Belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Kim Pan Gon. Walaupun pasukan kebangsaan tidak ditakdirkan juara, kejayaan mara ke peringkat separuh akhir Piala AFF membanggakan.
Biar pun berhadapan cabaran kekurangan pemain dan perlu melatih pemain baharu, kredibiliti beliau dalam memantapkan pasukan dibimbingnya terserlah.
Piala AFF antara kejohanan bola sepak tertinggi bagi zon Asia Tenggara. Ia juga adalah medan mengukur sejauh mana tahap pasukan negara di Asia Tenggara.
Namun, jika dilihat kebanyakan jurulatih setiap pasukan itu adalah nama besar dari Asia juga. Selain Malaysia, Kemboja memilih Keisuke Honda (bekas pemain Piala Dunia Jepun) untuk mengendali pasukan kebangsaannya, selain Indonesia memilih bekas jurulatih Piala Dunia dari Korea Selatan, Shin Tae Yong.
Mengimbas penganjuran kejohanan ini, beberapa rumusan dapat dibuat. Antaranya, ia mampu membentuk iklim yang baik dalam dunia bola sepak di Asia Tenggara amnya dan dalam konteks penulisan ini, negara kita khususnya. Kita akan lebih sedia untuk menghadapi kejohanan lain.
Malah, ia juga ruang untuk Pan Gon menilai kebolehan pemain dari pelbagai segi, termasuk keupayaan untuk menyerap tekanan psikologi daripada pihak lawan.
Sikap dan mentaliti setiap pemain dalam pasukan juga perlu diperbaiki. Mereka perlu matang dalam bertindak bagi memastikan semangat untuk menangani setiap gerakan lawan sentiasa tinggi. Mereka juga perlu bijak memainkan peranan berdasarkan rencana yang disusun bagi menjaringkan gol.
Teknik pengurusan diri
Pemain juga perlu dilatih dengan pengurusan diri yang betul. Mereka seharusnya mampu menangani diri sendiri dengan baik sebelum permainan bermula dan ketika dalam padang.
Hal ini diperoleh menerusi sains sukan. Paling penting, setiap pemain perlu memahami konsep mengawal permainan, sama ada perlu bertahan, menyerang atau kedua-duanya sekali. Ada kala mereka perlu bertahan ketika berdepan serangan bertubi-tubi lawan dengan tujuan meneutralisasikannya. Ia adalah tonik tambahan yang perlu ada bagi setiap pemain profesional.
Kedudukan kita tidak jauh, malah sebaris dengan pasukan negara Asia Tenggara lain. Melonjakkan lagi keupayaan kita bukan hanya prasarana, tetapi mental dan kualiti pemain.
Pada masa sama juga, kita perlu terus menyemarakkan lagi semangat pasukan Harimau Muda Malaysia. Secara keseluruhannya kita mampu mengecapi kejayaan dalam setiap kejohanan yang disertai jika mempunyai cukup ramuannya.
Zamari Ambia,
Kuala Lumpur