Rabu, 25 Januari 2023 | 12:00pm

Industri hiburan perlu penjenamaan utuh

PERKEMBANGAN teknologi menyaksikan penyampaian maklumat lebih cepat dan dunia menjadi sebuah 'kampung kecil'. Ia turut menyaksikan dunia hiburan menjadi hal yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan kebanyakan kita.

Di mana-mana sahaja hiburan mudah diakses. Malah, penyanyi dan pelakon bukan sahaja di Malaysia tetapi di ceruk dunia menjadi sanjungan dan pujaan ramai.

Dunia hiburan tidak pernah mati. Generasi datang dan pergi, namun sejauh mana bakat baharu dalam dunia hiburan benar-benar berkualiti?

Hari ini mencari bakat baharu dalam dunia hiburan tidak susah. Semua orang kini boleh jadi selebriti, penyanyi dan pelakon, paling tidak pun dalam akaun media sosial sendiri. Malah, sudah ramai usahawan pun muncul sebagai penyanyi dan pelakon dengan video nyanyian mereka mendapat jumlah tontonan tinggi mengalahkan penyanyi sebenar.

Namun, sejauh mana mereka ini boleh membantu negara melahirkan seniman berbakat dan berkualiti? Hal ini agak membimbangkan kerana sebahagiannya dilihat hanya mahu mencari ramai pengikut untuk memperoleh wang sahaja.

Justeru kerana populariti sesetengah mereka yang sebahagiannya tidak pun berbakat, stesen radio turut 'memberi muka' dengan menyiarkan nyanyian mereka.

Saya tertarik dengan komen penyanyi dan pelakon, Awie yang menyebut pada zaman awal penyertaannya dalam dunia hiburan, seseorang penyanyi itu perlu ada 10 lagu sendiri sebelum boleh mendengar nyanyiannya berkumandang di radio.

Begitulah masa sudah berubah. Hari ini populariti sudah mengatasi kualiti dan bakat. Populariti menjadi umpan untuk memancing peminat.

Sebenarnya, syarikat rakaman, penerbit atau pengarah tidak kira dari segi nyanyian atau lakonan sepatutnya berani untuk menapis atau menguji bakat dahulu siapa yang layak atau tidak layak untuk berada dalam industri hiburan ini.

Dunia hiburan Malaysia bukan sahaja soal popular atau keuntungan yang diraih tetapi berkaitan dengan budaya dan maruah dunia seni tanah air kita juga.

Jika hiburan di negara ini dipandang enteng, lama kelamaan ia hanya akan menjadi jenaka. Dari segi lain, kita sebagai penggemar juga perlu faham selok belok industri hiburan. Industri hiburan bukanlah tempat berhibur semata-mata. Malah, industri hiburan ini lebih serius daripada yang kita jangka. Jika silap menulis karya, maka buruklah padahnya dan kuranglah hormat masyarakat terhadap penulisnya.

Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu memandang serius terhadap industri hiburan ini. Jika dilihat secara teliti, industri hiburan boleh menjadi punca ekonomi negara. Ini kerana artis-artis tanah air adalah duta kecil negara Malaysia. Hal ini dikatakan sedemikian kerana, melalui perfileman, animasi serta nyanyian, budaya di Malaysia dapat ditonjolkan, malah jika ingin menjual produk Malaysia, industri hiburanlah tempatnya.

Tamsilnya, kita percaya bahawa produk dari Korea sangat berkualiti terutama produk kecantikan. Ini disebabkan oleh penampilan pelakonnya yang cantik, kacak dan jelita. Selain bakat dan karya mereka yang terampil.

Kita boleh lihat impaknya betapa ramai masyarakat Malaysia begitu teruja ingin pergi ke Korea. Maka, pihak kerajaan sebenarnya boleh ambil kesempatan menerusi industri hiburan untuk meningkatkan ekonomi negara kita.

Jadi, satu strategi yang utuh dalam penjenamaan perlu dibuat supaya industri hiburan Malaysia menjadi tarikan hingga ke luar negara secara konsisten.

Akhir kata, industri hiburan juga perlu dilihat haluannya oleh pelbagai pihak terutama pihak kerajaan. Kita tidak boleh membiarkan industri hiburan Malaysia terkontang-kanting begitu sahaja tanpa tujuan tertentu.

Penggiat seni atau artis tempatan juga diharapkan menghasilkan karya lebih banyak, kreatif dan menarik supaya rakyat lebih berminat dan menghargai karya anak tempatan.

Nur Izza Syazana Abdul Razak
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X