Jumaat, 25 Februari 2022 | 11:00am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tubuh jawatankuasa mediasi atasi isu penukaran agama anak

Pemelukan agama kanak-kanak kembali menjadi kemelut apabila kes ibu tunggal, Loh Siew Hong yang juga pihak bukan Islam mempertikaikan kesahihan penukaran agama Islam tiga anaknya oleh bekas suaminya yang memeluk Islam tanpa persetujuannya.

Dalam permohonan habeas corpus bagi mendapat hak penjagaan tiga anaknya di bawah umur, Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur membenarkan permohonan itu.

Senario kes Siew Hong bermula sejak Mac 2019. Beliau berpisah dengan suaminya dan kemudian berpisah daripada anak-anaknya yang kini berusia 14 tahun (pasangan kembar) serta 10 tahun.

Sekitar Julai 2019, beliau mendapat perintah hak penjagaan interim anaknya sementara menunggu isu perceraian dengan bekas suami dimuktamadkan. Kes perceraian mereka di mahkamah sivil tertunda disebabkan pandemik.

Pada Mac 2021, Siew Hong akhirnya berjaya mendapat perintah penjagaan penuh anaknya daripada mahkamah sivil. Namun, Siew Hong tidak menjaga anak ini sejak berlaku perpisahan, walaupun mendapat hak jagaan tunggal. Bapa bertanggungjawab menjaga dan memenuhi keperluan anak.

Menurut Siew Hong, bekas suaminya, Nagahswaran Muniandi menukar agama kepada Islam turut membawa anaknya untuk memeluk Islam kira-kira tiga tahun lalu.

Pada September 2021, bapa tiga kanak-kanak terbabit dipenjarakan atas kesalahan dadah. Semasa keberadaan bapa dalam penjara, anaknya diserahkan untuk dijaga Nazirah Nantha Kumari, iaitu seorang ustazah.

Nazirah berusaha menghubungi Siew Hong untuk datang menziarahi dan berbincang mengenai anaknya, tetapi tidak mendapat maklum balas. Hal ini disebabkan Nazirah juga mempunyai ibu bukan Muslim dan memahami perasaan seseorang ibu jika mengetahui anaknya sudah menukar agama. Beliau juga menasihati anak Siew Hong untuk berbuat baik kepada ibu mereka.

Pada 14 Februari lalu, Siew Hong membawa surat mahkamah sivil mengesahkan beliau sebagai penjaga anaknya. Siew Hong mahu mengambil anaknya, namun kanak-kanak berkenaan dikatakan tidak mahu mengikut ibu mereka.

Oleh itu, mereka ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga 9 Mac lalu seperti mana diputuskan Mahkamah Tinggi Kangar. Sekiranya pun mereka mahu mengikut ibu mereka, mereka tidak mahu meninggalkan Islam.

Tiga anak Siew Hong berada di bawah jagaan JKM Perlis hingga keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu terhadap habeas corpus untuk mendapat hak penjagaan tiga anaknya memihak kepadanya.

Pada 20 Februari lalu, Siew Hong menyatakan hasratnya mencabar penukaran agama sepihak tiga anaknya menerusi semakan kehakiman.

Hal ini disebabkan penukaran agama tiga anaknya itu dikatakan dilakukan tanpa keizinan beliau meskipun memiliki hak penjagaan penuh.

Isu yang timbul adalah bolehkah salah seorang daripada ibu bapa menukar agama seorang kanak-kanak bawah 18 tahun?

Dalam konteks Malaysia, Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan 'agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.'

Melihat kepada versi dalam bahasa Inggeris, ia menyebut perkataan parent membawa maksud ibu atau bapa. Sekiranya perkataan parents ditulis dengan jelas, ia membawa maksud ibu bapa.

Ahli perundangan dan akademik membuat tafsiran berbeza mengenai perkataan parent dalam Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan. Bagi yang menyokong ia membawa maksud kedua-dua ibu bapa, mereka merujuk kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dalam tafsiran his (dia lelaki) meliputi her (dia perempuan). Begitu juga perkataan parent hendaklah juga difahami secara jamak, iaitu parents.

