Rabu, 11 Januari 2023 | 11:00am
Gambar hiasan/NSTP/Muhammad Hatim Ab Manan
Gambar hiasan/NSTP/Muhammad Hatim Ab Manan

Dokumen percukaian mesti disimpan paling kurang 7 tahun

Bermula Mac nanti, pembayar cukai individu akan mula menjalankan tanggungjawab mereka mengisi Borang Nyata Cukai bagi Tahun Taksiran 2022.

Dalam kesibukan untuk mengisi borang berkenaan, mungkin berlaku pelepasan cukai lupa dituntut kerana resit dan dokumen berkaitan sudah hilang atau lusuh akibat gagal disimpan dengan rapi.

Sebenarnya, selain tanggungjawab menyimpan semua dokumen percukaian ini termaktub dalam undang-undang, ia juga memberi manfaat kepada pembayar cukai jika disimpan rapi.

Perkara yang harus disedari pembayar cukai ialah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) menyatakan dengan jelas setiap dokumen percukaian perlu disimpan dengan selamat sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun.

Ketetapan ini diperuntukkan menurut Seksyen 82 dan 82A ACP. Kegagalan mematuhi peruntukan dalam akta ini adalah satu kesalahan dan boleh didenda atau penjara untuk tempoh tertentu.

Penyimpanan rekod percukaian dengan kemas, teratur dan selamat akan membantu pembayar cukai mengemukakan bukti perbelanjaan serta pelepasan cukai adalah sahih apabila ia diperlukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengikut pengalaman LHDN, kesilapan sering berlaku apabila pembayar cukai tidak bersedia dari awal dengan pengiraan cukai, resit dan dokumen percukaian sehingga ketika mengisi e-Filing, mereka terlupa mengambil kira perbelanjaan dan pelepasan layak dituntut.

Akibatnya, jumlah cukai perlu dibayar kepada LHDN menjadi lebih tinggi kerana jumlah perbelanjaan dan pelepasan cukai diisi dalam e-Filing rendah daripada sepatutnya.

Dalam kaedah sistem taksir sendiri, LHDN akan menerima setiap laporan cukai daripada pembayar cukai secara suci hati. Maknanya, LHDN tidak meragui setiap laporan cukai dibuat sehingga didapati ada keraguan munasabah pada laporan terbabit.

Jika itu berlaku, maka pegawai LHDN akan menghubungi pembayar cukai dan memohon mengemukakan bukti perbelanjaan atau pelepasan cukai seperti dituntut dalam Borang Nyata Cukai mereka.

 Mulakan tabiat simpan dokumen 

Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk semakan semula dan mengesahkan kesahihan tuntutan terbabit. Dalam hal ini pembayar cukai tidak perlu bimbang kerana selagi semua resit dan dokumen percukaian berjaya dikemukakan dan perbelanjaan serta pelepasan cukai dituntut dapat dibuktikan kesahihannya, maka LHDN akan menerimanya tanpa mengenakan taksiran tambahan atau penalti.

Oleh kerana itulah pentingnya semua dokumen percukaian ini disimpan dengan teratur. Tujuan dokumen cukai disimpan bukan untuk membantu urusan LHDN semata-mata, sebaliknya memberikan peluang pembayar cukai meneliti semula laporan cukai mereka.

Jika pembayar cukai mendapati mereka tersalah lapor jumlah perbelanjaan atau pelepasan menyebabkan mereka rugi kerana terpaksa membayar cukai lebih tinggi, mereka boleh menghubungi LHDN bagi urusan semakan semula, sekali gus bakal menikmati pengurangan.

Justeru mulai hari ini amalkan tabiat untuk menyimpan semua dokumen percukaian dengan teratur dan selamat. Ia banyak memberi manfaat kepada pembayar cukai, malah kaedah penyimpannya juga tidaklah rumit kerana dokumen terbabit disimpan dalam bentuk salinan cetak atau salinan digital.

Masrun Maslim,
Pengarah Bahagian Pendidikan Cukai,
Jabatan Khidmat Korporat LHDN

Berita Harian X