Khamis, 26 Oktober 2017 | 7:28am
BANDARAYA Kuala Lumpur.
BANDARAYA Kuala Lumpur.

Pengurusan fiskal berhemat terus dikekal

BAJET 2018 yang akan dibentangkan esok dijangka memperlihatkan kerajaan akan terus mengekalkan pengurusan fiskal berhemat, bagi menjamin pengukuhan kewangan negara demi kesejahteraan rakyat meskipun berdepan persekitaran ekonomi yang mencabar.

Kedudukan fiskal kerajaan bertambah baik sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) diperkenalkan pada 2010 yang memberi tumpuan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Ia diperkenalkan bagi memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan menjelang 2020.

Usaha pengukuhan fiskal yang dilaksanakan kerajaan, termasuk mengurangkan kebergantungan hasil berasaskan minyak dan mempelbagaikan sumber pendapatan negara.

Kerajaan berjaya mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan minyak dengan memperlihatkan sumbangan minyak dan produk berkaitan berkurangan kepada 13.5 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2016.

Pada 2015, sumbangan pendapatan berkaitan minyak kepada jumlah pendapatan adalah 19.9 peratus, yang mana ia lebih rendah berbanding 41.3 peratus pada 2009.

Sumbangan pendapatan bukan berkaitan minyak mencatatkan peningkatan dengan menyumbang 86.5 peratus daripada jumlah pendapatan pada 2016 berbanding 80.1 peratus pada tahun sebelumnya.

Kepelbagaian pendapatan

Ia sekali gus menunjukkan, kepelbagaian pendapatan kerajaan dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan kepada pendapatan berkaitan minyak.

Kerajaan juga mengambil langkah mengukuhkan pentadbiran dan pematuhan cukai agensi percukaian di bawah Kementerian Kewangan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

LHDN yang menumpukan kepada kutipan cukai langsung berjaya mengutip RM22.4 bilion daripada tambahan penilaian cukai pendapatan dan penalti sejak 2015.

Dalam tempoh Januari hingga Julai 2017, pendapatan tambahan yang dikutip daripada audit cukai ialah berjumlah RM6.148 bilion.

JKDM yang menumpukan kepada cukai tidak langsung, mengunjurkan kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dijangka melebihi RM42 bilion bagi tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran RM40 bilion yang disasarkan pada Bajet 2017.

Pengenalan GST pada 1 April 2015 itu membantu mengukuhkan tahap fiskal negara serta menangani kelemahan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.

Menerusi GST, kerajaan dapat memperkenalkan jaringan keselamatan kepada rakyat yang tiada dalam rejim cukai sebelum ini iaitu melalui pengecualian GST bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan asas.

Ia termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan penjagaan kanak-kanak, beberapa barangan dan perkhidmatan seperti barangan keperluan asas rumah walaupun tidak dikecualikan daripada GST, masih tertakluk kepada kadar sifar peratus untuk GST.

Peningkatan dalam pentadbiran dan pematuhan cukai serta pengenalan GST membolehkan negara menyerap impak kejatuhan harga minyak dunia yang menjejaskan ekonomi global.

Justeru, tumpuan dalam aliran pendapatan utama lain seperti GST dan cukai pendapatan korporat dalam Bajet 2018 akan lebih mendalam dalam mengukur kedudukan kewangan awam.

Secara keseluruhan, dengan kutipan GST dan cukai pendapatan korporat dan hasil minyak, jumlah pendapatan kerajaan dijangka lebih tinggi berbanding jangkaan RM219.7 bilion bagi 2017.

Kemajuan yang dicatatkan dalam pendapatan membolehkan kerajaan berada pada kedudukan tepat untuk mencapai unjuran defisit fiskal 3.0 peratus bagi 2017.

Defisit fiskal berjaya dikurangkan beransur-ansur menerusi perbelanjaan berhemah yang dilaksanakan kerajaan beberapa tahun lalu.

Pada 2016, defisit fiskal negara berada pada paras 3.1 peratus berbanding 6.7 peratus pada 2009.

Sementara itu, agensi penarafan kredit utama global mengekalkan penarafan mereka terhadap Malaysia adalah penting kepada kerajaan untuk kekal dalam landasan dengan pelan pengukuhan fiskal, bagi mengelak sebarang penurunan penarafan kredit yang mana boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap negara.

Disiplin uruskan hutang

Dari segi kedudukan hutang kerajaan pula, kerajaan memperkenalkan had paras hutang kepada 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan disiplin kerajaan dalam menguruskan hutang.

Pada akhir 2016, jumlah hutang kerajaan berada pada paras 51 peratus daripada KDNK.

Berdasarkan Bajet 2017, paras hutang kerajaan akan berada pada paras 53 peratus daripada KDNK.

Ekonomi Malaysia juga terus berkembang kukuh dengan mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada separuh pertama 2017, dipacu pertumbuhan dalam penggunaan swasta dan permintaan luaran.

Pertumbuhan kukuh yang dicatatkan itu juga mendorong penganalisis dan firma penyelidik tempatan dan asing menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2017 dengan melepasi paras 5.0 peratus.

Dari segi pekerjaan pula, jumlah tenaga kerja di Malaysia berjumlah 14.9 juta setakat suku kedua 2017, dengan 14.4 juta dikategorikan sebagai bekerja.

Kadar pengangguran juga rendah dengan berada pada paras 3.4 peratus pada suku kedua 2017.Menyentuh mengenai prestasi tukaran asing pula, ringgit kini lebih stabil meskipun berdepan turun naik yang tidak menentu sejak 2015.

Kepelbagaian asas ekonomi Malaysia menyokong ringgit untuk kekal stabil.

Dasar tukaran asing yang fleksibel membolehkan ringgit berdepan ketidaktentuan pasaran luaran dan dalaman.

Berita Harian X