Ahad, 21 November 2021 | 11:00am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Hayati Perlembagaan dalam acuan Keluarga Malaysia

Keluarga Malaysia boleh dirujuk kepada rakyat Malaysia yang sejak sekian lama berpegang kepada Rukun Negara - percaya kepada Tuhan, setia kepada Raja dan negara, menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati kedaulatan undang-undang serta sentiasa bersopan dan bertatasusila dalam pergaulan seharian.

Rakyat, tanpa mengira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Melanau, orang asal atau mana-mana etnik sekalipun, adalah bergelar Keluarga Malaysia. Inilah ciri-ciri yang wajib dihayati.

Justeru, 'perpaduan dalam kepelbagaian' atau unity in diversity adalah berteraskan kepada model integrasi dihasratkan untuk rakyat Malaysia yang menerima hakikat bahawa masyarakat negara ini bersifat kepelbagaian dari segi latar belakang pegangan agama, pengenalan bangsa dan budaya.

Keluarga Malaysia wajib mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, membentuk identiti nasional dengan semangat kekitaan, prihatin, inklusif, saling menghormati dan bertanggungjawab. Semua ini, demi melahirkan rakyat Malaysia yang membudayakan perpaduan.

Apa pun, usaha ke arah mencapai hasrat Keluarga Malaysia perlu menekankan tiga aspirasi perpaduan - membina rakyat patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional dan mengukuhkan ekosistem perpaduan dengan meningkatkan literasi, pemahaman dan penghayatan Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.

Usaha ke arah menyemai nilai perpaduan dalam pendidikan awal kanak-kanak, memperkasa pendidikan Rukun Negara, mempergiat program patriotisme, kenegaraan dan nilai murni, memperkasa modul kenegaraan dalam pendidikan formal dan pendidikan sepanjang hayat serta membina kepakaran dalam bidang perpaduan, wajar diperkukuhkan.

Dalam mempergiat program patriotisme, kenegaraan dan nilai murni serta memperkasa modul kenegaraan dalam pendidikan formal dan pendidikan sepanjang hayat, amat perlu dan penting untuk modul literasi dan memasyarakatkan Perlembagaan digubal bagi mencapai strategi ini.

Konsep literasi dan memasyarakatkan Perlembagaan bererti masyarakat perlu didedahkan dengan Perlembagaan bukan hanya dari aspek perundangan semata-mata, tetapi juga perspektif sejarah, budaya, agama, politik dan hubungan etnik.

Ini dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Reid yang menekankan betapa penting Perlembagaan itu mengambil kira faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud pada 1957.

Hal sama juga diluahkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengenai kebimbangan terhadap kecenderungan rakyat negara ini yang semakin hilang sifat tolak ansur, menyebabkan wujud pemisahan masyarakat mengikut etnik dan agama disebabkan ketidakfahaman mereka mengenai rasional setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

Modul literasi dan memasyarakatkan Perlembagaan ini boleh digunakan pihak kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memberi kefahaman untuk membentuk penghayatan kepada penjawat awam, NGO, pihak swasta dan masyarakat.

Motifnya, supaya mereka memahami maksud Perlembagaan bukan hanya dari segi undang-undang, tetapi lebih penting penghayatan dari segi sejarah, budaya, agama, politik dan hubungan etnik.

Penghayatan terhadap Perlembagaan akan mengurangkan jurang konflik yang sering kali dibangkitkan masyarakat, khususnya membabitkan isu seperti agama Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Institusi Raja-Raja Melayu.

Kajian dijalankan jelas menunjukkan terdapat perkaitan yang signifikan antara tahap pengetahuan dan kefahaman pelajar dengan tahap penerimaan terhadap peruntukan Perlembagaan.

Mereka yang mempunyai tahap pengetahuan serta kefahaman mengenai Perlembagaan yang tinggi, turut mempunyai tahap penerimaan tinggi terhadap peruntukan dalam Perlembagaan.

Maka, pemahaman masyarakat terhadap rasional peruntukan dalam Perlembagaan seperti Islam dan orang Melayu, penting diperjelaskan kerana ia membantu dalam mempengaruhi masyarakat untuk menerima isu berkaitan Islam dan orang Melayu dalam Perlembagaan.

Apabila masyarakat memahami kenapa sesuatu peruntukan itu dimasukkan dalam Perlembagaan, mereka akan lebih mudah menerima jika dibandingkan mereka yang tidak memahami.

Jelas, ia membuktikan rasional sesuatu peruntukan itu dimasukkan dalam Perlembagaan perlu diambil kira. Sebagai contoh, masyarakat perlu diberi rasional kenapa orang Melayu mendapat kedudukan istimewa, kenapa Islam menjadi agama Persekutuan, kenapa bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan dan kenapa institusi beraja dikekalkan dalam struktur pemerintahan Malaysia.

Begitu juga perlu diperjelaskan bahawa, peruntukan Islam dan orang Melayu bukan hanya tertumpu kepada perkara tertentu sahaja. Selain Perkara 3, Perkara 11, Perkara 12, Perkara 121(1A), peruntukan Islam juga terangkum dalam Perkara 150 dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukan orang Melayu dalam Perlembagaan pula bukan setakat dalam Perkara 153, tetapi juga terangkum dalam Perkara 8(5e), Perkara 89 dan 90 dan Jadual Ke-13 mengenai persempadanan kawasan pilihan raya.

Dicadangkan, dalam konsep memasyarakatkan Perlembagaan, perkara seperti penerangan mengenai kerjasama etnik ketika menuntut kemerdekaan dan ketika menggubal Perlembagaan, selain rasional sesuatu peruntukan itu diperuntukkan dalam Perlembagaan, penerangan mengenai kontrak sosial, penerangan mengenai tiang seri dalam Perlembagaan (bahasa Melayu, agama Islam dan kedudukan istimewa orang Melayu), penulisan menekankan semangat dan falsafah Perlembagaan dan bukan berbentuk perundangan semata-mata serta penerangan mengenai peranan unsur tradisi, hendaklah ditekankan.

Program pemekaan kontrak sosial perlu juga dilaksanakan bertujuan mewujudkan kepekaan pelajar terhadap pengetahuan dan kefahaman mengenai isu terbabit. Di samping itu, pelaksanaan kedudukan istimewa orang Melayu perlu dibuat secara telus, agar ketidakpuasan hati dalam kalangan bukan Melayu dapat diketepikan.

Mereka berasakan peruntukan terbabit tidak sampai kepada orang Melayu secara keseluruhannya, tetapi sebaliknya hanya kepada kelompok elit tertentu.

Ayuh, bersama sederap kita sebagai rakyat Malaysia menyokong usaha ke arah perpaduan dalam acuan Keluarga Malaysia.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan), Pusat Pengajian Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X