Sabtu, 28 Januari 2023 | 12:00pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Henti dedah keburukan, sebar aib dalam media sosial

Kaisar Perancis yang menguasai benua Eropah pada tahun 1803 hingga 1815, Napoleon Bonaparte pernah menyatakan kegusarannya mengenai betapa besarnya pengaruh media.

Katanya, saya lebih takut tiga surat khabar daripada seratus ribu bayonet (I fear three newspapers more than a hundred thousand bayonets).

Namun mutakhir ini, media bukan lagi terhad kepada akhbar. Media massa sudah berubah, berleluasa dan ia menjadi platform komunikasi popular. Setiap hari, ada sahaja perkongsian yang dibuat oleh pengguna media sosial.

Keghairahan berkongsi cerita itu hinggakan terdapat segelintir pengguna 'terbabas' hingga tidak menyedari apa yang dikongsi itu menyalahi dan melampaui batas agama atau kemanusiaan.

Sedarkah kita, banyak perkongsian yang kadang-kadang dibuat bertujuan bukan untuk mendidik tetapi sebagai propaganda, mengalihkan pemikiran masyarakat daripada isu yang lebih penting, bertujuan untuk kekuasaan, populariti dan tidak terkecuali untuk meraih simpati.

Sehinggakan ada kala pengisiannya sekadar berbohong dan kosong atau hanya membesar-besarkan hal-hal yang sebenarnya adalah kecil.

Namun, itulah yang melanda masyarakat kita hari ini. Pelbagai isu berlegar yang belum tentu sahih tetapi disebar oleh banyak orang sebagai tanda menyokong atau menyindir.

Tentunya bukan saja akal sihat yang diperlukan untuk menilai setiap berita dan kandungan yang dikongsi. Ia turut memerlukan kearifan dalam membaca dan menyorot kandungan berkenaan.

Memang benar kata-kata aktivis hak asasi manusia Amerika Syarikat, al-Hajj Malik Al-Shabazz yang lebih dikenali sebagai Malcom X, siapa yang menguasai media, dia akan menguasai dunia.

Namun dalam konteks yang dibincangkan ini, ia lebih kepada membuka pekung sendiri dan bagi tujuan tertentu kelihatannya ia semakin membarah dalam masyarakat tanpa ada perasaan bersalah atau malu dengan apa yang mereka kongsikan.

Apalagi dewasa ini penyebaran aib makin meluas dengan adanya teknologi yang serba canggih ini.

Sedangkan hal-hal yang mengaibkan tidak boleh didedahkan atau disebarkan kepada khalayak dengan sewenang-wenangnya, apatah lagi umat Islam dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh dan tidak disukainya.

Hari ini terdapat individu yang menggunakan media sosial untuk menceritakan keburukan pasangannya. Perbuatan ini sebenarnya ditegah dan dilarang dalam Islam, melainkan mereka menggunakan saluran yang betul misalnya, membuat aduan kepada pihak berkuasa apabila dizalimi.

Dalam konteks rumah tangga, perselisihan faham seharusnya diselesaikan dengan cara yang disarankan agama, bukan mendedahkan ia di media sosial.

Peradaban umat manusia pada abad ke-21 ini adalah era teknologi informasi yang sangat canggih dan mencabar. Penulis Amerika John Naisbitt, mengungkapkan, sumber kuasa baharu bukanlah wang di tangan sebilangan orang tetapi informasi yang berada di tangan ramai orang.

Begitulah antara gambaran era informasi global yang menjadi cabaran kepada kita tidak kira di mana pun berada. Kemunculan media sosial menimbulkan reaksi yang memberi implikasi bukan sedikit kepada masyarakat dan negara. Ia menyebabkan pelbagai perubahan kehidupan terjadi dan menyentuh aspek moral, peradaban, keilmuan, keperibadian dan perubahan fizikal.

Mencabarnya arus globalisasi menjadikan media sebagai satu-satunya alat yang paling efektif dalam kerja propaganda, hingga mampu mencemarkan pemikiran manusia.

Bagaimanapun, jika dilihat dalam konteks yang lain, media adalah antara wasilah yang sangat berpotensi untuk merebut hati manusia ke arah kebaikan dan kebenaran. Namun, seringnya ia disalah guna.

Inilah yang disebut dengan ideologi media. Ideologi media bergantung dengan siapa pemiliknya, apa pemikirannya serta kecenderungan tindakannya.

Maka, ingatlah kita akan sebuah hadis ini, sebagaimana Rasulullah SAW bersabda; "Sesiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal dengannya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka sedikit pun, dan sesiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah yang buruk, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya, tanpa berkurang daripada dosa mereka sedikit pun. (HR Muslim).

Atriza Umar
Kuala Lumpur

Berita Harian X