Jumaat, 6 Januari 2023 | 12:01pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Akhbar bercetak ada nilai tersendiri

Oleh Muhammad Zaki Shabri

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Ledakan media sosial memberi kesan yang bukan sedikit kepada kehidupan kita. Segala urusan sama ada pentadbiran malah pendidikan dibuat dalam talian. Sumber informasi kita juga beralih daripada akhbar bercetak kepada portal berita dalam talian.

Hal ini mengundang pertanyaan, adakah naskhah fizikal akhbar atau majalah masih relevan dan mempunyai peranannya?

Soalan ini mungkin boleh dijawab dengan mudah tanpa perlu berfikir panjang, namun jika kita menimbangkannya secermat mungkin, jawapan kita pasti berbeza.

Apakah yang membezakan portal berita dalam talian dan akhbar bercetak yang selalu disebut sebagai media arus perdana? Hal paling utama adalah kebenaran dan keaslian yang dibawakannya. Malah, dalam hal memastikan 'kebenaran' sesuatu fakta itu, kita cenderung memilih portal berita arus perdana, iaitu yang turut mempunyai edisi fizikal.

Jadi ia menjelaskan kepada kita, meskipun portal dalam talian lebih mudah dicapai, malah ada kala ia memasuki media sosial peribadi tanpa kita melanggannya, akhbar edisi cetak masih punya harapan, masa depan dan penggemarnya sendiri.

Sehebat manapun kelebihan media sosial atau portal berita dalam talian, ia tidak sedikitpun menghapuskan kedudukan naskhah edisi cetak. Apatah lagi hari ini langganan surat khabar edisi cetak masih mendapat sambutan. Ia membuktikan media bacaan seperti itu tetap relevan dan digunakan masyarakat pada hari ini.

Jika kita fikirkan dengan teliti hal yang menjadi tarikan kepada penggemar akhbar fizikal adalah keupayaannya untuk diperoleh di mana saja walaupun mungkin di kawasan pedalaman.

Hal ini berbeza dengan portal dalam talian yang selalu terganggu capaiannya, terutama jika berada di kawasan tiada liputan internet.

Naskhah fizikal juga masih boleh dibeli dengan sangat murah ditambah pakej belian tahunan berbanding langganan talian internet setiap bulan atau setiap tahun. Hal ini dapat dilihat apabila pelbagai syarikat telekomunikasi di Malaysia yang menyediakan kemudahan internet di Malaysia mengenakan kadar bayaran tinggi.

Satu hal yang lain, naskhah fizikal mempunyai nilai sentimental kepada sesetengah pembaca. Mereka lebih selesa memegang helaian akhbar. Malah kedudukan setiap berita yang disusun dengan cermat dan terbahagi kepada beberapa kolum misalnya berita semasa, hiburan, sukan dan sebagainya membolehkan mereka mengetahui perkembangan semasa dengan mudah.

Hanya dengan senaskhah akhbar mereka boleh mengetahui pelbagai berita. Ia tentu saja tidak sama dengan pengalaman membaca dalam talian.

Apatah lagi penulisan berita dalam talian kini sangat caca merba yang ada kala sukar difahami ,selain terlalu sensasi malah sesetengahnya tampil tanpa nilai ilmunya.

Terdapat juga pembaca yang gemar memotong keratan akhbar untuk disimpan sebagai kenangan yang boleh ditunjuk kepada generasi yang akan datang. Contohnya keratan akhbar berkaitan kejayaan Malaysia pada peringkat dunia dalam bidang sukan yang membabitkan atlet silat negara, Jufferi Jamari.

Kejayaannya mempertahankan kejuaraannya dalam kejohanan silat dunia sebanyak tiga kali berturut-turut amat membanggakan. Tidak ada sesiapa lagi yang berjaya untuk mencapai kejayaan seperti beliau.

Justeru, saya melihat walaupun perkembangan semasa menenggelamkan beberapa jenama akhbar cetak sama ada di Malaysia atau luar negara, ia tidak bermakna tren itu akan kekal.

Persaingan dengan portal berita dalam talian itu nyata, tetapi naskhah cetak yang mempunyai penggemar sendiri tentu saja mampu bertahan.

Malah kemahiran penulisan dalam kalangan pengamal media arus perdana jauh lebih baik jika dibandingkan media dalam talian yang lain. Seharusnya media bacaan ini dikekalkan.

Muhammad Zaki Shabri,

Universiti Pendidikan Sultan Idris

Berita Harian X