat jam dinding rumah berhenti tetapi kemudian jarum saatnya bergerak ke belakang. Jam digital yang berhenti tadi bergerak semula tapi ke belakang juga pergerakan angka saatnya.

Jozree bingung. Jamnya sudah hilang punca. Ia mahu bantu mengulang masa? Tetapi yang berlaku sebenarnya dia yang sudah menerawang jauh dalam saat dan minit jam. Apabila dia benar-benar tersedar kini, Ogos 2021. COVID-19 bukan bersendiri di dalam hidup semua manusia, tetapi ia sudah pun berevolusi di udara dan pelbagai nama sudah diberi apabila pembentukannya semakin dianggap kuat. Jozree masih sendiri di dalam rumahnya dan setahun lebih dia sudah tidak berani melangkah keluar lagi. Suzanne masih setia datang ke rumah, membawa bekalan keperluan namun untuk Jozree meninggalkan rumahnya, dia tidak mahu. Dia tidak mahu tahu sudah berapa ribu jam sudah diluangkan masa di dalam saja. Biarkan masa semakin keliru kerana dia sendiri sudah memilih untuk hilang punca.

- Pengarang merentas genre ini turut dikenali sebagai penulis skrip, novelis dan pemuisi.

Berita Harian X