Selasa, 24 Januari 2023 | 12:01pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Dedah generasi muda seni, budaya negara

Rakyat Malaysia melangkah ke 2023 dengan harapan tinggi, iaitu ekonomi berkembang pesat dalam semua sektor serta mampu memperbaiki kualiti kehidupan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Harapan sama dikongsi Tourism Malaysia yang baru-baru ini melancarkan kempen 'Inilah Masanya, Cuti-Cuti Malaysia' bagi menggiatkan lagi pelancongan domestik.

Pelancongan pada umumnya adalah satu aktiviti penting kepada ekonomi kebanyakan negara di dunia, selain menjadi sektor penyumbang utama pendapatan negara.

Dilaporkan perbelanjaan pelancongan domestik merosot dengan teruk pada 2021, iaitu berjumlah RM18.4 bilion sedangkan pada 2019 ia mencatat RM103.2 bilion. Sudah tentu ini memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada gaya hidup, ekonomi dan kualiti hidup masyarakat.

Pada umumnya, pelancongan di Malaysia adalah hal-hal berkaitan destinasi yang menarik dengan flora dan fauna, selain pilihan makanan kerana sebagai negara berbilang bangsa, kita mempunyai kelebihan berkenaan.

Namun, pelancongan domestik juga perlu menekankan kepada penghayatan dan penghargaan kepada seni, warisan dan budaya setempat. Hal ini disedari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, yang baru-baru ini turut menyatakan komitmen memfokuskan kepada usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya sejajar dengan Teras Tiga, Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).

Tingkat minat generasi muda

Turut termuat adalah sesi percambahan ilmu, libat urus dan kerjasama dengan pakar profesional, berbakat besar dan berpengetahuan tinggi dalam sektor kebudayaan dalam mencari strategi dan seterusnya menggiatkan industri pelancongan, seni dan budaya.

Keterbatasan sosial yang berlaku selama dua tahun sebelum ini, seakan meninggalkan ruang kosong kepada rakyat Malaysia. Walaupun ada program yang dilaksanakan secara maya dan bantuan dana untuk membantu penggiat seni, namun perjuangan ini masih perlu bantuan dan sokongan ramai.

Dalam hal ini kita melihat, generasi muda adalah masyarakat digital yang sejak kecil ditemani gajet. Nilai budaya yang mereka miliki adalah bersifat universal kerana pendedahan pelbagai informasi asing menerusi internet. Justeru, mereka perlu diperkenalkan dengan warisan seni, budaya dan pelancongan tempatan.

Ia diharap membuka ruang dan peluang kepada anak untuk mempelajari, mengalami dan menghargai warisan seni budaya kita dengan cara mendedahkan mereka dengan pelbagai program seni dan budaya dari seluruh negara.

Lawatan ke Melaka, contohnya, boleh memberi nilai tambah estetika kerana di situ terhimpun sejarah budaya yang panjang. Dondang sayang, tarian Portugis, nazam, silat, seni berbalas pantun, dan permainan tradisional seperti congkak dan sepak raga boleh diperkenalkan kepada mereka.

Pengalaman seperti ini penting bagi mengelakkan nilai budaya dan dalam diri anak muda supaya tidak terhakis selain mengelakkan warisan kita daripada hilang ditelan zaman.

Siti Hajar Abd Aziz,

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Kampus Alor Gajah

Berita Harian X