Isnin, 22 Februari 2021 | 11:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pelan imunisasi sinar baharu kepada negara, masyarakat

RENTETAN usaha berterusan semua pihak dan digerakkan secara kolektif Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Luar dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula April tahun lalu, semalam negara mencatatkan sejarah apabila menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 daripada pengeluar Pfizer-BioNTech.

Vaksin itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH604, 10 pagi semalam dengan pesawat dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASkargo) membawa 312,390 dos vaksin.

Ketibaan pesawat membawa vaksin dengan nama spesifiknya, Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) itu disambut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dengan tibanya vaksin kumpulan pertama itu, kementerian juga memaklumkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijadualkan bermula Jumaat ini, akan diawalkan kepada Rabu ini dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dr Noor Hisham akan menjadi individu awal menerima vaksin Pfizer-BioNTech itu.

Bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini juga menandakan permulaan fajar baharu selepas penularan itu mula dikesan di negara ini. Kes pertama tercatat dalam lembaran sejarah Malaysia membabitkan tiga warga China masuk melalui Johor dari Singapura pada 23 Januari 2020. Rakyat Malaysia pertama berusia 41 tahun berasal dari Selangor pula disahkan positif COVID-19 oleh KKM pada 3 Februari berikutnya.

Sejak itu, bermula catatan pertambahan kes positif dan kes kematian akibat COVID-19 di negara ini yang terkesan ke atas segenap lapisan masyarakat sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

Akibat jumlah kes positif COVID-19 melebihi 118,000 kes di lebih 110 negara dan risiko penularan pantas menyebabkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan pandemik pada 11 Mac.

Kebimbangan itu turut mendorong Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) digunakan bagi memantau pematuhan rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Selepas setahun COVID-19 di negara ini, kita masih berhadapan cabaran mengawal penularan oleh barisan hadapan dan rakyat. Ini terbukti dengan 283,569 kes positif COVID-19 direkodkan dan kes kematian terkumpul 1,056 setakat semalam.

Justeru, tindakan proaktif kerajaan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan pelancaran Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, 14 Februari sebagai strategi ampuh memperkuatkan lagi usaha kawalan penularan COVID-19.

JKJAV ditubuhkan dengan peranan utama sebagai jawatankuasa induk dalam merancang, melaksana dan memantau keseluruhan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Berdasarkan maklumat KKM, hingga Februari lalu, Malaysia mendapat akses bekalan vaksin COVID-19 sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19.

Bekalan vaksin pembekal berbeza akan diterima Malaysia secara berperingkat bermula bulan ini, tertakluk kelulusan pendaftaran Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

KKM melalui PBKD dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menggariskan kriteria antaranya profil keselamatan vaksin, kualiti vaksin dan vaksin mempunyai nilai efikasi baik untuk digunakan kepada rakyat sebelum sesuatu vaksin boleh diberikan pendaftaran bersyarat.

Pendaftaran bersyarat ini diberikan ketika tempoh pandemik berlaku dan bertujuan memberikan akses segera kepada vaksin COVID-19 dengan menggunakan risk-based approach.

KKM juga mengambil tanggungjawab urusan pendaftaran semua vaksin COVID-19 tanpa mengabaikan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan. Vaksin ini juga sentiasa dipantau dengan rapat selepas digunakan dan pihak pengeluar perlu melaporkan sebarang kesan sampingan kepada KKM.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pula menggariskan dasar dan strategi perolehan bekalan vaksin, pelaksanaan pemberian serta pemantauan bagi membendung pandemik COVID-19 dalam negara.

Melalui pelan imunisasi ini, strategi kerajaan adalah untuk memastikan sebanyak yang mungkin rakyat menerima vaksin bagi menyelamatkan nyawa.

Ini tindakan inklusif dan bersasar supaya pemberian vaksin secara massa serta berperingkat mampu mencapai pembentukan imuniti kelompok dalam masyarakat. Kerajaan menyasarkan vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada semua warganegara dan bukan warganegara Malaysia, sekali gus memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa menerima vaksin menjelang Februari tahun depan.

Antara maklumat utama digariskan dalam pelan Imunisasi Kebangsaan COVID-19, strategi pemberian vaksin dan mengenal pasti kumpulan sasaran. Strategi ini berdasarkan risiko jangkitan dan pendedahan kepada individu dan kumpulan sentiasa terdedah sewaktu menjalankan tugasan harian.

Kumpulan pertama dikenal pasti untuk penerimaan vaksin ialah petugas barisan hadapan terutama petugas kesihatan bagi terlindung daripada jangkitan COVID-19, sekali gus keselamatan diri petugas terbabit sentiasa pada tahap optimum.

Sasaran kedua, kumpulan individu berisiko tinggi agar terlindung daripada jangkitan COVID-19. Ini berdasarkan maklumat daripada laporan jangkitan dan kematian sering dikaitkan dengan mereka berpenyakit. Ia dapat mengurangkan beban kepada sistem kesihatan awam.

Strategi seterusnya, termasuk menumpukan kepada kawalan penularan dan pemberian vaksin sepanjang fasa dua serta tiga di kawasan kluster berisiko tinggi.

Berdasarkan struktur tadbir urus Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sangat jelas pembabitan pelbagai pihak dalam jayakan pelaksanaan program ini tanpa mengenal erti penat serta pengorbanan tinggi untuk negara.

Tiada kata boleh digambarkan terhadap pembabitan mereka sejak mula kes pertama COVID-19 dikenal pasti. Hanya mampu terungkap ialah 'anda semua pejuang sejati negara.'

Diharapkan dengan pelan imunisasi berlangsung Rabu ini, ia memberi sinar baharu kepada seluruh masyarakat dan negara. Semua pihak mengharapkan dan sentiasa berdoa agar ekonomi negara terjejas teruk akan dapat kembali pulih dan kehidupan rakyat kembali sedia kala.

Namun, perlu diberi perhatian program imunisasi ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya setahun hingga Februari tahun depan, justeru kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga agar penularan COVID-19 terkawal dan semua langkah pencegahan perlu dipatuhi supaya pandemik tidak berulang.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Kajian, Inovasi & Pembangunan (IRDI), International Medical University (IMU) dan Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik)

Berita Harian X