Rabu, 2 Disember 2020 | 11:18am

Sistem ABMS berkesan tangani rasuah, salah guna kuasa

MENURUT Global Financial Integrity Report 2017, antara 2005 hingga 2014, Malaysia kehilangan RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah yang sebahagian daripadanya berpunca amalan rasuah.

Ini adalah jumlah sangat tinggi dan menjadi kerugian amat besar buat negara kita. Alangkah baiknya jika wang ini dapat dimanfaatkan dalam usaha membantu rakyat, lebih-lebih lagi ketika ramai terkesan pandemik COVID-19.

Umum mengetahui pandemik COVID-19 memberikan tamparan hebat di seluruh dunia. Ribuan rakyat hilang pekerjaan, perniagaan merosot malahan ada gulung tikar dan lebih menyedihkan ramai kehilangan insan tersayang disebabkan virus ini.

Tekanan dan cabaran ini menjadikan masyarakat semakin peka dengan isu semasa berkaitan penularan virus COVID-19, inisiatif pemulihan ekonomi, belanjawan negara, penjagaan sempadan negara hingga ketirisan wang kerajaan akibat jenayah rasuah.

Oleh itu, agensi kerajaan dan penguatkuasaan kini berada dalam radar masyarakat. Masyarakat mengharapkan segala inisiatif diumumkan kerajaan dimaterialisasikan dengan sempurna dan telus. Dalam keadaan ekonomi mencabar ini, masyarakat sudah pasti akan sentiasa memerhati dan menilai agensi terbabit.

Justeru, agensi kerajaan tidak mempunyai pilihan tetapi perlu telus dan cekap dalam melaksanakan inisiatif diumumkan, lebih-lebih lagi dalam hal membabitkan kewangan. Tekanan ini mendorong banyak agensi kerajaan untuk memantapkan lagi tadbir urus, integriti dan antirasuah demi membuktikan kepada masyarakat bahawa segala amanah dipikul dilaksanakan dengan baik.

Banyak inisiatif diwujudkan bagi mengekang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa antaranya pengisytiharan harta, polisi perolehan ketat, ikrar integriti korporat serta polisi antirasuah termasuk kerjasama rentas agensi.

Kerjasama rentas agensi adalah idea bernas dan tidak seharusnya dipandang enteng. Namun, ia perlu dilaksanakan dengan lebih strategik dengan menggunakan satu sistem berstruktur dan diiktiraf, bukan sekadar menandatangani memorandum persefahaman, menyertai persidangan, mengadakan kolaborasi dan mesyuarat.

Sistem dimaksudkan ialah ISO 37001 – Anti-Bribery Management Systems (ABMS), iaitu satu standard diterbitkan The International Organization for Standardization (ISO) pada 2016 bagi mencegah, mengesan dan menangani kes rasuah dalam sesebuah organisasi yang boleh diguna pakai agensi kerajaan, swasta, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

ABMS boleh dikategorikan sebagai kerjasama rentas agensi kerana pelaksanaannya membabitkan penyertaan lebih daripada satu organisasi, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang setiap pihak perlu memainkan peranan bagi melengkapkan proses dan kitaran sekiranya ada isu berkaitan rasuah di sesebuah agensi dilaporkan.

Lebih penting, setiap proses akan diaudit dan tidak ada satu pun aduan salah guna kuasa atau rasuah akan terlepas pandang.

Tambahan, polisi pemberi maklumat dalam sistem ini juga kukuh dan selamat. Sesiapa sahaja, baik dalam mahu pun di luar organisasi tidak perlu gusar untuk melaporkan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa melalui saluran disediakan kerana segala maklumat diberikan dilindungi serta sulit.

Bukan itu sahaja, tindakan susulan juga akan diambil sehinggalah aduan sampai ke SPRM untuk proses siasatan, malahan akan menjangkau ke Jabatan Peguam Negara dan mahkamah untuk proses pendakwaan dan penghakiman sekiranya terbukti ada kes.

Ini yang dimaksudkan kerjasama rentas agensi strategik dan sistematik yang setiap pihak berganding bahu menggunakan kuasa diperuntukkan serta kepakaran masing-masing dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa di sesebuah agensi.

Dalam ekosistem ini, Institut Integriti Malaysia (IIM) turut mempunyai peranannya tersendiri, iaitu memberi khidmat konsultansi kepada agensi kerajaan dan swasta yang berhasrat untuk membangunkan ABMS, seperti yang termaktub di dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

Ditubuhkan pada 2004, IIM ialah agensi di bawah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC), Jabatan Perdana Menteri.

NACP yang dilancarkan pada 2019 juga menyatakan pensijilan ABMS akan diperkenalkan kepada semua agensi kerajaan. Malahan, dalam objektif strategik 6.2.4, pensijilan ABMS dicadangkan sebagai syarat minimum bagi syarikat milik kerajaan, syarikat berhad menurut jaminan dan syarikat swasta dalam mendapatkan kontrak kerajaan.

Setakat Ogos lalu, sebanyak 60 organisasi daripada pelbagai sektor termasuk kementerian, jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta mendapat pensijilan ISO 37001 ABMS daripada QAS SIRIM International dan tidak mustahil lebih banyak organisasi yang akan mendapat pensijilan ini pada masa hadapan.

Berdasarkan kajian keberkesanan yang dijalankan oleh Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Universiti Malaysia Pahang (UMP), SIRIM dan IIM, jumlah aduan berkaitan aktiviti rasuah dalam organisasi responden meningkat sebanyak 50 peratus dengan adanya ABMS.

Ini jelas membuktikan kakitangan menjadi lebih berani untuk melaporkan isu berkaitan rasuah dengan adanya ABMS.

Sekali lagi ditekankan kerjasama rentas agensi adalah usaha murni dan akan membuahkan hasil sekiranya dilaksanakan dengan lebih strategik menggunakan sistem yang terbukti keberkesanannya.

Bayangkan sekiranya lebih banyak agensi mengaplikasikan ABMS, sudah tentu rasuah dan salah guna kuasa dapat dibendung, sekali gus menjadikan Malaysia terkenal sebagai negara yang berintegriti tinggi di mata dunia.

Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia

Berita Harian X