X
Selasa, 5 April 2022 | 10:00am
Sektor perkhidmatan dan perkilangan dijangka jadi penyumbang utama KDNK tahun ini. - Foto hiasan
Sektor perkhidmatan dan perkilangan dijangka jadi penyumbang utama KDNK tahun ini. - Foto hiasan

Strategi baharu lebih komprehensif diperlukan bantu pulih ekonomi

Malaysia mencatat sejarah penting pada 1 April 2022 dalam konteks pengurusan ekonomi mendepani cabaran pandemik COVID-19. Selepas lebih dua tahun berperang dengan pandemik, negara kini berada fasa peralihan ke endemik apabila sempadan antarabangsa dibuka dan aktiviti ekonomi serta sosial hampir kembali normal.

Hakikatnya, peperangan menentang virus ini belum berakhir. Rakyat masih perlu berwaspada. Namun, dua tahun lalu, negara perlu membuat pilihan sukar antara menyelamatkan nyawa dan memastikan kestabilan ekonomi.

Ketika ini, kerajaan dan rakyat lebih bersedia. Jika tidak ada lagi kemunculan varian membimbangkan (VOC) pada masa depan, dijangka sektor kesihatan lebih terkawal di mana rakyat mempunyai perlindungan maksimum dengan pemberian vaksin dan dos penggalak.

Beberapa bentuk prosedur operasi standard (SOP) kekal dilaksanakan. Pada ketika ini, terpulang kepada diri sendiri untuk menilai risiko pergerakan dan perkara perlu dilakukan jika dijangkiti virus COVID-19.

Dalam aspek ekonomi, ceritanya agak berbeza dan lebih kompleks. Pandemik mengakibatkan ekonomi Malaysia terjerumus dalam kemelesetan pada 2020 dengan prestasi menyusut 5.6 peratus.

Walaupun ekonomi negara berjaya bangkit pada 2021 dengan pertumbuhan pada kadar 3.1 peratus, ia bukan satu pemulihan berbentuk 'V' seperti dijangkakan, iaitu unjuran pertumbuhan ekonomi pada kadar melebihi tujuh peratus.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan serta kecelaruan politik mengakibatkan ketidakstabilan politik berlarutan antara penyebab utama menjejaskan prospek pemulihan ekonomi negara.

Berdasarkan latar belakang ini, 2022 tahun sangat penting dari segi usaha kerajaan bukan saja untuk memulihkan kembali ekonomi daripada impak COVID-19, tetapi juga memperkasakan serta menyusun semula ekonomi pada masa hadapan.

Jika dikaji laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 dikeluarkan Bank Negara (BNM) baru-baru ini, ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 5.3 hingga 6.3 peratus tahun ini.

Permintaan dalam negeri dijangka menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia dengan ramalan akan menyumbang 6.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perbelanjaan sektor swasta menjadi pemacu utama.

Semua sektor ekonomi dijangka mengalami pertumbuhan dengan industri perkhidmatan dan perkilangan menjadi penyumbang utama kepada KDNK tahun ini, masing-masing 3.9 peratus dan 1.3 peratus.

Kadar pengangguran pula dijangka menurun pada kadar 4 peratus. Namun, kadar inflasi dijangka mengalami tekanan menaik, terutama pada separuh kedua tahun ini yang antara lain disebabkan harga tenaga lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan berterusan dan ketidaktentuan keadaan geopolitik dunia seperti isu konflik ketenteraan di Ukraine sejak Februari lalu.

Kadar hutang isi rumah dan hutang sektor korporat juga berada pada tahap membimbangkan serta memerlukan perhatian khusus pada masa hadapan. Hutang isi rumah Malaysia berada pada tahap 89 peratus daripada KDNK negara, antara tertinggi di rantau ini, jauh lebih tinggi daripada Singapura (67.7 peratus), Indonesia (17.2 peratus) dan Filipina (9.9 peratus).

Rakyat Malaysia mengikut laporan ini, menanggung hutang RM1.4 trilion dengan pinjaman perumahan adalah komponen paling tinggi, iaitu 58 peratus.

Ia membawa kepada satu lagi masalah utama dalam ekonomi Malaysia, iaitu harga rumah tidak mampu milik. Sekali lagi, ini semua berkisar kepada isu struktural yang menghambat ekonomi Malaysia sejak sekian lama, iaitu sebelum pandemik COVID-19.

Ia membabitkan isu tahap pendapatan dan gaji rendah, kos sara hidup meningkat, sistem percukaian tidak cekap, penggunaan tanah tidak berkesan, masalah dalam pasaran buruh dengan kebergantungan kepada buruh asing, dasar perindustrian negara mempunyai tahap produktiviti rendah, kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan banyak lagi.

Pandemik menjadikan keadaan bertambah teruk dan pelbagai lagi isu dan cabaran baharu timbul memerlukan pelan hala tuju komprehensif untuk melakukan pembaharuan struktur menyeluruh yang mana usaha ini menjangkaui dasar monetari dan kewangan bank semata-mata.

Di sinilah keperluan untuk merangka visi kemakmuran mampan negara dengan mengambil kira usaha, strategi, dasar, program serta langkah sudah diatur kerajaan di bawah Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Sebagai permulaan, penting untuk hubungan di antara sektor awam dan sektor swasta dikaji semula. Seperti melihat dua tahun lalu, peranan kerajaan sangat kritikal, begitu juga usaha memperkasa dan menyusun semula ekonomi pada masa hadapan.

Kerajaan perlu memulakan agenda besar berorientasikan misi dan ini memerlukan perbelanjaan sektor awam besar untuk melaksanakan misi seperti reformasi sistem perlindungan sosial, mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk semua, menyediakan rumah mampu milik, ekonomi digital serta peralihan ekonomi kepada ekonomi neutral karbon dan lebih lestari. Semua ini memerlukan perbelanjaan besar.

Oleh itu, walaupun data terkini ekonomi menunjukkan kadar pertumbuhan agak baik, lebih penting lagi pada masa hadapan adalah hala tuju dan visi ekonomi jelas.

Kemakmuran diagihkan secara adil tidak mencukupi, sebaliknya ia perlu mampan, iaitu rakyat dapat menikmatinya secara berterusan walau apa juga yang berlaku kepada dunia.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X