Ahad, 15 Disember 2019 | 11:00am
Sebahagian kontinjen Malaysia berarak masuk bagi menyertai upacara penutupan Sukan SEA Ke-30 Filipina 2019 di Stadium Olahraga New Clark City, Clark. - NSTP/Aizuddin Saad
Sebahagian kontinjen Malaysia berarak masuk bagi menyertai upacara penutupan Sukan SEA Ke-30 Filipina 2019 di Stadium Olahraga New Clark City, Clark. - NSTP/Aizuddin Saad

Gilap 'ubi muda' untuk tuaian emas

NYALAAN api obor Sukan SEA Ke-30 di Filipina sudah terpadam serentak dengan upacara penutupan rasmi sukan dwitahunan ini bertempat di Stadium Olahraga New Clark City pada malam Rabu lalu.

Vietnam dipilih sebagai tuan rumah bagi edisi ke-31, pada 2021 nanti dengan Majlis Olimpik Vietnam sudah membuat pengumuman awal 36 sehingga 40 acara sukan akan dipertandingkan di Hanoi.

Tempoh dua tahun mulai sekarang bukan lama. Ia ibarat ‘masa bertenang, tetapi tak tenang’ bagi banyak pihak khususnya Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana kegagalan menepati sasaran 70 pingat emas dalam Sukan SEA kali ini.

Defisit 90 pingat emas bila dibandingkan ketika Kuala Lumpur menjadi tuan rumah pada 2017 dengan semangat ‘Bangkit Bersama’. Ketika itu kita mengutip 145 emas, 91 perak dan 86 gangsa mengatasi sasaran 111 pingat emas yang ditetapkan KBS.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin secara terbuka memohon maaf atas kegagalan kontinjen Malaysia mencapai sasaran 70 pingat emas dengan menyenaraikan beberapa faktor sebagai puncanya.

Janji manis persatuan sukan, sikap atlet yang terlalu yakin selaku juara bertahan dalam beberapa acara sukan, mutu pengadilan berat sebelah dan pengurusan logistik yang lemah oleh penganjur antara dapatan awal yang menyumbang kepada kegagalan ini.

1,001 faktor boleh sahaja diceritakan untuk menyedapkan hati sebagai alasan mengapa kita gagal di Filipina, tetapi sesuatu yang perlu ditelan dengan pahit oleh KBS dan MSN ialah pemerhati dan peminat sukan tanah air, menyimpulkan ini pencapaian terburuk Malaysia dalam Sukan SEA.

Walaupun bertandang dengan penyertaan terbesar dalam sejarah Sukan SEA di luar negara, iaitu 772 atlet, tetapi hanya membawa pulang 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa untuk berada di tempat kelima keseluruhan, adalah sesuatu yang amat menyedihkan.

Sesi ‘bedah siasat’ perlu disegerakan oleh MSN, KBS dan pihak berkepentingan selepas ini kerana Sukan SEA bukan satu-satunya temasya sukan yang kita sertai kerana tahun depan nyalaan obor temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 menanti kita.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim dalam reaksinya menyifatkan kegagalan di Sukan SEA 2019 adalah sebagai satu wake up call dan harus diberi perhatian serius oleh semua pihak yang terbabit.

Misi Sukan SEA 2019 adalah misi bersama yang membabitkan banyak pihak dan tidak wajar untuk menuding jari kepada satu-satu pihak sahaja.

Penulis bersetuju bahawa ini adalah misi bersama, justeru semua pihak berkepentingan, iaitu KBS, MSN, persatuan sukan, atlet, pegawai dan jurulatih harus segera mencari penyelesaian kepada mimpi buruk ini.

Kisona berjaya mengalahkan perseorangan Indonesia, Ruselli Hartawan pada perlawanan akhir perseorangan wanita Badminton Sukan SEA Filipina 2019 di Komplek Sukan Muntilupa, baru-baru ini. - NSTP/Osman Adnan
Kisona berjaya mengalahkan perseorangan Indonesia, Ruselli Hartawan pada perlawanan akhir perseorangan wanita Badminton Sukan SEA Filipina 2019 di Komplek Sukan Muntilupa, baru-baru ini. - NSTP/Osman Adnan

Dalam kita mencari penyelesaian konkrit, mohon jangan diabaikan ‘ubi muda’ yang menyerlah dalam Sukan SEA kali ini antaranya seperti heboh diperkatakan di media sosial mengenai kisah Muhammad Haiqal Hanafi (acara pecut 100 meter) dan Kisona Selvadury (perseorangan badminton).

Muhammad Haiqal meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki pada Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 di Clark Parade Ground, Clark, baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Muhammad Haiqal meraih pingat emas dalam acara 100 meter lelaki pada Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 di Clark Parade Ground, Clark, baru-baru ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Kedua-duanya masih muda berusia 20-an, bukan dalam barisan atlet utama, tetapi cuma direzekikan dapat beraksi kerana menggantikan atlet asal yang cedera. Hasilnya sungguh luar biasa dengan masing-masing menyumbang emas buat negara.

Teruskan menggali ‘ubi muda’ dalam semua acara sukan, gilapkan potensi mereka dan yang paling penting berikan mereka platform untuk mempersembahkan kemampuan mereka di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Akhir sekali tahniah buat wira negara yang berjuang sehabis daya pada Sukan SEA 2019.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik Universiti Sains Malaysia (USIM)

Berita Harian X