Ahad, 2 Januari 2022 | 11:00am
Gambar hiasan/Orang ramai melakukan aktiviti riadah pada hari pertama tahun baru 2022 di sekitar ibu negara. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Gambar hiasan/Orang ramai melakukan aktiviti riadah pada hari pertama tahun baru 2022 di sekitar ibu negara. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

Kekalkan semangat kerjasama, sehati sejiwa harungi 2022

Tahun 2021 melabuhkan tirai meninggalkan pelbagai suka duka. Bukan sahaja pandemik COVID-19 masih tidak nampak ke penghujung, malah pelbagai isu lain antaranya politik, ekonomi, pendidikan dan sosial.

Bagaimanapun, ada sesetengah isu berjaya diselesaikan dengan kerjasama pelbagai pihak. Ini menunjukkan kita semua saling bekerjasama dalam apa jua keadaan.

Itu semua kisah dan sejarah pada 2021 yang boleh kita jadikan panduan serta rujukan mendepani masa mendatang.

Bagaimana pula dengan 2022 yang baru sahaja kita melangkah masuk? Apakah 2022 akan menjadi tahun lebih baik dengan pelbagai kejayaan ataupun sebaliknya?

Dari aspek sistem kesihatan, kita mengharapkan sinar baharu dalam menangani pandemik. Ini amat ditagih semua memandangkan kita menghadapi virus ini sejak hujung 2019 lagi.

Daripada tidak begitu biasa dengan norma baharu hingga menjadi kebiasaan perlu dilakukan. Ini menunjukkan kita sudah dapat menerima satu perubahan dalam kehidupan.

Bukan itu sahaja, pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dapat diikuti, walaupun ada sesetengah berasakan apa diperkenalkan sedikit menyusahkan.

Dalam membicarakan kes COVID-19 dan sistem kesihatan, kita berjaya mengawal sedikit penularan virus ini dengan kadar kes harian hanya dalam lingkungan di bawah 4,000 kes sehari.

Perlu ingat Malaysia pernah mencatat kes harian tertinggi sebanyak 23,564 kes. Pada masa ini, kita sedikit gusar dengan kes semakin tinggi.

Menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ditambah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia sangat membantu dalam menangani penularan COVID-19.

Kita menutup tirai 2021 dengan lebih 22.8 juta individu atau 97.6 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap vaksinasi. Melalui PICK, jumlah kumulatif pemberian vaksin meningkat kepada lebih 57 juta dos termasuk hampir 6 juta dos penggalak.

Situasi ini memberi sedikit sinar kelegaan, hasil sumbangan setiap kita sebagai rakyat inginkan negara bebas daripada COVID-19 dan kembali kehidupan seperti biasa.

Namun, wujudnya varian baharu di luar jangka seperti Delta dan Omicron semestinya memberikan cabaran dalam mendepani 2022 ini. Apakah perlu dilaksanakan PKP kembali secara menyeluruh bagi mengekang penularannya atau perlu pendekatan berbeza?

Kita sudah melalui fasa PKP yang semua merasai kesan pelaksanaannya. Oleh itu, kita harus bekerjasama dan berganding bahu agar sistem kesihatan kita tahun ini menjadi lebih baik serta berupaya mendepani ancaman COVID-19, terutama mengekang penularan varian baharu.

COVID-19 bukan sahaja memberi kesan kepada sistem kesihatan, malah sistem pendidikan negara. Masakan tidak, pada awal pandemik COVID-19, sistem pendidikan kita dilihat sedikit tidak teratur.

Bukan sahaja sekolah rendah dan menengah, ia turut menjejaskan sistem pendidikan tinggi juga. Kedua-dua kementerian perlu mengambil tindakan drastik dan rasional dalam memastikan sistem pendidikan negara terus bergerak.

Ketika itu, sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu ditutup sementara waktu dan pengajaran dan pembelajaran (PdP) perlu dilaksanakan secara maya, iaitu dari rumah.

Pada permulaan sistem ini dilaksanakan, ia memberi sedikit kekangan khususnya kepada mereka tidak mempunyai talian atau mendapat liputan internet bagus, selain ketiadaan peranti khusus.

Sehubungan itu, agensi terbabit mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pelbagai pendekatan dalam memastikan tiada pelajar tercicir. Antara pendekatan diambil adalah dengan memperkenalkan DidikTV Kementerian Pendidikan (KPM).

Bagaimanapun, pihak berwajib masih perlu memikirkan pendekatan lebih holistik sejajar dengan situasi terkini COVID-19 agar penyampaian sistem pendidikan lebih berkesan dalam memastikan tiada sesiapa tercicir dalam arus pendidikan nasional.

Ia penting untuk melahirkan generasi berfikiran terbuka dengan ilmu pengetahuan dan berkeupayaan tinggi. Kerjasama individu, ibu bapa dan warga institusi pendidikan juga perlu dalam memastikan sistem pendidikan negara selamat dan terus bergerak.

Sistem ekonomi juga teruk dibadai virus. Ini dapat dilihat pada awal penularan pandemik apabila kerajaan melaksanakan PKP sangat memberi kesan kepada sektor ekonomi negara.

Sepanjang penutupan sektor ekonomi daripada 18 Mac 2020 hingga 3 Mei 2021 menunjukkan negara mengalami kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari. Ramai hilang pekerjaan atau dipotong gaji, manakala pengusaha kecil turut terjejas teruk.

Oleh itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif dalam membantu kembali rakyat terjejas di samping merangsang kembali sektor ekonomi negara melalui pakej rangsangan dan pelan jana semula ekonomi.

Semua inisiatif itu adalah untuk memastikan keseimbangan antara kesihatan rakyat dengan ekonomi menjadi dua aspek paling penting perlu diberi keutamaan dalam mendepani cabaran COVID-19.

Hasilnya akan dapat dilihat sejauh mana segala inisiatif diambil memberi impak besar kepada ekonomi negara khususnya bagi tahun ini.

Apakah dengan segala pakej rangsangan diperkenalkan dapat mengawal kadar pengangguran semasa, kadar kemiskinan makin menguncup dan ketidakseimbangan ekonomi makin mengecil?

Seandainya tidak, maka 2022 akan menjadi satu tahun yang makin mencabar bagi kita semua dalam mengharungi keadaan ekonomi semasa.

Bagaimanapun, kita tidak hanya boleh mengharapkan kerajaan semata-mata, tetapi perlu berganding bahu dan bekerjasama dalam memastikan kesejahteraan ekonomi kita semua.

Justeru, jadikan 2021 sebagai panduan dan suntikan untuk kita semua dalam memastikan sinar baharu yang bakal muncul memberi penuh kebahagiaan. Walaupun tahun lalu banyak dugaan, ujian dan cabaran, kita membuktikan dapat mengharunginya dengan tabah.

Ini juga dapat dilihat apabila beberapa negeri dilanda banjir. Pelbagai bantuan dari segi tenaga, barang keperluan dan wang ringgit disalurkan kepada mangsa banjir.

Bantuan diberikan tidak mengenal agama dan bangsa. Semuanya sehati sejiwa dalam memberi bantuan diberikan, seiring slogan selalu dilaungkan Perdana Menteri, iaitu Keluarga Malaysia.

Oleh itu, kejayaan kita dalam mengharungi 2021 adalah kerjasama dan sokongan antara satu sama lain. Kita perlu mengekalkan semangat itu dan memperkukuhkan lagi bagi mendepani cabaran baharu semestinya lebih mencabar.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam

Berita Harian X