Rabu, 11 Julai 2018 | 6:43pm
PASUKAN penyelidik arkeologi Greek dan Jerman menemui petikan puisi epik, The Odyssey dalam bentuk catatan di plak daripada tanah liat di Ancient Olympia. - Foto Reuters
PASUKAN penyelidik arkeologi Greek dan Jerman menemui petikan puisi epik, The Odyssey dalam bentuk catatan di plak daripada tanah liat di Ancient Olympia. - Foto Reuters

Petikan puisi Homer tertua dunia ditemui

ATHENS: Petikan puisi epik, The Odyssey karya pengarang Yunani, Homer yang dipercayai tertua dalam sejarah, ditemui di Greece, semalam.

Pasukan penyelidik arkeologi Greek dan Jerman menemuinya dalam bentuk catatan di plak daripada tanah liat di Ancient Olympia, iaitu tempat asal Sukan Olimpik di Semenanjung Peloponnese, kata wakil Kementerian Kebudayaan Greek.

Ia mengandungi 13 bait daripada 14th Rhapsody dalam The Odyssey, iaitu wiranya, Odysseus berbicara dengan rakan sepanjang hayatnya, Eumaeus.

Anggaran awal tarikhnya ialah era Rom yang berkemungkinan sebelum abad ketiga selepas Masihi.

Tarikh itu masih memerlukan pengesahan tetapi kementerian itu menganggap plak berkenaan sebagai 'petunjuk arkeologi, epigrafi, sastera dan sejarah yang terhebat.'

The Odyssey, yang mengandungi 12,109 baris ditulis oleh penyair kuno Greek, Homer yang mengisahkan Raja Ithaca, Odysseus, yang berkelana selama 10 tahun dalam usaha untuk kembali ke tanah air selepas kejatuhan Troy.

The Odyssey ialah puisi penting kedua yang ditulis Homer selepas Iliad dan sarjana mencatatkan tarikh penulisannya sekitar 675 hingga 725 sebelum Masihi.

Ia secara meluas dianggap antara hasil karya sastera dunia yang terhebat. -Reuters

Berita Harian X