Rabu, 23 March 2022 | 10:00am
Produktiviti buruh dijangka dapat ditingkatkan lagi pada masa depan apabila kenaikan gaji minimum dilaksanakan pada 1 Mei kelak. - Foto hiasan
Produktiviti buruh dijangka dapat ditingkatkan lagi pada masa depan apabila kenaikan gaji minimum dilaksanakan pada 1 Mei kelak. - Foto hiasan

Kenaikan gaji minimum ringan beban kos sara hidup isi rumah

Ketika ini, tanda-tanda awal pemulihan ekonomi negara mulai kelihatan, namun ketidakpastian keadaan ekonomi dan geopolitik global menyebabkan Malaysia masih perlu lebih berhati-hati dengan prospek ekonomi tahun ini.

Pada masa sama, ekonomi rakyat juga dilihat masih terkapai-kapai ketika negara menuju fasa peralihan ke endemik, apatah lagi untuk bangkit semula dengan lebih baik pada pasca pandemik.

Menyedari perkara ini, antara langkah kerajaan membantu rakyat adalah pelaksanaan gaji minimum RM1,500. Justeru, apakah kaitan langkah pemulihan ekonomi ini dengan dasar penetapan gaji minimum RM1,500.

Peningkatan gaji minimum kepada RM1,500 ini mungkin bukan silver bullet kepada penyelesaian menangani isu ekonomi rakyat, namun ia menuju ke arah yang tepat.

Akibat pandemik COVID-19, pada 2020, purata gaji dan upah bulanan pekerja menurun pada kadar 9 peratus, pertama kali direkodkan sejak 2010.

Lebih 600,000 isi rumah tergelincir daripada golongan M40 dan sekarang mengembangkan lagi golongan B40 kepada B50 ataupun B60.

Kadar kemiskinan pula berada pada tahap membimbangkan, merekodkan kadar 8.4 peratus pada 2020.

Had pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) juga dinaikkan kepada RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005.

Maka, jumlah isi rumah dalam kategori miskin meningkat, begitu juga dengan kemiskinan tegar yang bukan sahaja disebabkan peningkatan PGK, tetapi juga hambatan pandemik dan penutupan aktiviti ekonomi dan sosial yang agak lama.

Isi rumah yang berada dalam kategori miskin adalah sekitar 640,000 orang, manakala miskin tegar pula adalah sekitar 78,000 orang, iaitu mereka yang menerima pendapatan di bawah PGK ini.

Ketidakseimbangan agihan pendapatan juga semakin melebar. Jika dilihat Pekali Gini, ia meningkat kepada 0.411 pada 2020 berbanding 0.39 pada 2016 (Pekali Gini mata 0 bermaksud sama rata sempurna dan 1 bermaksud tidak sama rata sepenuhnya).

Bayangkan juga kadar gaji permulaan graduan juga jatuh daripada antara RM2,001-RM2,500 pada 2019 kepada RM1,001-RM1,500 pada 2020.

Selain itu, lebih 50 peratus daripada jumlah tenaga buruh negara menerima gaji sekitar RM2,090. Hutang isi rumah juga semakin meningkat.

Natijahnya, kerajaan terpaksa melaksanakan keputusan begitu sukar seperti membenarkan lagi pengeluaran khas caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000.

Pada ketika ini, dianggarkan seramai 6.1 juta pencarum mempunyai kurang RM10,000 dalam simpanan mereka.

Maka, atas dasar ini, gaji minimum perlu dinaikkan. Hakikatnya, kadar RM1,500 sebenarnya dianggap masih tidak mencukupi.

Jika dilihat kajian Bank Negara Malaysia (BNM) berkenaan gaji kehidupan wajar ataupun living wage, kadar RM1,500 ini begitu jauh daripada gaji minimum diperlukan untuk mencapai gaji kehidupan wajar ini.

Dari segi konsepnya, gaji kehidupan wajar adalah kadar gaji yang patut diterima seseorang untuk membolehkannya memenuhi keperluan asas kehidupan sehariannya secara bermaruah tanpa dikekang dengan bebanan kewangan serius.

Sebagai contoh, mengikut kajian BNM, di Kuala Lumpur misalnya, gaji kehidupan wajar bagi seorang individu adalah RM2,700 dan bagi yang ada pasangan adalah sebanyak RM4,500, manakala pasangan yang mempunyai dua orang anak adalah RM6,500.

Isu utama rakyat pada ketika ini pula adalah tekanan inflasi dan kos sara hidup mencanak naik. Dikatakan, harga barang kini melambung walaupun kenaikan gaji minimum belum lagi dilaksanakan.

Kenaikan gaji minimum ini akan meningkatkan produktiviti pekerja pada masa hadapan untuk mencapai skala ekonomi (economies of scale) kepada perniagaan, yang akhirnya meningkatkan pengeluaran dengan penjimatan dalam kos pengeluaran.

Selain itu, pada ketika ini, sudah ada tanda-tanda menunjukkan peningkatan tahap produktiviti buruh negara.

Data pada suku keempat 2021 misalnya menunjukkan adanya peningkatan dalam produktiviti buruh di Malaysia sebanyak 1.7 peratus, terutama kepada tiga sektor utama, iaitu sektor pembuatan (5.3 peratus), pertanian (2.9 peratus) dan perkhidmatan (1 peratus).

Peningkatan dalam produktiviti buruh ini dijangka dapat ditingkatkan lagi pada masa depan apabila kenaikan gaji minimum dilaksanakan pada 1 Mei kelak.

Persoalannya di sini adalah, adakah perlu produktiviti buruh meningkat atau keuntungan syarikat meningkat dulu sebelum kadar gaji minimum dinaikkan.

Hakikatnya, nisbah pampasan pekerja di Malaysia masih rendah pada kadar sekitar 37 peratus. Ini berbeza dengan kebanyakan negara maju yang mempunyai nisbah pampasan pekerja lebih tinggi, iaitu melebihi 50 peratus.

Tidak dinafikan, banyak lagi peniaga terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih berdepan dengan masalah untuk memulihkan perniagaan mereka.

Sebab itu, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan kadar baharu gaji minimum ini kepada sektor PMKS dan peniaga dikenal pasti masih terjejas ketika ini.

Namun, ini adalah bersifat sementara. Tahap gaji di Malaysia, bukan sahaja pekerja dalam PMKS atau swasta, malah pada peringkat awam juga perlu dinaikkan, terutama mereka yang berada dalam golongan B40 dan M40.

Bergerak ke hadapan, penyelesaian yang tuntas dan holistik perlu difikirkan untuk merangsang kembali ekonomi negara dan memperkasakan kembali ekonomi rakyat.

Pertumbuhan ekonomi perlu dirangsang, bentuk pelaburan dan perniagaan hijau baharu perlu diteroka, ekonomi digital perlu dioptimumkan, manakala sistem perlindungan sosial perlu direformasikan.

Jika kita gunakan analogi kereta, perlu diwujudkan mekanisme 'penstabil automatik' yang bertindak sebagai 'penyerap tekanan' ekonomi masa hadapan.

Pada ketika ini, walaupun banyak lagi perlu dilakukan, keputusan menaikkan kadar baharu gaji minimum ini memberikan petunjuk jelas kerajaan memahami isu ini dan bergerak di landasan betul.

Penulis adalah Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X