Selasa, 21 Januari 2020 | 11:00am
Antara Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong di Perak.
Antara Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong di Perak.

Pemulihan warisan: Kita terlatih tapi tak terdidik

Kekecewaan ilmuwan ulung Prof Emeritus Datuk Zuraina Majid, ketika mengulas keadaan Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong di Perak dalam akhbar berbahasa Inggeris perlu diberi perhatian serius.

Prof Zuraina menjelaskan tapak arkeologi dan sejarah penting ini, dalam keadaan terbiar dan tidak terjaga. Jika tidak dilakukan sesuatu, mungkin bakal ditarik balik statusnya oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Beliau menjelaskan negara kita dalam keadaan malang. Masyarakat kita sangat terlatih, tetapi tidak terdidik. Saya setuju dan dapat melihat implikasinya dalam pelbagai senario sejak beberapa dekad ini.

Mengambil iktibar status dan iltizam di negara jiran mengenai warisan budaya dan tabii negara, mereka bergerak maju, sebaliknya kita seolah-olah mengundur.

Nasib baik, ketika Inggeris menjajah, banyak artifak dan tapak warisan dijaga dan dihormati sehingga membolehkan ia kekal sehingga kini.

Sebahagian besar berada di bawah pengurusan Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Jabatan Warisan Negara, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta pelbagai agensi pemuliharaan di peringkat negeri.

Kini sumber warisan diguna sepenuhnya bagi menarik pelancong.

Dalam konteks warisan, sama ada sejarah, budaya atau tabii, kita boleh kelaskan situasinya kepada tiga perspektif.

Pertama, artifak dan tapak yang diwarta sebagai warisan negeri, negara atau dunia. Kedua, artifak atau tapak yang dinilai oleh pakar dan dipersetujui agensi warisan, tetapi masih menunggu kelulusan kerajaan negeri untuk diwartakan. Ketiga, masih banyak belum dikenali atau dalam proses penelitian pakar atau peminat warisan.

Bagi yang sudah diwartakan atau mendapat pengiktirafan Tapak Warisan Dunia, tahap penjagaan dan pengurusan bergantung populariti sebagai destinasi pelancongan. Semakin ramai pelancong, semakin baik pengurusannya.

Ada tapak mulai tergugat integriti kerana ghairah membangun prasarana bagi menampung kedatangan pengunjung. Perhatian bukan kepada nilai warisan, tetapi potensinya untuk meraih keuntungan.

Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong dan banyak lagi tapak warisan lain menerima nasib malang kerana kurang menerima pengunjung dan kos pengurusan tidak dapat ditampung pendapatan daripada aktiviti pelancongan.

Banyak tapak warisan bertaraf kebangsaan dikenal pasti pakar dan mendapat kelulusan Jabatan Warisan Negara, masih belum diwartakan sebagai tapak warisan kebangsaan.

Walaupun keinginan memulihara warisan penting tinggi dalam kalangan masyarakat madani, hambatan paling besar ialah keraguan kerajaan negeri untuk membenarkan pewartaan ini kerana takut kehilangan hak mengurus sumber asli negeri.

Satu penyelesaian jangka panjang diperlukan dan pendekatan ‘menang-menang’ diketengahkan untuk kepentingan bersama. Pendekatan paling praktikal perlu dipertimbangkan ialah biarkan hak pewartaan dan pengurusan dilaksanakan kerajaan negeri, sementara akta warisan negara digunakan untuk memantau kualiti pengurusan dan menyimpan senarai warisan kebangsaan.

Apa lebih membimbangkan masih banyak objek dan tapak warisan bernilai kebangsaan belum dikenali, sedang terbiar menunggu kemusnahan. Usaha mengenal pasti, menciri dan menilai tidak dapat dilaksanakan kerana keterbatasan pakar dan sokongan dana.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi penyelidikan berminat soal pemuliharaan warisan, tetapi sokongan kerajaan, badan swasta dan masyarakat mendukacitakan. Kerajaan memperkukuhkan dasar warisan negara dengan memberi perhatian tinggi ke atas keupayaan penyelidikan dan pembangunan, serta mekanisme baharu penyaluran sokongan kewangan.

Di negara maju, kebanyakan objek dan tapak warisan sudah musnah akibat peperangan dan pembangunan, saki baki tinggalan sejarah yang diselamatkan dibaik pulih dan dipulihara sebagai monumen dengan peraturan ketat.

Sebahagian daripadanya sudah menjadi tapak pelancongan penting yang meraih faedah sosioekonomi kepada masyarakat dan negaranya.

Di negara mundur, mereka masih bertungkus lumus membangun masyarakat dan ekonomi negara. Prioriti pembangunan masih pada tahap menyediakan keperluan asas dan peluang penjanaan ekonomi.

Bagi negara sedang rancak membangun seperti Malaysia, kita perlu lebih berhati-hati menangani konflik mengimbangi antara pembangunan dan pemuliharaan warisan.

Jika kita biarkan kuasa dorongan perniagaan mengatasi kepentingan lain, kemusnahan warisan akan berleluasa dan besar kemungkinan tidak mampu lagi diselamatkan. Keghairahan pembangunan atas dasar pertumbuhan ekonomi negara (GDP) nampaknya menunjukkan impak negatif terhadap kesejahteraan masyarakat, integriti alam sekitar dan kemusnahan warisan negara.

Kembali kepada kekecewaan Prof Zuraina yang juga mantan Pesuruhjaya Warisan Kebangsaan, kita perlu memberikan perhatian serius mengenai dasar pendidikan negara diamalkan kini.

Di samping mendidik untuk meningkatkan kemahiran untuk bersaing pada peringkat global, jangan kita sama sekali lupa, pendidikan juga untuk membangun insan syumul, berfikir terbuka, berjati diri kebangsaan, berakhlak mulia dan menghayati erti nilai warisan bangsa.

Penulis adalah Felo Penyelidik Utama LESTARI-UKM dan Pengerusi, Majlis Warisan Kebangsaan

Berita Harian X