X
Jumaat, 24 Julai 2020 | 11:00am

Hospital swasta mampu latih doktor pakar

ISU pelantikan kontrak bagi pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan (KKM) mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan doktor muda, tetapi ibu bapa mereka yang amat khuatir mengenai masa depan karier ribuan doktor muda ini.

Antara perkara utama yang dikhuatiri ialah peluang untuk mereka meneruskan latihan menjadi pakar perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, melalui jawapan di Parlimen baru-baru ini menyatakan pegawai perubatan kontrak tidak layak mendapat Hadiah Latihan (biasiswa) untuk mengikuti kursus kepakaran di universiti awam tempatan dan menyarankan mereka mendapatkan kelulusan kepakaran luar negara dengan biaya sendiri.

Ini menambahkan kebimbangan mereka kerana kursus dan peperiksaan kepakaran luar negara yang boleh diambil di Malaysia amat terhad.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, melalui kenyataan media dikeluarkan, mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetap memberi laluan kepada pegawai perubatan kontrak menerima biasiswa untuk mengikuti latihan kepakaran dalam negara.

Menurut beliau, tiada alternatif lain untuk melatih doktor pakar dan latihan kepakaran hanya boleh dilakukan di hospital kerajaan.

Beliau juga menyatakan, hospital swasta tidak mempunyai bilangan pesakit mencukupi atau kes yang berkaitan latihan sebagai doktor pakar. Selain itu, ada kemungkinan timbul isu pilihan dan hak pesakit.

Usaha MMA untuk membela doktor muda ini, perlu disokong. Usaha lain untuk memperbanyakkan tempat latihan, terutama menjadikan hospital swasta dan pakar perubatan swasta menyediakan program latihan kepakaran juga perlu digalakkan.

Memang benar, hospital swasta yang kecil dan sendirian tidak sesuai untuk latihan kepakaran perubatan. Tetapi, di negara ini ada beberapa hospital swasta besar dan berkumpulan yang berpotensi besar untuk menjadi hospital latihan kepakaran.

Contohnya Kumpulan KPJ Healthcare, IHH Healthcare dan Sunway Medical. Di Malaysia juga, hampir 45 peratus doktor pakar berkhidmat di hospital swasta. Kumpulan hospital besar mempunyai antara 300 hingga 900 doktor pakar dalam pelbagai bidang.

Mereka merawat pelbagai jenis penyakit yang rutin dan kompleks. Ramai dalam kalangan mereka adalah bekas profesor dan pakar perunding perubatan. Pengalaman mereka amat berharga dan boleh digembleng untuk melatih doktor muda.

Namun, memahami struktur organisasi hospital swasta yang berbeza daripada hospital kerajaan amat penting dalam merangka pelaksanaan latihan kepakaran di hospital swasta.

Asas utama ialah komitmen dan sokongan pengurusan hospital swasta terhadap pendidikan dan latihan di hospital mereka.

Hospital swasta harus menggubal skim perjawatan pegawai perubatan yang memberi peluang kepada doktor muda untuk mengembangkan karier menjadi pakar melalui latihan kepakaran yang akan dilaksanakan.

Struktur pengurusan akademik juga perlu diadakan melalui kerjasama dengan universiti tempatan atau menubuhkan universiti atau kolej universiti kumpulan hospital berkenaan.

Kumpulan Hospital Pakar KPJ, melalui institusi pendidikannya, KPJ Healthcare University College (KPJUC) sudah melaksanakan program latihan kepakaran perubatan sejak 2012 dengan Kerjasama Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Di KPJUC, program pengajian yang dilaksanakan mematuhi piawai latihan kepakaran perubatan ditetapkan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jawatankuasa Bidang Kepakaran.

Bagaimanapun, pelaksanaan latihan klinikal diubah suai dan tidak seperti cara latihan konvensional kerana mengambil kira kesesuaian di hospital swasta.

KPJUC menggunakan program latihan yang inovatif dan melaksanakan beberapa kaedah bukan konvensional seperti latihan one-to-one apprenticeship (perantisan satu-dengan-satu) dengan seorang pelatih mendapat bimbingan seorang pakar, mentor peribadi, immediate feedback assessment (penilaian maklum balas segera) dan pembinaan sahsiah serta kemahiran klinikal yang 'bebas' tetapi berpandu.

Doktor pelatih digilirkan untuk melalui latihan dalam kalangan pakar perubatan yang berdedikasi di beberapa Hospital Pakar KPJ selama empat tahun.

Kaedah latihan sebegini baharu di hospital swasta di Malaysia, tetapi sudah menjadi lumrah di negara maju di mana hampir seluruh hospital adalah milik swasta.

KPJUC dan Hospital Pakar KPJ ialah institusi pendidikan swasta pertama di negara ini yang diberi akreditasi untuk melaksanakan latihan dalam empat bidang kepakaran, iaitu Sarjana Kepakaran Otorinolaringologi-Bedah Kepala dan Leher, Sarjana Kepakaran Radiologi, Sarjana Kepakaran Surgeri Am dan Sarjana Kepakaran Ortopedik.

Doktor dalam latihan kepakaran di KPJUC menduduki peperiksaan akhir kepakaran yang sama seperti di universiti awam pada peringkat nasional.

Program latihan berstruktur selama empat tahun juga dilaksanakan di KPJUC untuk doktor muda yang ingin mengambil peperiksaan luar negara dalam bidang penyakit dalaman (MRCP) dan pediatrik (MRCPCH).

KPJUC membuktikan latihan kepakaran perubatan boleh dilaksanakan di hospital swasta. Melalui kerjasama dengan Fakulti Perubatan UKM, bimbingan daripada jawatankuasa kepakaran dan pemantauan rapi MQA serta MMC, jaminan kualiti dapat dipastikan.

Majlis Dekan Perubatan Malaysia juga dalam usaha menyelaraskan standard latihan kepakaran melalui penggubalan kurikulum nasional, mengambil kira latihan kepakaran di hospital kerajaan dan swasta.

Oleh itu, persepsi bahawa hospital swasta tidak sesuai dan tidak boleh melaksanakan latihan kepakaran adalah tidak benar.

Malah, kumpulan hospital pakar yang besar, harus digalak memberi komitmen bagi melaksanakan latihan kepakaran untuk faedah doktor muda dan negara amnya.

Penulis adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare University College

Berita Harian X