Penentuan agama kanak-kanak sepihak adalah selaras dengan keputusan dalam kes Susie Teoh dan kes Subashini yang Mahkamah Persekutuan memberi takrifan perkataan parent sebagai salah seorang ibu atau bapa dan pengislaman anak oleh salah satu pihak adalah sah.

Perlu dimaklumkan buat masa sekarang ada negeri memperuntukkan keperluan keizinan ibu dan bapa serta terdapat juga negeri hanya memperuntukkan keperluan keizinan ibu atau bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun.

Contohnya, Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perlis) 2006 tidak mensyaratkan persetujuan kedua-dua ibu bapa dalam pengislaman kanak-kanak bawah 18 tahun.

Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada mesyuarat kali ke-87 pada 25 Jun 2009 memutuskan apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak di bawah umur adalah mengikut Islam dan hak penjagaan anak berkenaan hendaklah diletak di bawah ibu atau bapa beragama Islam.

Keputusan muzakarah ini diikuti Sabah, Sarawak dan Pahang. Malangnya, semua fatwa berkenaan tidak diwartakan.

Terdapat keputusan Mahkamah Sivil memberikan hak penjagaan anak bersama kepada kedua-dua ibu bapa, walaupun salah seorang bukan beragama Islam. Pendekatan ini dapat dilihat dalam kes Sharmala apabila hakim Faiza Thamby Chik memberi hak bersama penjagaan anak itu kepada kedua-dua ibu bapa, tetapi ibu mempunyai hak menjaga dan mengawal anaknya meliputi penjagaan seharian dan bertanggungjawab menjaga mereka.

Hakim mengatakan hak penjagaan anak itu diberi kepada kedua-dua ibu bapa agar mereka bersetuju terhadap isu berkenaan anak seperti pendidikan, pilihan terhadap agama dan harta. Ini mengambil kira Seksyen 5 Akta Penjagaan Kanak-kanak 1961.

Meskipun begitu, hakim berkenaan meletakkan kaveat bahawa anak itu adalah seorang mualaf dan hak bersama diberi kepada Sharmala (ibu) akan hilang sekiranya terdapat alasan munasabah mempercayai si ibu akan mempengaruhi agama anaknya atau memberi mereka makan babi dan sebagainya.

Pendekatan ini tidak diambil dalam kes Indira Gandhi. Mahkamah Persekutuan membuat keputusan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan bagi menentukan agama anak-anak bawah 18 tahun mengikut Perkara 12 (4) dengan merujuk kepada takrifan di bawah Jadual Ke-11 dan Seksyen 5 dan 11 Akta Penjagaan Kanak-Kanak 1961 (GIA).

Dalam hal ini, Mahkamah Persekutuan tidak mengambil pendekatan dalam kes Subashini dan Sharmala bahawa pihak suami atau isteri mempunyai hak menukarkan agama anak bawah umur kepada Islam.

Justeru, berikut cadangan perlu dipertimbangkan bagi mencari satu titik pertemuan:

Pertama: Menubuhkan satu jawatankuasa mediasi antara agama bagi menyelesaikan kes sebegini. Pendekatan ini tidak memerlukan pindaan undang-undang kerana ia boleh dibuat secara pentadbiran. Panel dilantik mesti terdiri daripada pihak beragama Islam dan bukan Islam.

Kedua: Menubuhkan mahkamah keluarga khas di bawah Mahkamah Sivil dengan penubuhan jawatankuasa khas yang ahlinya terdiri daripada mereka yang arif dalam kedua-dua bidang, iaitu undang-undang sivil dan syariah. Ini bagi meraikan kedua-dua pihak berlainan agama.

Ketiga: Hakim Mahkamah Sivil hendaklah bersidang dengan hakim Mahkamah Syariah apabila kes mengenai undang-undang Islam dibangkitkan dalam Mahkamah Sivil.

Keempat: Hakim Mahkamah Syariah boleh dipinjamkan ke Mahkamah Sivil bagi mengendalikan kes membabitkan konflik antara undang-undang syariah dengan undang-undang sivil. Sedikit pindaan perlu dibuat kepada Perkara 122B dan 123 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X